Thursday, July 10, 2008

Sah, Pak Lah serah Najib kepimpinan pertengahan 2010

Dipetik: mStar Online

10-07-2008 06:52:51 PM

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara dan parti kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pertengahan 2010.

Perkara ini diumumkan pada majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Malah, Abdullah juga mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada Disember ini dan mahu Najib kekal sebagai timbalannya.

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah selesai mengadakan mesyuaratnya sebentar tadi dan kini berlangsung Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

BERITA TERDAHULU

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah selesai mengadakan mesyuaratnya sebentar tadi dan kini berlangsung Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

Sesi Taklimat Presiden juga akan berlangsung kira-kira dua jam, yang antara lain beliau dijangka menyentuh soal peralihan kuasa.

Difahamkan beliau akan mengumumkan tarikh peralihan kuasa yang dijangka berkuat kuasa 2010.

BERITA TERDAHULU:

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika tinggal kurang seminggu cawangan-cawangan mula bermesyuarat agung tahunan, Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat mulai pukul 3.15 petang ini djangka membincangkan usul Presiden dan Timbalan Presiden dipilih tanpa tandingan.

MT telah juga akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang peralihan kepimpinan parti.

Keputusan penting ini dijangka diumumkan pada petang ini - ketika Taklimat Presiden yang akan menyusul mesyuarat MT.

Difahamkan, walaupun anggota MT tidak menerima agenda khusus mesyuarat petang ini tetapi usul sedemikian akan dibawa dalam pertemuan hari ini.

Presiden dan Timbalan Presiden Umno semasa iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah dipilih tanpa cabaran empat tahun lalu.

Usul ini juga dipercayai untuk memastikan proses peralihan kuasa yang lancar selepas prestasi kurang memberangsangkan Umno dalam pilihan raya umum lalu.

"Difahamkan sudah ada usaha untuk membawa usul itu hari ini. Sejauh mana ia akan berjaya belum dapat dipastikan," kata sumber itu kepada mStar Online.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, jika berpeluang beliau akan membangkitkan pandangan sedemikian dalam majlis Taklimat Presiden petang ini.

Ia penting untuk memperkukuh dan memantapkan Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, katanya.

Sumber itu juga memberitahu jika usul itu dibawa, akan menyaksikan perbahasan yang mendalam memandangkan ada pihak yang mahu pertandingan diteruskan bagi menunjukkan amalan demokrasi dalam parti masih subur.

MT Umno mengadakan pertemuan petang ini, yang kedua selepas menganjurkan program retreat lebih sebulan yang lalu.

Mesyuarat hari ini juga penting memandangkan mesyuarat agung tahunan peringkat cawangan akan bermula Selasa depan. Mesyuarat cawangan disusuli dengan persidangan bahagian Oktober ini dan pemilihan pusat Disember ini.

Minggu lalu Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang telah menyatakan pendirian untuk mencalonkan Abdullah dan Najib masing-masing mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh Badan Perhubungan Selangor dan Melaka. Perlis juga mempunyai pendirian yang sama.

Pemilihan kali ini juga dikatakan penting selepas timbul pandangan supaya Abdullah melepaskan jawatannya ekoran prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Abdullah dipilih sebagai Presiden pada tahun 2004 selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad Oktober 2003.

Najib pula dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Umno pernah menggunakan formula Presiden dan Timbalan Presiden dipilih tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Abdullah dijadual menyampaikan taklimat khas kepada kesemua 191 ketua UMNO bahagian parti selepas mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ia bertujuan menjelaskan perkembangan dan senario politik tempatan dengan tumpuan menjurus kepada proses peralihan kuasa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...