Tuesday, August 26, 2008

Anwar menang besar: Majoriti 15,671 - MALAYSIAKINI

Aug 26, 08 9:19am

9.47 malam: Keputusan rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti 15,671 undi.

Penasihat PKR itu mendapat 31,195 undi, manakala calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Yang menariknya, majoriti undi yang diperolehi mantan timbalan perdana menteri itu, lebih tinggi daripada undi yang diperolehi oleh calon BN.

Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi hari ini.

KEPUTUSAN/RESULTS - PULAU PINANG P44:PERMATANG PAUH:PP:58,459

1.Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) 31,195 undi.
2.Hanafi Mamat (AKIM) 92 undi.
3.Datuk Arif Shah Omar Shah (BN)15,524 undi.

Jumlah mengundi/Votes cast 38,144
Peratus/Percentage 65.25 peratus
Undi rosak/Spoilt votes 447 undi
Majoriti/Majority 15,671 undi.

Penyandang/Incumbent:Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail(PKR)
Undi diperolehi/Votes Polled:2008:30,348
Majoriti/Majority:13,398

Pengundian di Permatang Pauh tamat - MALAYSIAKINI

Aug 26, 08 9:19am

5.00 ptg: Proses pengundian tamat dan ini akan diikuti dengan proses pengiraan undi.

4.25 ptg: Menurut Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd Noor berkata sehingga jam 3 petang tadi, hanya 53.5 peratus keluar mengundi. Beliau juga menafikan khabar angin yang tempoh pengundian dilanjutkan hingga jam 6 petang.


1.33 tghari: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi Malaysiakini berkata, keadaan keseluruhan terkawal. Beliau mengesahkan seorang penyokong Pakatan ditahan pagi tadi kerana melempar objek dan menghalang tugas polis.

Menurutnya, kesesakan juga berlaku kerana faktor manusia yang tidak patuhi undang-undng dan ikut emosi sendiri.

1.30 tghari: Masih terdapat 200 penyokong Pakatan di SK Sri Penanti. Kelihatan 10 trak FRU serta trak meriam air ditempatkan di situ.

1.00 tghari: Menurut Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, setakat jam 12 tengahari, 44.8 peratus pengundi telah membuang undi.

Manakala Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula menganggarkan sehingga jam 1 tengahari, peratusnya dijangka meningkat kepada 53 peratus.

12.10 tghari: Seperti yang diramalkan oleh Jabatan Kaji Cuaca, hujan mulai turun di sekitar Permatang Pauh dan diramalkan juga akan berpanjangan hingga ke malam.

11.20 pagi: Bilik gerakan SPR di Permatang Pauh ketika dihubungi berkata, hanya Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor yang boleh memberitahu peratus pengundian. Kamaruzaman kini sedang meninjau perjalanan proses pengundian.

11.05 pagi: Ejen pengundian PKR, Rodziah Ismail, sahkan nama pengundi dalam kedua-dua versi daftar pengundi di SK Seberang Jaya 2, adalah sama, hanya muka surat yang berbeza.

11.00 pagi: Ramai penyokong BN dan Pakatan di SK Sri Penanti sudah beredar. Hanya tinggal kira-kira 100 penyokong BN dan kira-kira 200 penyokong Pakatan yang masih kelihatan di situ. Anggota polis masih mengawal keadaan di situ.

10.52 pagi Calon Akim, Hanafi Mamat memberitahu Malaysiakini, beliau dalam perjalanan untuk melawat pusat pengundian di Kubang Semang.

Beliau menaruh harapan dan menegaskan, jika kalahpun "mesej kita sudah sampai kepada pengundi dan mereka boleh menilai".

10.42 pagi: Ketua Penerangan PKR, Tian Chua sedang berunding dengan pihak polis untuk memberi lebih masa kepada penyokong parti politik beredar.

10.42 pagi: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob tiba di tempat kejadian. Selepas berbincang dengan para pegawainya, polis mengarahkan penyokong kedua belah pihak supaya beredar.

Terdapat kira-kira 1,000 penyokong parti politik di situ, yang terdiri daripada kira-kira 400 penyokong BN dan 600 penyokong Pakatan.

10.30 pagi: seorang penyokong Pakatan ditahan di SK Sri Penanti kerana didakwa melontar objek ke arah penyokong BN.

10.10 pagi: Anwar berkata beliau berharap dapat angkat sumpah di Parlimen esok dan "kita akan masuk Parlimen dengan agenda yang jelas dan mereka (BN) patut bangun dengan menerima realitinya".

Dalam ucapan ringkasnya selepas membuang undi, Anwar berkata, beliau menerima sokongan kuat penduduk Permatang Pauh.

10.05 pagi: Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR, Fauziah Salleh berkata pihaknya sedang menyemak perbezaan muka surat dalam daftar pengundi yang diberi pada PKR dan yang digunakan di saluran dua, SK Seberang Jaya 2.

Katanya, muka surat 8 hingga 21 dalam daftar yang diberikan kepada PKR adalah untuk pengundi saluran dua, tetapi mengikut daftar pemilih yang digunakan oleh SPR pagi ini, bagi pengundi saluran dua adalah muka surat 1 hingga 14.

10.00 pagi: Anwar dan Dr Wan Azizah beredar dari SK Seri Penanti selepas kedua-dua mengundi di SK Sri Penanti. Ketika ditemui pemberita, Anwar berkata, ia bukan Anwar lawan calon BN, tetapi melawan seluruh jentera kerajaan. Bagaimanapun, Anwar yakin menang.

9.38 pagi: Anwar tiba di SK Sri Penanti untuk membuang undi. Beliau yang berbaju kameja biru dan bersongkok, bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

9.31 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertembung Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang di pusat pengundian di SK Seberang Jaya 2.

Penyokong Pakatan melaungkan 'Altantuya, pembohong, penipu' manakala penyokong BN pula melaungkan 'Hidup BN'

9.30 pagi. Menurut sumber yang layak dipercayai, 9 daripada 10 pengundi di SK Sri Penanti difahamkan memilih Anwar.

9.10 pagi PKR menghantar ‘alert' menyatakan senarai daftar pengundi yang digunakan di SMK Seberang Jaya 2, dalam DUN Seberang Jaya 2, berbeza dengan senarai yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini. Bagaimanapun, difahamkan berlaku perbezaan muka surat dalam daftar pemilih yang digunakan oleh pihak parti dan SPR di pusat pengundian tersebut.

9.05 pagi: Jumlah penyokong Pakatan di SK Sri Penanti, semakin bertambah mencecah kira-kira 700 orang. Manakala penyokong BN pula dianggarkan seramai 300 orang.

8.45 pagi: Kira-kira 30 sedang berbaris untuk mengundi di SK Sri Penanti. Manakala jumlah penyokong BN bertambah kepada kira-kira 250 orang manakala penyokong Pakatan pula meningkatkan kepada kira-kira 300 orang.

Penyokong BN kedengaran melaung liwat, penyokong Pakatan ada kata Altantuya, Ada juga penyokong Pakatan tunjuk wang kertas RM50 ke arah penyokong BN. Ada penyokong Pakatan Tanya BN ‘Tak nyanyi lagu ke'. Penyokong BN jawab ‘liwat'. Bila kenderaan lalu, mereka bersorak.

8.30 pagi: Terdapat kira-kira 200 penyokong BN dan 200 penyokong Pakatan berada di SK Sri Penanti menunggu ketibaan Anwar. Kedua belah pihak dipisahkan oleh jalanraya dan berada kira-kira 20 meter dari situ. Penyokong PKR melaungkan ‘Reformasi' manakala di pihak BN, mereka menyanyikan lagi ‘Barisan Kita". Kelihatan kira-kira 50 anggota polis bertugas mengawal keadaan di situ.

Pengundi dijangka keluar awal untuk mengundi ekoran Jabatan Meteorologi meramalkan hujan dan ribut petir akan berlaku di sebelah petang.

8.15 pagi: Keadaan lalu lintas di sekitar Permatang Pauh terkawal dan kenderaan yang membawa lambang BN dan PKR mundar-mandir mengangkut pengundi.

Seramai 6,000 anggota polis ditugaskan mengawal keadaan keselamatan di Permatang Pauh untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

8.08 pagi: Calon BN, Datuk Arif Shah merupakan antara orang pertama membuang undi sebaik sahaja pusat pengundian di buka di SK Seberang Jaya 2. Anwar dijadual mengundi jam 9 pagi.

Ketika ditemui pemberita, Arif Shah menyifatkan angka 8 adalah nombor bertuah baginya. Isteri beliau, Datin Latifah Asmawi dan anak sulung mereka, Izwan Shah, turut mengundi di tempat yang sama.

Terdapat kira-kira penyokong kedua belah pihak membawa bendera parti masing-masing Penyokong Pakatan juga kelihatan memakain topeng Anwar dan bersorak antara satu lain.

8 pagi: Sejumlah 110 saluran di 25 pusat mengundi, dibuka kepada 58,459 pengundi membuang undi dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Tujuh daripada 25 pusat mengundi itu terletak di sekolah menengah kebangsaan manakala bakinya terletak di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan serta dewan orang ramai.

Pilihanraya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah 51; calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61, dan Hanafi Hamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Ia diadakan berikutan peletakan jawatan anggota parlimennya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding di kawasan itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihanraya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Anwar mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Penanti manakala Arif Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya 2.

Monday, August 25, 2008

Ramlan Porigi

Anwar calon pilihan untuk menang - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Aug 25, 08 4:09pm

Berdasarkan perkembangan terakhir, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang besar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, esok.

Tidak mustahil majoriti yang diperolehi oleh bekas timbalan perdana menteri itu lebih besar daripada yang diperolehi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Dr Wan Azizah, yang melepaskan kerusi itu untuk suaminya 31 Julai lalu, mendapat 13,388 undi dengan mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail.

Menurut tinjauan Malaysiakini sepanjang kempen ini sejak 16 Ogos, jentera kempen PKR sangat tersusun dan komited, mereka boleh bekerja siang malam tanpa mengira waktu.

Setiap pelusuk Permatang Pauh terdapat bilik gerakan PKR, malah ada dua atau tiga bilik gerakan di satu kampung.

Petugas-petugas pilihanraya PKR nampak begitu bangga membahagikan risalah perkembangan terbaru pilihanraya kerusi parlimen itu kepada orang ramai.

Isu liwat yang dimainkan oleh BN dalam kempen-kempen mereka juga dijangka tidak berkesan ekoran kejayaan PKR mendapatkan imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menjelaskan isu itu kepada pengundi mulai malam tadi.

Ramlang muncul di tiga majlis anjuran pembangkang untuk menjelaskan kehadirannya di majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan, 15 Ogos lalu.

Permatang Pauh sememangnya kubu kuat PKR dan ia seolah-olah menjadi kerusi tradisi keluarga Anwar.

Anwar dipilih ahli parlimen Permatang Pauh selama 17 tahun sejak 1982, manakala Dr Wan Azizah mengambil alihnya sejak 1999 setelah suaminya dipenjarakan selama enam tahun mulai 1998.

Malah bapanya Datuk Ibrahim Abdul Rahman pernah menjadi ahli parlimen Permatang Pauh (dulu dikenali Seberang Tengah) selama satu penggal mulai 1969.

Malah pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Pemudanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri mengakui Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR.

Sangat sukar membayangkan kerusi Permatang Pauh gagal dipertahankan di tangan Anwar esok, khususnya tiada seorangpun tokoh BN sepopularnya untuk memberikan cabaran.

Tinjauan di program-program Anwar menunjukkan ribuan orang hadir bukan sahaja di kalangan penyokong pembangkang tetapi juga dipercayai pengundi atas pagar.

Dalam satu majlis di Tenggiri, Seberang Jaya, ribuan hadir mendengar ceramah walaupun kira-kira 100 meter itu ada majlis ceramah Najib dan naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Meskipun jentera BN turut dibantu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sukar untuk calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah mencapai kemenangan.

Keputusan sama ada Anwar atau Arif Shah yang akan menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun bukan semata-mata ditentukan oleh kekuatan jentera dan kempen pilihanraya parti masing-masing.

Kemenangan salah seorang daripada dua calon besar itu hak 58,459 pengundi berdaftar.

Selain mereka, ia turut dimeriahkan oleh calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat.

Mufti Wilayah Persekutuan: Kredibiliti Ramlang diragui, akui sumpah Saiful sah - MSTAR ONLINE

25-08-2008 05:52:00 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh sangsi dengan kredibiliti imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang tampil membuat pengakuan bahawa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tidak sah.

Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab Feqah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.

"Saya sangsi sama ada beliau boleh baca kitab (Feqah) atau tidak. Apabila kita mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan soal hukum, kita seolah-olah bercakap bagi pihak Allah.

"Jadi kita perlu bercakap dengan ilmu dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa merujuk sebarang kitab yang berkaitan maka akan menerima siksaan dari Allah di neraka," katanya dalam sidang media di Pusat Islam di sini hari ini.

Semalam, Ramlang tampil membuat pengakuan di Permatang Pauh bahawa sumpah yang dilakukan Mohd Saiful tidak sah dan beliau 'dipaksa' untuk menjadi saksi dalam upacara tersebut.

Ramlang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17.

Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Bagaimanapun Wan Zahidi menolak dakwaan tersebut dan mengakui sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful itu adalah sah mengikut hukum Islam.

"Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa sumpah itu perlu dilakukan setelah selesai proses mahkamah adalah tidak betul.

"Ini tiada kaitan dengan mahkamah kerana sumpah yang dilakukan Mohd Saiful ialah atas pilihan beliau sendri tanpa arahan mana-mana pihak," katanya.

Tambah beliau, sumpah terbahagi kepada dua iaitu sumpah dalam perbicaraan di mahkamah dan yang kedua ialah di luar perbicaraan mahkamah.

"Sumpah sah dilakukan oleh mana-mana individu dengan pilihannya sendiri manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah hanya dengan menyebut nama Allah," katanya.

Namun jelas beliau, berdasarkan kitab Hasyiah I'anah al-Talibin juga ada menyebut mengenai pemberatan atau perkara tambahan yang boleh dilakukan semasa bersumpah iaiatu dari segi masa dan tempat.

"Berdasarkan kitab ini, ada menyebut kita boleh bersumpah selepas Solat Asar pada hari Jumaat, di dalam masjid disisi mimbar atau meriba al-Quran dan meletakkan tangan diatasnya," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful bukan sumpah mubahalah kerana sumpah itu memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Ditanya mengenai kenyataan Ramlang yang mendakwa bahawa kehadiran beliau semasa Mohd Saiful bersumpah adalah atas 'arahan pihak atasan', beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang normal.

"Kebetulan dia bertugas pada hari itu jadi tidak mustahil pegawai atasan masjid mengarahkan beliau untuk turut sama dalam upacara tersebut bagi membuat laporan mengenai apa yang berlaku. Itu perkara biasa." katanya.

Wan Zahidi turut melahirkan kembimbangannya mengenai situasi sekarang seolah-olah sumpah boleh dilakukan dengan sesuka hati tanpa memikirkan kesannya.

"Saya juga bimbang dengan tindakan imam tersebut (Ramlang) yang mengatakan sumpah itu tidak sah dan tidak mengikut syarak.

"Masyarakat akan keliru dengan kenyataan beliau itu. Saya berharap perkara seumpama ini tidak dipolitikkan untuk kepentingan peribadi," katanya.

Imam saksi sumpah Saiful mohon maaf depan Tuan Guru Nik Aziz - HARAKAHDAILY

Mohd Sabri Said | Foto Nasir Sudin
Mon | Aug 25, 08 | 9:18:03 am MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos (Hrkh) - Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kehadirannya secara tidak sengaja dalam majlis sumpah Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lepas menimbulkan banyak fitnah.

Katanya, beliau langsung tidak terbabit dengan pengaturan sumpah tersebut, sebaliknya diajak menghadiri suatu majlis yang telah diaturkan pihak tertentu secara tidak dirancang.

Beliau yang dijemput memberikan penerangan sempena Solat Hajat Perdana bersama Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat di Masjid Bandar Perda malam tadi mendedahkan, kehadiran beliau di situ secara kebetulan menikahkan orang bukanya mengatur program jahat tersebut.

"Saya bukan Imam besar di situ saya cuma imam biasa sahaja. Imam besarnya ialah Haji Abdul Malek Saleh. Di televisyen mengatakan saya Iman Besar di situ salah sama sekali kerana kehadiran saya di situ untuk menikahkan pasangan pengantin.

ImageBila sudah upacara angkat nikah tiba-tiba saya diajak ke program sumpah Saiful untuk menjadi saksi mendengar jika sekiranya tersilap perkataan terutamanya kalimah bahasa Arab, " ujarnya di hadapan ribuan jemaah.

Menurutnya, pada pukul 6.05 petang semasa menunggu tiba-tiba Saiful datang dengan beberapa orang dan terus membaca sumpah laknatnya.

Semasa membaca lafaz sumpah itu beliau beberapa kali tersalah lafazkanya termasuk tarikh kejadian.

Beliau juga hairan kenapa tiba-tiba sahaja Saiful bersumpah sedangkan lafaz sumpah sepatutnya diadakah oleh kedua-dua pihak terutamanya orang yang kena tuduh bukan yang menuduh.

"Sepatutnya sebarang program yang bakal di adakan di masjid ini mesti mendapat kebenaran dulu daripada saya atau pegawai masjid yang lain, Bukan boleh buat program sewenang-wenangnya, " katanya.

ImageJelas beliau lagi, jika difikirkan dengan keadaan umur dan fizikal Anwar mustahil beliau boleh lakukan perbuatan terkutuk itu kerana ia memerlukan kekuatan tambahan kejadian itu berlaku bukan suka sama suka.

Beliau juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana hadir dalam program berkenaan dan berharap pengakuannya malam ini mengakhiri tangapan buruk terhadapnya sepertimana yang tersiar dalam media dan internet.

Beliau juga berpendapat bahawa sumpah laknat yang dilafazkan oleh Saiful Bukhari Azlan merupakan sumpah laknat untuk dirinya sendiri, bukan untuk Anwar Ibrahim.

Solat hajat perdana itu diimamkan oleh Tuan Guru Haji Saleh dari Sik, Kedah manakala hadir memberikan ucapan ringkas ialah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Mohd HashimYahya, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Daud Iraqi, Timbalan Ketua MenteriPulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. - mr_

Sindin Keluar PBS, Mungkin Sertai PKR - BERNAMA

25 Ogos, 2008 18:56 PM

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kiulu, Sindin Ranggangon, yang mencadangkan supaya presiden PBS Datuk Seri Josepah Pairin Kitingan melepaskan jawatan, telah keluar dari parti itu dan bercadang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semasa mengumumkan keputusan itu, Sindin berkata PBS Bahagian Kiulu juga telah dibubarkan semalam dan majoriti penyandang jawatan dalam bahagian itu turut meletakkan jawatan masing-masing.

Baru-baru ini, Sindin diberikan surat tunjuk sebab kerana menggesa Pairin berundur kerana menyifatkan pemimpin politik veteran Sabah itu tidak lagi mampu memimpin parti.

"Ianya keputusan majoriti. Kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pairin. Kami berasa Pairin hanya mengambil berat terhadap kroninya di Kiulu dan membelakangkan kepentingan penyokong kuat yang berjuang selama ini untuk parti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Mungkin kita tidak penting dan sebab itu Pairin tidak menghargai perjuangan dan sumbangan kami kepada parti.

Sejak kami rasa kami dipinggirkan dan suara kami tidak kedengaran...kami tidak mempunyai pilihan kecuali meneruskan perjuangan kami untuk penduduk Kiulu di medan yang berlainan," katanya.

Berikutan pembubaran bahagian itu, Sindin berkata sejumlah 3,000 ahli parti dari bahagian itu mempunyai pilihan sama ada untuk berehat dari politik atau menyertai parti lain termasuk Pakatan Rakyat.

"Kami membiarkan mereka untuk membuat keputusan. Dalam kes ini, saya menimbang secara serius untuk menyertai PKR," katanya, sambil menambah "dalam politik tiada sesiapa yang kuat atau lemah selama-lamanya."

Pada 14 Ogos lepas, Jawatankuasa Disiplin PBS telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Sindin kerana menggesa Pairin menyerahkan kepimpinan parti itu kepada pemimpin yang lebih berkaliber.

Sebaliknya, Sindin mencadangkan timbalan presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili mengambil alih kepimpinan parti yang disifatkan sebagai lebih layak dan berkaliber.

-- BERNAMA

Sunday, August 24, 2008

'Penduduk tidak percaya Anwar liwat' - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Aug 24, 08 5:37pm

Beberapa penduduk kawasan Permatang Pauh percaya pertuduhan liwat ditimbulkan dalam kempen semata-mata untuk memastikan calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah dalam pilihanraya kecil 26 Ogos.

Pada masa sama mereka juga berpendapat, penurunan harga minyak mulai semalam mempunyai tujuan politik iaitu untuk mendapatkan sokongan pengundi kerusi parlimen itu yang dicabar calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan seorang lagi calon Hanafi Hamat.

Penduduk Kampung Kepala Bukit di Permatang Pasir, Ishak Yaakub berkata, orang kampung memang tidak percaya dakwaan Anwar liwat kerana sudah tahu budi perangainya.

"Buatlah tuduhan sebanyak manapun kami tidak percaya, orang Permatang Pauh sudah matang. Semakin banyak isu ini diperkata, rakyat semakin meluat.

"Isu ini tidak akan mempengaruhi pengundi di sini. Anwar adalah pemimpin rakyat dan kerana itu kami semua menyokong beliau," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara penduduk Kampung Pelek, Sheikh Hamzah Sheikh Radzi berkata, orang tidak lagi percaya kepada BN menyebabkan apa yang mereka buat orang tidak suka.

Beliau juga berkata, tindakan menurunkan harga minyak sekarang adalah untuk kepentingan politik kerajaan.

"Ini adalah gula-gula politik sahaja untuk mendapat sokongan pengundi Permatang Pauh," katanya.

Saad Ismail dari Kampung Bukit Indera Muda berkata, tuduhan liwat sangat jijik dan sebahagian besar orang Permatang Pauh tidak percaya.

"Mungkin sebahagian sahaja yang percaya tetapi orang Permatang Pauh boleh terima Anwar menjadi perdana menteri," katanya.

Beliau berkata, orang Permatang Pauh kecewa dengan kerajaan BN Pulau Pinang sebelum ini kerana menyebabkan ramai terpaksa berpindah ke Kedah.

Ahmad Jaafar dari kampung yang sama, pula berkata, tidak mungkin Anwar melakukannya dan pengundi Permatang Pauh tidak percaya terhadap tuduhan itu.

Beliau juga setuju bahawa keputusan kerajaan menurunkan harga minyak adalah kerana kempen pilihanraya Permatang Pauh.
inyak

Isu liwat dan serangan peribadi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak menjejaskan sokongan pengundi Permatang Pauh, Selasa ini.

AMK arah Khairy tarik balik kenyataan - MALAYSIAKINI

Aug 24, 08 8:13pm

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menuduh PKR menerima dana dari Amerika Syarikat sebagaimana dilaporkan media hari ini.

khairy jamaluddinSehubungan itu, AMK memberi amaran kepada Khairy supaya menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dalam tempoh 24 jam sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan Khairy itu jelas berniat jahat, bertujuan untuk melengkapkan kempen pembunuhan karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

"Sewajarnya bagi Khairy dan Umno lebih menumpukan penghujahan yang berkaitan dasar dan polisi demi kebaikan rakyat, bukan bersikap seperti anjing menyalak bukit, menyerang peribadi calon Pakatan Rakyat sepanjang kempen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

shamsul iskandarShamsul berkata, disebabkan sindrom 'Anwarphobia' yang terlampau, Umno-BN terus memanipulasi media untuk menyerang peribadi Anwar,dan melancarkan propaganda picisan bertujuan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

"Sokongan rakyat yang menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada Keadilan dan Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang normal, kerana perjuangan Keadilan dan Pakatan Rakyat sendiri berdiri di atas naluri rakyat yang mahukan perubahan," tambahnya.

Kehangatan kempen Pakatan Rakyat, katanya, jelas menggambarkan keutuhan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat yang sangat baik.

Shamsul berkata, Khairy juga perlu belajar untuk tidak bersikap seperti 'kera kena belacan', supaya berhujah dengan dalil dan fakta yang sahih, bukan bersikap bacul menyerang peribadi tanpa sebarang kesahihan yang munasabah.

Imam saksi sumpah Saiful kempen untuk Anwar - MSTAR ONLINE

24-08-2008 09:56:50 PM
Oleh G.MANIMARAN


MOHD. Saiful Bukhari Azlan bersalam dengan Ustaz Ramlang Porigi selepas menyempurnakan upacara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan pada Jumaat lalu.

PERMATANG PAUH: Imam yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ustaz Ramlang Porigi di lihat berkempen bersama-sama calon kerusi Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Perda sebentar tadi.

Ceramah yang diadakan di masjid itu turut dihadiri oleh Anwar.

Mstar Online difahamkan Ramlang berada bersama rombongan PKR sejak jam 4 petang tadi.

Beliau dijadualkan akan mengaku serta membuat pendedahan mengenai upacara sumpah yang disaksikannya di pentas ceramah PKR.

Dalam ceramahnya di masjid Perda sebentar tadi, imam tersebut mengaku prosedur upacara sumpah laknat yang dibuat oleh Saiful adalah salah.

Jelasnya, beliau telah dipaksa untuk menjadi saksi dalam majlis angkat sumpah tersebut.

Turut sama beliau dalam ceramahnya adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Difahamkan beliau dalam perjalanan untuk memberi ceramah di Masjid Timah Kg Belah 2, Seberang Jaya dan diakhiri dengan ceramah di Padang Penanti.

Ini merupakan kali pertama beliau muncul dikhalayak ramai selepas kali terakhir beliau dilihat menjadi saksi sumpah laknat Saiful di Masjid Wilayah Persekutuan pada15 Ogos lalu.

Beliau menjadi kontroversi apabila timbulnya risalah edaran yang mempertikaikannya sebagai ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843 disebarkan dengan meluas ketika ini.

Risalah itu menyebut beliau merupakan ahli Umno Cawangan Seri Macang dalam Bahagian Bukit Mertajam.

Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.

Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.

"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.

"Tidak menghairankan kepada semua ini, bagaimana pantas "imam" ini memperakui mubahalah yang dilakukan oleh Saiful, sekalipun mubahalah itu diragui oleh banyak pihak sebagai tidak mengikuti kaedah Islam."

Ketika dihubungi mStar Online tiga hari yang lalu, Ramlang berkata beliau merupakan imam yang sah dan bertauliah.

Beliau tidak menafikan bahawa dirinya merupakan seorang ahli Umno yang berdftar sebagai seorang pegundi di Permatang Pauh.

"Ya, saya ahli Umno dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bawah Parlimen Permatang Pauh," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...