VIENNA - Belanda menyinar pada saingan peringkat kumpulan tetapi Rusia tidak kurang hebatnya selepas kemenangan bergaya ke atas Sweden.
Ia bakal menjadi bekalan kedua-dua pasukan yang akan berentap di Basel untuk penentuan slot ke separuh akhir bola sepak Kejohanan Eropah (Euro) 2008 hari ini.
Seminggu lalu, Belanda diramal mudah mara ke separuh akhir namun selepas Rusia menewaskan Sweden 2-0 di Innsbruck Selasa lalu, peluang dilihat seimbang.
Jika Belanda memiliki Ruud van Nistelrooy di bahagian serangan, Rusia boleh menyandarkan harapan kepada Roman Pavlyuchenko.
Kemahiran Wesley Sneijder di bahagian tengah bakal diimbangi Andrei Arshavin.
Jika Belanda memiliki Arjen Robben di bahagian sayap Rusia bakal menggempur posisi yang sama menerusi pemain tengah serba boleh Konstantin Zyryanov.
Jurulatih Belanda Marco Van Basten belajar daripada kekalahan 1-4 Rusia kepada Sepanyol di awal kejohanan.
"Kami perlu melihat apa yang Sepanyol lakukan ke atas mereka (Rusia) dan kami menjadikan ia satu pengajaran,'' katanya.
Sebahagian besar pemain utama Belanda menikmati rehat seminggu dan cukup bersedia selepas Van Basten menggunakan sebahagian besar pemain simpanan ketika perlawanan terakhir menentang Romania.
Dia dijangka menurunkan barisan pemain di babak kedua yang menewaskan Perancis 4-1 Jumaat lalu iaitu mengharapkan sentuhan Robben manakala Orlando Engelaar menghuni bangku simpanan.
Robben yang terlepas perlawanan pembukaan menentang Itali kerana cedera, beraksi kemas selepas dimasukkan menggantikan Engelaar pada perlawanan dengan Perancis dan sekali lagi menyinar ketika menentang Romania.
Bagaimanapun ketika bakat Robben di bahagian serangan tidak diragui, Dirk Kuyt perlu membuktikan keupayaan di bahagian pertahanan untuk menyekat Yuri Zhirkov dan Alexander Anyukov.
Pemain Rusia mempunyai kurang daripada tiga hari penuh untuk rehat selepas perlawanan dengan Sweden dan ia mungkin menjadi faktor utama.
Pasukan itu tidak menghadapi masalah kecederaan serius dan Arshavin cukup bersedia setelah mengharungi 90 perlawanan di kejohanan kali ini.
Kembalinya dia dari penggantungan menjadi pemangkin dalam menukar corak permainan hantaran pantas Rusia yang mungkin ditiru dari pasukan Belanda.
Dengan jurulatih berbangsa Belanda, Guus Hiddink mengemudi pasukan itu, cara permainan sebegitu bukan kejutan besar.
"Para pemain telah membuktikan di kejohanan ini bahawa mereka boleh meneruskan corak permainan seperti itu.
"Menerusi cara permainan kami, kami dikagumi, kami akan bermain bola sepak seperti mana ia patut dimainkan dan saya rasa Belanda juga begitu,'' kata Hiddink..
- Reuters
utusan online
No comments:
Post a Comment