|
|
KOTA KINABALU 15 Jun - Kerajaan memberi jaminan Bajet 2009 yang akan dibentangkan pada hujung tahun ini tidak membebankan malah akan melegakan rakyat khususnya di peringkat bawahan.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, antara tumpuan yang akan diberikan dalam bajet itu ialah penyelesaian terhadap isu-isu besar yang menjadi kegelisahan rakyat kebelakangan ini.
"Bajet 2009 yang akan dibentangkan nanti tidak akan membebankan dan ia melegakan rakyat, kita mahu cari kaedah untuk memberi kemakmuran kepada rakyat dengan memberi fokus kepada isu-isu negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan Sabah di Rumah Persekutuan, di sini hari ini.
Nor Mohamed berkata, antara perkara yang diberi perhatian utama dalam bajet itu ialah menyedia kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan.
Berhubung cadangan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang meminta Petronas membentangkan penyata kewangannya kepada rakyat, beliau berkata, Petronas akan melakukannya pada minggu depan.
Katanya, pembentangan secara terperinci oleh pihak Petronas dijangka menghapuskan prasangka buruk terhadap syarikat minyak nasional itu.
"Penjelasan tersebut akan dilakukan sendiri oleh Presiden Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican pada minggu depan," ujarnya.
Mengenai cadangan pihak tertentu supaya Petronas membiayai semua subsidi minyak untuk rakyat di negara ini, Nor Mohamed memberitahu, sebagai sebuah kerajaan yang amanah, perkara tersebut tidak akan dilakukan.
"Sebagai pemegang amanah, kita pastikan hasil negara digunakan bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga akan datang, kalau bagi (biaya subsidi) bukan rakyat kita yang akan dapat manfaat sepenuhnya," katanya.
Jelasnya ini kerana, rakyat dari negara jiran akan turut menikmati subsidi itu melalui kegiatan penyeludupan dan penjualan bahan bakar kepada mereka.
Sementara itu, beliau percaya, kerajaan mampu menangani krisis ekonomi baru yang membabitkan kenaikkan harga minyak dan barang berdasarkan kepada pengalaman menangani krisis ekonomi sebelum ini.
"Negara kita telah melalui bermacam-macam krisis bermula pada tahun 1969, kemudian sekitar 1970-an ketika harga minyak dunia naik. Ia diikuti pada 1987 iaitu antara yang paling teruk apabila semua harga barangan komoditi jatuh teruk.
"Sekali lagi kita diuji pada 1997 apabila krisis kewangan dunia melanda dan sekarang ini kita yakin dapat atasi kerana kita mempunyai banyak fleksibiliti dan tidak bergantung kepada satu aspek sahaja," ujarnya.
Pada masa hadapan katanya, sistem perbankan Islam di negara ini mempunyai peluang yang cerah untuk menerima pelaburan dari negara-negara Arab yang merupakan pengeluar minyak utama dunia.
Katanya, dijangka negara-negara Arab akan menerima keuntungan sehingga RM20 trilion sekiranya harga minyak terus melambung dan mereka sudah menyatakan minat untuk melabur dalam Bank Islam.
"Banyak rombongan dari negara Timur Tengah sedang mengkaji untuk melabur di Malaysia. Bank Islam di Malaysia adalah yang terbaik di dunia kerana melaksanakan dua sistem sekali gus iaitu sistem konvensional dan sistem perbankan Islam." katanya.
utusan online
No comments:
Post a Comment