Salmiyah Harun
Fri | Jul 18, 08 | 5:39:27 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Selepas pengakuan Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen kini calon Presiden Umno Tengku Razaliegh pula mendakwa dirinya juga mempunyai cara tersendiri menurunkan bahan api tersebut.
Tengku Razaliegh yakin boleh turunkan harga minyak selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak.
Menurut Dewan Pemuda PAS, kenyataan terbaru Razaleigh walaupun menafikan sebagai kempen politik tetapi mesej yang begitu jelas ditujukan kepada kegagalan Abdullah Badawi menjaga kepentingan rakyat.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, idea yang tercetus oleh Razaliegh itu sama dengan pandangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim dalam debat baru-baru ini.
"Yang penting dua pencabar Abdullah Badawi telah bersepakat harga minyak boleh diturunkan jika kerajaan memikirkan beban yang ditanggung oleh rakyat," tegas Salahuddin.
Tambahnya, Razaliegh dan Anwar adalah bekas Menteri Kewangan yang kini disebut-sebut bakal menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri ekoran terpalitnnya Dato' Seri Najib Razak dengan isu Altantuya serta kejayaan Abdullah Badawi menjerat timbalannya dalam pelan peralihan kuasa pada 2010.
Salahuddin berkata, Razaliegh menyedari ada usaha-usaha untuk menghalang mana-mana ahli Umno bertanding jawatan Presiden Umno sedang giat dijalankan.
"Di satu sudut, Pak Lah menggunakan MT Umno untuk membuat arahan supaya Presiden Umno tidak ditandingi kerana peralihan kuasa akan dibuat pada 2010; sedang di sudut yang lain, usaha melobi Perhubungan Umno negeri-negeri supaya menyokong Pak Lah secara terbuka juga dibuat," katanya.
Dalam masa sama, Salahuddin berkata, peraturan berkempen diwujudkan untuk menyekat tokoh Umno tertentu daripada berkempen terutama yang tidak berjawatan menteri.
"Semua pendekatan ini adalah untuk menyelamatkan Abdullah Badawi, di samping MT terus mengekalkan peraturan 30 peratus pencalonan untuk jawatan Presiden Umno," tambah beliau.
Sehubungan itu, Salahuddin berkata, Razaliegh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat layak menentang Abdullah Badawi untuk jawatan tersebut, beliau bukan sahaja lebih berpengalaman bahkan telah terbukti kebolehannya mentadbir.
"Semenjak zaman Tun Hussein Onn nama Ku Li disebut sebagai bakal Perdana Menteri, tetapi Dr Mahathir yang dipilih oleh Tun Hussein. Pada zaman Mahathir, Ku Li telah memperlihatkan pengaruhnya sehingga Umno 'dibiarkan' haram untuk menyekat peluang Ku Li," katanya.
Kini, kata Salahuddin, Najib sudah terjerat dengan Altantuya dan hampir hilang kelayakan, dan Razaliegh mula menggunakan isu-isu yang tiada kaitan dengan Umno seperti isu harga minyak untuk memancing sokongan ahli Umno.
"Ku Li nampaknya lebih sependapat dengan pembangkang yang mewakili suara rakyat dalam hal ini, berbanding Pak Lah yang buntu dalam mengatasi kenaikan harga minyak global," katanya. - mns _
No comments:
Post a Comment