Monday, June 16, 2008

'Saya percaya sifat jujur van Basten'

BADEN (Austria): Jurulatih Itali, Roberto Donadoni menepis tanggapan bahawa Belanda akan memberikan Romania perlawanan mudah dalam pertemuan terakhir mereka dalam Kumpulan C, sekali gus memastikan juara dunia itu dan naib juara Piala Dunia 2006, Perancis, tidak meneruskan kemaraan.

Belanda sudahpun melayakkan diri hasil kemenangan besar ke atas Itali dan Perancis, manakala Romania memungut dua mata daripada dua keputusan seri dan kemenangan ke atas Belanda akan menjulang mereka ke suku akhir, tidak kira apa yang berlaku dalam perlawanan antara Perancis dan Itali.

Bagaimanapun, Donadoni, yang pasukannya bangkit sedikit selepas kekalahan 3-0 kepada Belanda untuk seri 1-1 dengan Romania, Jumaat lalu, menepis idea bahawa Belanda, dibimbing rakan karib dan juga bekas rakan sepasukan di kelab AC Milan, Marco van Basten, tidak akan bermain bersungguh-sungguh sekalipun jika ia menurunkan kebanyakan barisan simpanan.


"Saya tidak mahu memikirkan perkara seumpama itu akan berlaku," kata Donadoni, yang rakan sejawatannya bersama skuad Perancis, Raymond Domenech, dibidas pemain Romania kerana mencadangkan perlawanan itu akan diatur untuk memihak kepada mereka.


"Saya percaya dengan sifat jujur dan terbuka. Ia sentiasa perbincangan yang sama dan ia juga tidak memenuhi sebarang objektif. Walaupun jika benar barisan simpanan yang beraksi, ia tidak bermakna Belanda tidak akan menang.

"Sebaliknya, pemain simpanan pasti mahu menunjukkan mereka berhak untuk bermain dalam pasukan utama.

"Apa yang lebih penting ialah jurulatih, van Basten seorang yang jujur, ikhlas serta berpendirian tegas. Itu sudahpun tiga jaminan. Saya mempunyai keyakinan dalam dirinya," kata Donadoni, yang sering bermain golf bersama van Basten, walaupun dia belum berjaya mengalahkannya.

Donadoni, yang mempunyai tugas hampir mustahil menggantikan jurulatih pemenang Piala Dunia, Marcello Lippi dan di sebalik menandatangani lanjutan kontrak dua tahun sebelum kejohanan itu, masih dalam keadaan tertekan, berkata dia percaya pemainnya sudah bersiap sedia berdepan cabaran Perancis.

"Kami perlu mengalahkan Perancis," katanya. "Ia perlawanan penting kerana satu pasukan masih berpeluang untuk layak dan anda perlu beraksi pada tahap tertinggi," katanya. � AFP

Berita Harian Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...