Saturday, July 19, 2008

Anwar Cabar Siasat Najib

Petikan: Suara Keadilan


KUALA LUMPUR, 17 Julai (SK)- Anwar Ibrahim mencabar pihak polis untuk menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdull Razak berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Umum KeADILan tersebut berkata pihak polis seolah-olah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa menjalankan siasatan terhadap dirinya berkaitan laporan polis yang dibuat bekas pembantu beliau Mohamad Saiful Bukhari Azlan tetapi tidak dalam kes Altantuya.

“Kenapa tidak tanya polis mengapa mereka tidak menyiasat Najib berkenaan pembunuhan Altantuya?

“Bukti cukup sudah ada terhadap pembunuhan tersebut dan juga penggunaan bahan letupan C4″, cabar Anwar ketika menemui media di kediaman beliau setelah dibebaskan polis Khamis lalu.

Altantuya, 28 tahun, ditemui mati di Mukim Bukit Raja, Shah Alam pada Oktober 2006 dan mayat beliau berkecai dipercayai kesan daripada bahan letupan C4.

Pada 2 Julai lalu penyiasat persendirian P. Balasubramaniam membuat akuan bersumpah yang mengaitkan Mohd Najib dengan Altantuya.

Walau bagaimanapun Mohd Najib menafikan dakwaan Bala dengan sekeras-kerasnya sambil menyifatkan ia sebagai “pembohongan yang amat dahsyat”.

Anwar juga menyoal pertemuan Mohamad Saiful Bukhari dengan isteri Timbalan Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan pegawai Khas Mohd Najib, Khairil Anas Jusoh.

“Mengapa beliau (Saiful) berjumpa dengan Rosmah dan Khairil Anas. Apakah latar belakang dan orientasi Khairil?

“Apa keperluan dia berjumpa dengan Najib?”, tanya Anwar lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...