Gambar diatas diambil semasa ‘ penghulu parlimen’ Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz serius menegur Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBCC) Datuk Bung Mokthar Raden ( BN-Kinabatangan) petang Selasa tidak lama selepas para ahli jawatankuasa kelab itu bertindak sendiri membuka halangan yang dipasang untuk menghadkan kawasan liputan media di Parlimen.
Kemudiannya ia disertai oleh Pengerusi BNBCC, Datuk Seri Tiong King Sing (BN- Bintulu).
Isunya di sini selepas soal halangan keatas media dibatalkan dan keadaan sudah kembali seperti sediakala ‘perang terbuka’ meletus antara Nazri dengan para ahli Parlimen BN pula.
Menteri Dijabatan Perdana Menteri itu ‘ikut buku’ tegas dengan pendiriannya bahawa BNBBC salah pandai-pandai sendiri bertindak membuka pita halangan kerana mereka tidak ada kuasa keatas pentabiran Parlimen.
Katanya hanya kakitangan Parlimen saja berhak membukanya.
Manakala pihak BNBBC pula merasakan tindakan mereka wajar kerana apa yang mereka cuba lakukan ialah membetulkan keadaan kerana merasakan wartawan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan tugas di Parlimen.
Keadaan menjadi bertambah tegang bila Nazri secara terbuka menghentam mereka dan menyifatkan BNBBC “kebudak-budakan dan dari kelab samseng” seperti yang dilaporkan kebanyakan akhbar pada hari Rabu.
Sebagai tindak balas petang Rabu kedua-dua Tiong dan Bung Mokthar membuat kenyataan pada Bernama membidas Nazri melabelkan anggotanya seumpama itu.
Tiong berkata, wakil rakyat BN merasa terhina dianggap sedemikian sedangkan apa yang mereka cuba lakukan ialah membetulkan keadaan kerana merasakan wartawan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan tugas di Parlimen.
“Setelah kami gagal mendapat penjelasan (mengenai arahan sekatan itu) daripada Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia), jawatankuasa peraturan Parlimen dan menteri itu sendiri, kami merasakan sekatan itu perlu dialihkan,” katanya kepada Bernama.
Tiong berkata, tidak wajar bagi Nazri menganggap Anggota Parlimen sebagai samseng dan budak-budak kerana mereka merupakan wakil rakyat.
Katanya, BNBCC akan berbincang Isnin ini mengenai tindakan yang akan diambil seterusnya kerana mereka melihat kenyataan Nazri itu “melampau”.
Bung Moktar Radin pula berkata, isu sekatan terhadap wartawan itu turut dibangkitkan oleh wakil rakyat BN dan bukan hanya oleh wakil pembangkang.
“Pada masa rehat waktu makan tengah hari, kami pergi berjumpa Tan Sri Speaker, dan memandangkan tidak ada keputusan, barulah kami bertindak mengalihkan sekatan itu,” katanya.
Ekoran bantahan oleh wakil-wakil media, pihak pentadbiran Parlimen semalam membenarkan mereka berada semula di situ.
Sementara itu setakat ini belum jelas bagaimana arahan menghadkan kawasan liputan media dikeluarkan.
Nazri menafikan beliau mengeluarkan arahan itu.
Malah timbul pula cakap-cakap yang mendakwa bahawa arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun Agendadaily diberitahu oleh satu sumber yang layak dipercayai bahawa Abdullah tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu.
“Saya sudah check sendiri hal ini…ia bukan berpunca dari Perdana Menteri,”katanya.
Satu sumber lain pula mendakwa kebelakangan ini memang timbul perhatian berat bukan saja kalangan pentabir Parlimen tetapi dirasai oleh para Ahli Parlimen BN sendiri melihat ‘suasana macam pasar’ wujud di Parlimen.
Ini bilamana para Ahli Parlimen pembangkang membawa masuk orang luar seperti anak-anak pemimpin Hindraf meraikan hari jadi di Parlimen sebagai tanda protes mereka ditahan ISA.
Begitu juga halnya wakil-wakil Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bebas mengedarkan risalah dan sebagainya dalam parlimen.
Lebih mengejutkan ialah insiden kemasukan sekumpulan orang kurang upaya untuk memprotes kenyataan Ahli Parlimen bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dan Bung Mokthar terhadap Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Karpal Singh ( yang berkerusi roda) yang dianggap menghina OKU.
Perdebatan hangat dan riuh telah berlaku antara dua Ahli Parlimen itu di kawasan lobi Parlimen – satu hal yang belum pernah berlaku selama ini.
Apapun ramai yang terkejut kenapa tindakan menghadkan kawasan liputan media pula yang berbangkit kerana ia sepatutnya melibatkan soal kemasukan pelawat luar ke dalam Parlimen.
“ Hairannya kenapa pentabir parlimen zero in pada petugas media semasa sekatan itu dikuatkuasakan pada pagi Selasa,” kata seorang wartawan kanan yang betugas membuat liputan sidang Dewan Rakyat.
Suasana Parlimen sekarang memang bukan seperti dulu-dulu.Lepas pilihanraya umum 8 Mac,sidang Dewan Rakyat semacam menjadi satu tarikan.
Rombongan para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta badan-badan lain tak putus-putus setiap hari.
Keadaannya berterusan ‘ bersemangat’ sejak sesi sidang pertama hingga ke sidang yang sedang berlangsung sekarang.
Ini berbeza dengan dulu yang biasanya lengang bila sidang sebelah petang.
Ramai tak ramai orang yang datang ke Parlimen dapat diukur dari jumlah kereta yang berada sekitar kawasan letak kereta yang saban hari sesak.Ramai juga yang terpaksa letak kereta jauh di luar pagar bangunan Parlimen.
Semua ini dikatakan mencetuskan kebimbangan tentang soal keselamatan dan sebagainya.
Cuma seperti diakui oleh beberapa Ahli Parlimen yang ditemui mereka turut hairan kenapa sekatan hari Selasa itu jatuh keatas media pula sedangkan para wartawan tidak pernah mencetuskan masalah selama ini.
“Memanglah adakalanya mereka berebut mengejar dan mengepung menteri dan para Ahli Parlimen untuk dapat ulasan sesuatu isu…tapi ia hal biasa dalam tugas para wartawan,”kata mereka.
No comments:
Post a Comment