KLAGENFURT, Austria – Croatia mengejutkan juara tiga kali, Jerman 2-1 untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah (2008), sekali gus menyamai pencapaian terbaiknya pada 1996.
Jaringan Darijo Srna dan Ivica Olic membawa Croatia menjadi pasukan kedua selepas Portugal mara ke peringkat lapan terbaik dan meneruskan reputasi sebagai ‘pembunuh gergasi’.
Malah tambah memburukkan lagi keadaan, Jerman terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya, Bastian Schweinsteiger dilayangkan kad merah ketika saingan memasuk masa kecederaan.
Croatia merupakan pasukan yang bertanggungjawab memusnahkan harapan England untuk beraksi di Euro 2008 selepas menundukkan pasukan itu dalam dua perlawanan mereka di pusingan kelayakan.
Ini merupakan kemenangan kedua mereka selepas menundukkan tuan rumah, Austria 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.
Walaupun Jerman, juara 1996, 1980 dan 1972 mengawal sebahagian besar permainan, namun Croatia, yang hanya memiliki pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada Euro 1996 terlebih dulu membuka jaringan.
Selepas menyambut hantaran silang Danijel Pranjic dari kiri pintu gol, Srna menewaskan pertahanan Jerman, Marcell Jansen sebelum melakukan tolakan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Jens Lehmann.
Jerman terdahulu memperoleh peluang membuka jaringan menerusi bintang penyerang, Lukas Podolski pada minit ke-10 tetapi sepakan pemain itu berjaya ditepis penjaga gol, Stipe Pletikosa.
Pada minit ke-22, Jerman berjaya menembusi gawang Croatia, namun jaringan penyerang Mario Gomez itu dibatalkan oleh pengadil kerana sudah berada dalam posisi ofsaid.
Dua minit kemudian, Pranjic yang tidak dikawal melakukan hantaran cantik kepada Srna dari kiri gol Jerman, meskipun terjatuh di depan pintu gol, Srna sempat menolak bola untuk menewaskan Lehman.
Ketinggalan 1-0 memaksa Jerman menggandakan asakan sebaik memasuki babak kedua dan Podolski hampir menjaringkan gol penyamaan selepas menyambut sepakan sudut di minit ke-47, namun tandukannya diselamatkan pertahanan Croatia.
Biarpun kerap diasak, namun Croatia, yang memiliki sentuhan Jerman, di mana tiga tonggak utamanya - Niko Kranjcar, Robert Kovac dan Ivan Klasnic dilahirkan di Jerman berjaya memanfaatkan peluang yang sesekali diperoleh.
Pada minit ke-62, Olic melebarkan kedudukan 2-0 apabila merembat bola yang jatuh ke kakinya selepas terkena siku pertahanan lawan.
Podolski menghidupkan harapan Jerman dengan merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-79 menerusi rembatan kaki kiri, namun jaringan itu tidak mampu menyekat Croatia dari meraikan kemenangan.
– Agensi
No comments:
Post a Comment