18-07-2008 06:56:22 PM
oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa meminta pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutama menteri menghentikan komen-komen yang disifatkan mencampuri siasatan polis dan menimbulkan salah faham berhubung kes liwat Anwar.
Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilaporkan media tempatan hari ini terutama muka hadapan akhbar the New Straits Times (NST) yang tertulis "What is he afraid of? He can have his own doctor present when giving sample." (Apa yang ditakutkannya? Beliau (Anwar) boleh memberi sampel (DNA) dengan kehadiran doktornya".
Sivarasa berkata, kenyataan Syed Hamid itu seperti mencampuri siasatan yang sedang dijalankan selain menimbulkan salah faham yang seolah-olah menggambarkan Anwar enggan memberi kerjasama kepada polis.
"Datuk Seri Anwar mempunyai sebab untuk percaya kemungkinan bukti DNA itu akan dipalsukan sekali lagi oleh pihak polis seperti yang berlaku dalam kes 1998. Ini kerana pengadu (Mohd Saiful Bukhari Azlan) berada dalam penjagaan polis sejak 28 Jun lalu dan polis juga mempunyai DNA Datuk Seri Anwar bagi kes terdahulu.
"Justeru, kenyataan Datuk Seri Syed Hamid yang percaya ia boleh diselesaikan dengan memberi sampel DNA kepada doktor peribadi dan pakar forensik antarabangsa tetap tidak menyelesaikan kebimbangan anak guam kami kerana sampel itu tetap akan diberikan kepada polis," katanya ketika sidang media di rumah Anwar di Segambut, hari ini.
Beliau berkata, dalam perbicaraan kes liwat membabitkan mantan Timbalan Perdana Meneteri itu pada tahun 1998 dan 1999, bukti DNA Anwar telah dipalsukan apabila seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan telah membuang sampel DNA daripada penjagaan forensik secara tidak sah.
"Ketika sesi soal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, maka terdedahlah yang DNA yang diambil dari sampel darah sengaja diletakkan di atas tilam yang dikenali umum itu," kata Sivarasa.
"Apabila fakta ini dihadapkan, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk Hakim Augustine Paul, agar menghapuskan semua bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya," katanya.
Sivarasa berkata, Anwar hanya akan mempertimbangkan untuk menjalani ujian DNA jika beliau benar-benar yakin semua pemeriksaan kesihatan dan sampel yang diambil dilakukan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan polis.
Katanya, kebimbangan Anwar itu disebabkan pemalsuan bukti yang berlaku dalam kes terdahulu membabitkan 'pemain yang sama' pada masa ini iaitu Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan (yang pada ketika itu ketua pendakwaraya dan ketua siasatan) kini memegang jawatan yang lebih berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang.
"Selain itu, siasatan yang dijalankan pada tahap ini tidak memerlukan bukti DNA kerana satu kes masih belum wujud," katanya.
Beliau berkata, Anwar telah memberikan keterangan selama lima setengah jam polis Rabu lalu walaupun beliau ada hak untuk tidak berbuat demikian atas nasihat semua peguamnya.
"Beliau tetap memberi keterangan untuk membuktikan beliau mahu bekerjasama walaupun peguam-peguamnya menasihatkan beliau tidak berbuat demikian kerana kami masih belum mendapat salinan laporan polis," katanya.
Ketika ditanya sama ada Anwar akan memberi sampel DNAnya jika mendapat perintah mahkamah, Sivarasa berkata, hal itu (perintah mahkamah) tiada dalam peruntukan undang-undang.
Beliau seterusnya menyelar satu laporan akhbar NST hari ini yang menyatakan memetik satu sumber yang tidak bernama dari Hospital Kuala Lumpur yang mengatakan Anwar tidak dibogelkan ketika pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadapnya padanya Rabu lalu di hospital tersebut.
"Laporan (beliau tidak dibogelkan) itu salah sama sekali," katanya.
Anwar semalam mendakwa, beliau telah dibogelkan semasa pemeriksaan ke atasnya dibuat oleh kakitangan HKL.
Katanya, seluruh badan termasuk alat sulitnya diperiksa bagi mendapatkan bukti untuk siasatan kes liwat yang dikaitkan dengan dirinya.
No comments:
Post a Comment