Thursday, July 10, 2008

Pakatan Rakyat kemuka usul undi tidak percaya

Oleh Intan Abdullah & Nyza Ayob
Thu | Jul 10, 08 | 4:56:15 pm MYT Dipetik drp HarakahDailyNet

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Pakatan Rakyat telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi serta jemaah menterinya.

Menurut Ketua Pembangkang Parlimen ke-12, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia adalah ekoran kegagalan dan kelemahan Abdullah serta kabinetnya dalam menjalankan urus tadbir negara selain terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

"Kemenangan tipis BN telah dicapai dalam pilihan raya umum lalu melalui manipulasi SPR dan pembohongan yang tidak bermaruah," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini selepas diiringi wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat lain setelah menghantar surat kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat bagi mengemukakan usul tersebut.

Malah tambahnya, harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas pilihan raya umum meskipun Timbalan Perdana Menteri telah berjanji tidak akan menaikkannya semasa melancarkan manifesto BN.

"Negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat juga telah dianaktirikan bagi memperlihatkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme.

"Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggung jawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara," katanya.

Oleh itu tegasnya, perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap Abdullah dan kabinetnya.

Rakyat katanya, dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan sehingga menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan yang lain ditambah dengan terhakisnya kepercayaan terhadap institusi polis, peguam negara dan badan kehakiman.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berharap usul ini akan diterima pada hari Isnin nanti.

Manakala, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pula menjelaskan bahawa usaha ini adalah merupakan tindakan yang dilakukan secara berterusan Pakatan Rakyat bagi memulihkan pentadbiran negara ini. - mns/mks. _

10.07.2008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...