KUALA LUMPUR 16 Jun – Celcom (M) Bhd. akan mengadakan pertemuan kali kedua dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) esok, untuk membincangkan status peraduan 100 hari 100 kereta anjuran syarikat telekomunikasi itu yang didakwa mempunyai unsur perjudian.
Difahamkan Celcom akan membentangkan secara terperinci kesemua butiran peraduan berkenaan di hadapan Panel Syariah Jakim.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly dijangka turut serta dalam perbincangan itu.
``Bagaimanapun, Celcom tidak pasti sama ada perbincangan itu akan berakhir dengan sebarang keputusan dibuat oleh Jakim mengenai peraduan berkenaan,’’ menurut jurucakap Celcom.
Peraduan 100 hari 100 kereta anjuran Celcom didakwa berunsur perjudian oleh beberapa tokoh agama kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan seperti dalam kegiatan judi nombor ekor.
Justeru golongan ulama meminta kerajaan meneliti dan memberi perhatian terhadap peraduan berkenaan termasuk menarik balik atau membatalkannya.
Berikutan itu, Celcom telah menggantung sementara peraduan tersebut pada Jumaat lalu.
Peraduan yang bermula 2 Jun lalu dan berakhir 9 September ini menawarkan sebuah kereta setiap hari kepada pemenang yang mengumpul mata tertinggi selepas menjawab soalan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Peraduan berbentuk promosi itu akan berlangsung selama 100 hari dan dibuka kepada kesemua pelanggan Celcom.
utusan online
No comments:
Post a Comment