10 Julai, 2008 15:13 PM
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung laporan yang dibuatnya di sini pada 4 Julai lepas.
Shamsul Iskandar yang ditemani Naib Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua AMK Kuala Lumpur Md Zaman Md Tasi serta beberapa exco, tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman pada pukul 11 pagi.
Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung satu laporan yang dibuatnya di Balai Polis Dang Wangi yang menyebut bahawa beliau percaya wujud unsur paksaan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam menarik balik Akuan Bersumpah pertamanya dan membuat akuan bersumpah keduanya berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Shamsul Iskandar berkata beliau dimaklumkan polis bahawa siasatan terhadap laporan yang dibuatnya itu akan dimulakan justeru keterangan beliau diperlukan bagi membantu siasatan.
"Kini sudah ada dua akuan yang dibuat P.Balasubramaniam. Apabila sudah ada dua akuan, ia menjadi lebih penting untuk kita tahu mana satu yang benar, sama ada yang pertama atau yang kedua," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pintu masuk JSJK di sini hari ini.
"Sesudah diambil keterangan saya nanti, saya minta agar keterangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula diambil. Ini perkara serius, ini bukan tuduhan biasa. Ini Akuan Bersumpah, siasatan segera dan menyeluruh harus dijalankan.
Ketika Balasubramaniam membuat akuan bersampah keduanya, penyiasat persendirian itu menjelaskan bahawa akuan bersumpah pertamanya adalah tidak tepat dan tidak benar serta dibuat dalam keadaan tertekan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment