Dari: Malaysia Kini
Masih belum berakhir kontroversi di perhimpunan membantah harga minyak hujung minggu lalu, kini petugas angkatan muda PKR pula didakwa memukul penyanyi kumpulan indie Carburetor Dung.
Angkatan muda, yang bertugas bagi pihak penganjur Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), turut didakwa menghalang petugas media yang cuba merakam insiden kekecohan tersebut.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagaimanapun menafikan pemuda yang kelihatan cuba menumbuk Alak - penyanyi Mari nyanyi menjilat, lagu mengkritik budaya mengampu dan kebergantungan kepada korporat - sebagai anggota skuad petugas pergerakan itu.
"Angkatan Muda menafikan pihak yang memulakan kekecohan itu adalah ahli kita. Arahan kita kepada skuad jelas, pakai baju biru skuad AMK tanpa mengenakan jaket," kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Malaysiakini hari ini.
"Jadi sesiapa yang memakai jaket, bukanlah anggota skuad AMK."
Hari ini, selain menyampaikan bantahannya kepada PKR berhubung gangguan sayap pemuda parti ini kelmarin, Persatuan Wartawan Foto Cina Malaysia (MCPA) mengeluarkan foto yang menunjukkan seorang lelaki bertopi merah dan berjaket gelap (foto atas) mengangkat tangan cuba menumbuk muka Alak.
Penyanyi itu semalam memberitahu Malaysiakini, beliau mengesyaki kekecohan tersebut pada awalnya angkara tindakan provokasi pihak yang tidak dikenali dan bukannya melibatkan penyokong pembangkang.
Mengulas tindakan awal tiga orang yang memulakan kekecohan di pentas stadium Kelana Jaya, Shamsul berkata:
"Kita percaya, (tindakan) ini dilakukan oleh ejen-ejen provokasi dan anasir-anasir luar yang cuma memburukkan nama AMK."
Menurutnya lagi, sehari sebelum program, skuad AMK telah diberikan taklimat bagaimana mengawal keadaan dan menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
"Arahan kita jelas, (jika berlaku kekecohan) lepaskan dan kosongkan mereka (yang menjadi sasaran) dari tempat itu.
"Sebab itu sewaktu Alak diserang, skuad AMK membuat benteng manusia untuk melindunginya daripada dipukul sehingga ada ahli-ahli kita yang luka, koyak seluar dan lebam kena baling dengan topi keledar dan kayu.
"Mereka ini bekerja keras mengawal keadaan. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka," tambahnya.
Dalam notanya kepada penganjur, termasuk petugas PKR, presiden MCPA Vincent Thian berkata gambar-gambar itu "dengan jelas menunjukkan skuad AMK yang mula memukul penyanyi tersebut."
Dalam komunikasi emelnya kepada parti tersebut hari ini, persatuan itu juga mendakwa jurugambar dihalang daripada merakamkan peristiwa malang tersebut dan "diugut oleh skuad keselamatan."
"Apapun yang terjadi, pengawal keselamatan tidak patut menghalang kakitangan media daripada menjalankan tugas mereka dan menyerang mereka," katanya.
"Harap anda boleh memahaminya kerana MCPA tidak bercakap mewakili jurugambar akhbara-akhbar Cina semata-mata.
"Kami meluahkan keprihatinan ini bagi pihak semua jurugambar akhbar kerana kami satu-satunya badan berdaftar untuk kalangan jurugambar akhbar di Malaysia."
Dalam surat rasmi persatuan itu, MCPA turut menjelaskan batu yang dibaling hampir-hampir mengena seorang jurugambar, walaupun kebanyakan objek yang dilempar hanyalah botol-botol minuman.
Malaysiakini juga menghantar surat bantahan berhubung isu yang sama dengan menamakan wartawan-wartawan beberapa media lain seperti Reuters, TVPas, The Star, Suara Keadilan dan Channel News Asia yang turut mengalami gangguan petugas parti pembangkang tersebut.
Surat itu dikirim dengan tangan kepada penyelaras Protes dan juga bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan beberapa pemimpin PKR, termasuk presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ketua penerangan Tian Chua.
Mengulas dakwaan MCPA itu, Shamsul berkata perkara itu terjadi tanpa disengajakan.
"Dengan keadaan kelam-kabut ketika itu. Macam-macam boleh berlaku. Tidak dinafikan mereka (petugas) sebahagiannya panik.
"Kepada wartawan dan jurugambar yang terlibat, saya mohon maaf dan saya percaya perkara ini tidak akan berulang," katanya.
Dalam emel yang sama, MCPA juga mendakwa pengawal keselamatan PKR termasuk yang melindungi penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menghalang tugas pengamal media.
No comments:
Post a Comment