Friday, May 22, 2009

Mahkamah Rayuan isytihar Zambry MB sah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan sebulat suara.

Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

ADUN PAS meninggal dunia

May 22, 09 8:11am

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.

Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.


Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192

Thursday, May 21, 2009

Ibu, anak, pembantu rumah dibunuh kejam


Suami mangsa, Jafri Tajol Aripin (kanan) memeluk anaknya di Taman Pinji Seni, Ipoh, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS


IPOH 20 Mei - Kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Seorang penagih dadah yang terdesak mahu mendapatkan wang sanggup menikam mati seorang pengusaha salon bersama anak lelaki berusia lima tahun dan pembantu rumahnya dalam rompakan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, di sini hari ini.

Penjenayah kejam itu bagaimanapun tidak sempat melarikan sebuah komputer riba yang diambilnya dari rumah mangsa kerana berjaya ditangkap oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian dan menyedari rompakan tersebut.

Mayat mangsa, Mah Yah Matzi, 42, ditemui berlumuran darah di ruang tamu manakala mayat anaknya, Ermin Denish dan pembantu rumahnya dikenali sebagai Dani, 20-an, ditemui dalam bilik mandi pada pukul 2.45 petang oleh suami Mah Yah, Jafri Tajol Aripin, 47.

Difahamkan, Mah Yah telah diekori oleh perompak terbabit selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Gunung Rapat dekat sini sehingga ke rumahnya.

Sebelum dibunuh, mangsa dikatakan sedang berbual melalui telefon dengan Jafri yang bekerja sebagai pegawai kutipan di sebuah bank di Medan Gopeng yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Suami mangsa kemudian bergegas pulang ke rumah apabila tiba-tiba mendengar isterinya menjerit ketakutan kerana terserempak dengan perompak tersebut.

Pada masa sama, dua rakan Jafri yang kebetulan melalui kawasan rumahnya dan menyedari kejadian itu segera menangkap suspek lalu mengikatnya dengan getah paip sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 2.45 petang pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan di rumah tersebut.

''Polis mulanya ingatkan berlaku kejadian pergaduhan di tempat kejadian tetapi apabila sampai, mendapati ia adalah kes rompakan dan pembunuhan.

''Siasatan menemui satu mayat di ruang tamu dan dua mayat di bilik air dalam rumah berkenaan,'' katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan dalam pergelutan ketika ditangkap.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu merupakan penagih dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek telah mengambil sebuah komputer riba tetapi tidak sempat melarikannya.

''Kita menemui sebuah beg hitam mengandungi komputer riba dari mangsa dan sebilah pisau serta motosikal milik suspek,'' katanya sambil memberitahu lelaki itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

'Tiada jalan damai puak Idris-Ahmad...'

Muda Mohd Noor | May 21, 09 3:03pm

Pertemuan ADUN BN dengan ketua perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammudin Hussein malam tadi belum menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di negeri itu, kata ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

nawi mohamad adun hulu besut 210509Nawi (foto) yang turut menghadiri pertemuan tersebut di pejabat Hishammmudin di Putrajaya, mendakwa masih sukar untuk dua kumpulan penyokong yang saling bertentangan itu, untuk berbaik-baik semula.

Dua kumpulan tersebut terdiri daripada penyokong Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan satu lagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Tiada jalan lain (untuk penyelesaian) melainkan pucuk pimpinan tertinggi melihat punca kemarahan ADUN-ADUN Terengganu sehingga mencetuskan kemelut tersebut.

"Mereka kena tengok prestasi Ahmad sebagai menteri besar, Ini perkara yang penting," katanya.

Sebelum ini, sebahagian ADUN BN Terengganu mahu Ahmad digantikan atas alasan tidak berkeupayaan mentadbir negeri itu.

Manakala 10 daripada mereka tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini apabila tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.

ahmad said idris jusoh terengganuBagaimanapun mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malam tadi, Hishammuddin yang juga naib presiden Umno mengadakan pertemuan berasingan dengan ketua-ketua Umno bahagian dan kemudiannya diikuti pertemuan dengan ADUN BN Terengganu.

Setuju selesai masalah

Sementara itu, ketua Umno bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan, ketika ditemui malam tadi, mendakwa semua ketua Umno bahagian tidak ada masalah dengan Ahmad.

Beliau juga mendakwa tidak berlaku kemelut politik yang berlaku di negeri itu sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Rosli berkata, dalam pertemuan itu, semua ketua bahagian, termasuk Idris (Besut) setuju dengan permintaan Hishammuddin supaya mereka sama-sama menyelesaikan kemelut tersebut.

Difahamkan dalam pertemuan semalam, tiga ADUN - Rosol (Ajil), Zakaria Ariffin@ Abdullah (Paka) dan Datuk Din Adam (Bukit Besi) - bercakap panjang lebar mengenai kemelut politik Terengganu.

Beberapa ADUN lain turut mencelah, tetapi Idris dan Ahmad yang hadir sama dalam pertemuan tersebut, hanya sekadar mendengar sahaja.

Idris dan Ahmad kelihatan keluar bersama tetapi tidak bercakap ketika menuju ke kereta masing-masing, selepas tamat pertemuan tersebut.

Kedua-dua mereka enggan ditemubual media untuk mendapatkan pandangan mengenai hasil pertemuan dengan Hishammuddin malam tadi.

Esok keputusan siapa MB sah Perak

May 21, 09 1:25pm

Perebutan kerusi menteri besar Perak antara Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan diketahui di Mahkamah Rayuan jam 3.30 petang esok.

Pembentangan hujah peguam menteri besar BN itu selesai pagi tadi, yang diikuti hujah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, dan peguam Mohammad Nizar berbuat demikian pada sebelah petang.

Mahkamah itu mendengar rayuan Zambry terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal minggu lalu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Wednesday, May 20, 2009

PKR Negeri Sembilan nafi ADUN akan letak jawatan

Rabu Mei 20, 2009

PETALING JAYA: Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas menafikan dakwaan sekurang-kurang dua wakil rakyat dari parti itu membayangkan untuk meletakkan jawatan.

Beliau berkata dakwaan sedemikian tidak berasas dan hanya beranggapan perkara tersebut sebagai sesuatu yang melucukan.

"Tak ada, tak ada...ini semua lucu bagi saya. Apa asasnya? Mereka semua bekerja seperti biasa dan tak ada masalah," katanya kepada mStar Online.

Media hari ini melaporkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa Barisan Nasional (BN) negeri mempunyai maklumat ada wakil rakyat pembangkang merancang pelbagai alasan untuk meletak jawatan kerana sudah tidak berupaya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR yang disebut-sebut itu ialah ADUN Sikamat, Aminuddin Harun dan ADUN Ampangan, Rashid Latiff.

Bagaimanapun Kamarul berkata beliau tidak faham motif Menteri Besar membuat kenyataan sedemikian kerana situasi yang dimaksudkan tidak wujud sama sekali.

"Saya tak tahu kenapa beliau beri kenyataan macam itu, setakat ini semua wakil rakyat kita jalankan tugas seperti biasa.

"Dua-duanya kerja bagus, ADUN Ampangan (Rashid) mungkin ada masalah sikit sebab dia baru buat pembedahan jantung...dia tak begitu sihatlah.

"Tapi Aminuddin...dia kerja keras," katanya.

Ditanya sama ada PKR negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap kenyataan Menteri Besar itu, Kamarul berkata buat masa ini pihaknya mengambil langkah untuk hanya berdiam diri.

"Tak perlu buat apa-apa, kita ketawa sahaja cukuplah dengan gelagat mereka, kita tak perlu ambil tindakan.

"Cerita satu lawaklah... orang seperti seperti Menteri Besar tidak sepatutnya cakap seperti ini kerana tidak mencerminkan kebijaksanaan," katanya.

Hukuman Mandatori Samseng Jalanan Mampu Beri Kesan Drastik

20 Mei, 2009 18:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kerajaan meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap samseng jalanan mendapat sokongan pelbagai pihak.

Rata-rata mereka berpendapat hukuman yang lebih berat itu mampu memberi kesan drastik dalam membanteras kegiatan lumba haram yang kini semakin membimbangkan.

Ketika ini hukuman mengikut Seksyen itu memperuntukkan denda sekurang-kurangnya RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sekurang-kurangnya lima bulan, tidak mampu menginsafkan pesalah yang didapati terus mengulangi kesalahan sama.

Ketua Program Psikologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Rozmi Ismail berkata cadangan meminda atau mewujudkan satu akta baru khas untuk menangani samseng jalanan sangat perlu, tetapi ia harus diperhalusi.

"Isu mat rempit atau samseng jalanan perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi mengenalpasti golongan yang melakukan kesalahan itu. Kalau betul bersalah, hukuman mandatori ini perlu dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.

Akhbar tempatan melaporkan kenyataan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof yang meminta kerajaan meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ke atas mat rempit atau samseng jalanan dengan hukuman penjara mandatori.

Rozmi berkata definisi samseng jalanan itu sendiri perlu diperjelaskan agar tidak mengelirukan, manakala ibu bapa pula perlu melihat hukuman itu dari sudut positif dan tidak menganggap ia keterlaluan.

Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim berkata cadangan hukuman mandatori patut disegerakan dan semua pihak perlu mengambil pendekatan menjadikan isu samseng jalanan sebagai hak milik bersama.

Beliau berkata bagi menangani masalah itu dengan lebih menyeluruh, Jabatan Pendidikan dan sekolah perlu memainkan peranan yang lebih drastik termasuk membuang pelajar yang didapati terlibat.

"Semua pihak perlu berminat dan ikhlas menyelesaikan isu ini. Jika sekolah mendapati pelajarnya terlibat, tindakan buang sekolah perlu dilakukan dan ibu bapa perlu menerima keputusan ini dengan hati terbuka sebab mereka juga harus bertanggungjawab," katanya.

Kamal berkata hukuman yang ingin dipinda itu juga perlu dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang diguna samseng jalanan bagi memastikan hukuman yang dilaksanakan lebih berkesan.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia Hamzah Masri turut bersetuju dengan cadangan hukuman itu dan percaya ia mampu memberi kesedaran kepada mereka yang sering menggunakan jalan raya sebagai tempat menunjukkan belang samseng jalanan.

"Denda yang ringan tidak memberi kesan kepada samseng jalanan dan pihak kesatuan penyokong cadangan PDRM supaya pesalah jalan raya terutama di kalangan remaja dan di bawah umur dihukum dengan menghantar mereka ke sekolah juvana dan dikenakan hukuman rotan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama Rudy Yong pula berkata hukuman itu perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum dilaksana bagi memastikan ia hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar bersalah dan tidak disalahguna.

Beliau berkata perkara yang lebih penting bagi menangani isu itu ialah aspek pendidikan yang perlu lebih agresif, seperti Latihan Khidmat Negara yang dilihat sebagai landasan terbaik mendidik golongan muda menjauhi aktiviti yang tidak sihat itu.

"Selain kerajaan, pihak lain seperti ibu bapa dan sekolah juga harus memainkan peranan masing-masing bagi membantu kerajaan menyelesaikan isu samseng jalanan ini," katanya.

-- BERNAMA

Shahidan: Ahli Umno keluar parti kerana dibuang dari JKKK

Muda Mohd Noor | May 20, 09 3:40pm

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mangakui beliau ada mendengar cerita ramai ahli Umno di negeri itu telah menyertai pembangkang.

Katanya, mereka termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

shahidan kassim 02Shahidan yang kini menjadi penasihat kepada perdana menteri bagi wilayah pembangunan koridor utara (NCER) berkata, pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

"Setakat ini 16 atau 17 ketua cawangan dan bekas ketua cawangan telah dibuang dari JKKK, menyebabkan mereka dan yang lainnya, tidak puas hati.

"Ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno dipinggir dan kerajaan negeri tidak mengambil kisah perkara tersebut.

"Pembangkang pula telah mengambil kesempatan daripada perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sehubungan itu, Shahidan menasihatkan Menteri Besar Perlis, Datuk Md Isa Sabu supaya tidak memekakkan telinga terhadap perkara tersebut.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan ahli Umno menyertai pembangkang bukan sahaja berlaku di bahagian Kangar tetapi juga di Padang Besar.

Marah pada MCA?


"Saya kenal mereka itu semua. Mereka adalah bekas pemimpin Umno di Kangar.

"Betullah angka itu," katanya ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa 1,000 ahli Umno di bahagian tersebut menyertai PKR.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Padang Besar, ketika dihubungi Malaysiakini, juga mengakui ramai ahli Umno di bahagian itu yang keluar parti.

Bagaimanapun pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu tidak dapat memberi angka sebenar ahli Umno yang keluar parti.

Katanya, mereka bertindak demikian kerana marah kepada pemimpin MCA bahagian yang membuang ahli JKKK di beberapa tempat di Padang Besar.

Beliau mendakwa, tindakan pemecatan ahli Umno yang menjadi ahli JKKK itu disokong pula oleh Md Isa.

"Mana boleh pemimpin MCA memecat ahli JKKK yang terdiri daripada ahli-ahli Umno," katanya.

Exco PPP WP gesa kemuka undi tak percaya terhadap Kayveas

May 20, 09 7:22pm

Dua pertiga anggota majlis eksekutif Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan menggesa undi tidak percaya dikemukakan terhadap presiden PPP Datuk M Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan A. Chandrakumanan.

Ketua Penerangan PPP Kuala Lumpur P Rajandra memberitahu sidang akhbar di ibunegara hari ini, mereka menyokong penuh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah dan menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat perkara itu, lapor Bernama.

Pada 9 Mei lepas, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa terlibat
dengan politik wang.

"Chandrakumanan mengatakan bahawa kami perlu tahu fakta sebelum bercakap. Sebenarnya beliau yang langsung tidak tahu fakta dan status rekod PPP dalam ROS.

"Beliau (Chandrakumanan) bukanlah pengerusi PPP Wilayah Persekutuan kerana rekod PPP di ROS tidak dikemas kini sejak tahun 2002," kata Rajandra.

Rajandra juga berkata rekod ROS menunjukkan terdapat cawangan PPP di seluruh negara telah dianggap sudah ditutup atau di bawah status pembubaran sementara ekoran kegagalan ibu pejabat untuk mengemas kini status parti.

Sementara itu, dalam satu kenyataannya petang ini, Chandrakumanan berkata, Rajandra tidak kuasa untuk mengadakan sidang akhbar itu tanpa pengetahuan PPP negeri.

"Ia kerana beliau dilantik oleh pengerusi PPP negeri (iaitu saya)," katanya.

Menurutnya, pemangku setiausaha PPP negeri tidak tahu menahu mengenai sidang akhbar tersebut yang didakwanya diadakan oleh pejabat dan pembantu Murugiah.

Tindakan tersebut, dakwanya, menunjukkan bahawa Murugiah terdesak untuk mendapatkan sokongan dari setiap negeri, dengan menyalahguna kedudukannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Chandrakumanan berkata, perdana menteri perlu menyiasat tindakan Murugiah menggunakan pegawainya untuk kerja-kerja peribadi, kerana ia mencemarkan imej jabatan berkenaan dan negeri.

30 pelatih PLKN ada tanda influenza

May 20, 09 5:05pm

Satu wabak disyaki influenza telah berlaku di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas di Semenyih dengan setakat ini 30 orang telah dikenal pasti mempunyai simptom influenza.

ismail mericanKetua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata pelatih tersebut mempunyai gejala demam, batuk yang ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 26 telah dirawat di bilik isolasi kem, tiga di Hospital Kajang - seorang daripadanya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua lagi di wad perubatan.

Seorang lagi pesakit telah keluar dari hospital semalam, menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

Dr Ismail berkata kementerian itu akan membuat pengawasan dan kawalan dalam menangani situasi tersebut termasuk melakukan pengawalan vektor iaitu semburan kabus dan kajian aedes, pemantauan dan pemeriksaan harian semua pelatih, merawat dan merujuk kes yang bergejala ke hospital terdekat.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata jabatan itu telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber dan jenis influenza itu.

Beliau turut memberikan jaminan yang influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).

"Kami baru menerima kes itu pagi ini. Sampel telah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya," kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan semasa dihubungi Bernama.

Katanya pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki kes denggi.

"Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian, kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...