Sunday, January 23, 2011

PRK Merlimau: Umno Jasin Akan Kemuka Tiga Nama Calon

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta Umno Bahagian Jasin mengemukakan tiga calon yang akan dipilih bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Beliau berkata, senarai pendek itu akan diserahkan kepadanya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk diputuskan.
"BN Melaka telah menyusun rapi jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Merlimau," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2010 Sesi Ketiga di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh di sini, Ahad.
Penganugerahan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob kepada 306 penerima yang didahului oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Pengerusi Eksekutif Bersama NAZA Group of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasaan 54, akibat serangan jantung di Hospital Pakar Putra pada Khamis lepas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pertanian negeri serta Naib Ketua Umno Bahagian Jasin menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu sejak 2004.
Mengulas mengenai beberapa individu melobi untuk dinamakan sebagai calon, Mohd Ali berkata ia merupakan perkara biasa setiap kali berlakunya pilihan raya.
Beliau berkata kriteria calon yang dipilih bertanding mestilah yang mampu menang, rajin bekerja, mempunyai rekod bersih dan disenangi rakyat.
Mengenai rombakan Exco bagi menggantikan Allahyarham Mohamad Hidhir, Ketua Menteri itu berkata setakat ini belum diputuskan lagi.
"Sekarang ini saya belum fikir nak isi kekosongan itu, kita tunggu dulu, sekarang kita hendak uruskan pilihan raya (Merlimau)," katanya. BERNAMA

Wakil rakyat sambut syor wajib ujian kesihatan

Beberapa anggota parlimen menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun untuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, anggota Parlimen bukan sahaja hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun malah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengawal tekanan memandangkan tanggungjawab mereka.

Anggota parlimen Santubong itu berkata walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi wakil rakyat mestilah menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat.

Sebagai orang yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, iaitu telah menjadi wakil rakyat sejak 20 tahun lepas dan mewakili dua kawasan parlimen yang berbeza iaitu di Batang Lupar selama tiga penggal (1990-2004) dan di Santubong sejak pilihan raya umum 2004 hingga kini, beliau berkata terdapat masalah yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan.

"Untuk jadi wakil rakyat perlu bersedia dengan semua ini," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa pihaknya akan membawa ke mesyuarat mingguan jemaah menteri minggu ini untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani pemerikasaan kesihatan berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan. 

Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya berikutan kematian wakil rakyat kerana pelbagai masalah kesihatan.

Sementara yang terbaru ialah kematian ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas kerana serangan jantung yang menjadikan jumlah pilihan raya kecil meningkat kepada 15.

Dua lagi wakil rakyat BN yang meninggal kerana serangan jantung ialah Datuk Razali Ismail anggota Parlimen Kuala Terengganu pada 28 Nov 2008 dan ADUN Batang Ai Datuk Dublin Unting Batang Ai, 55, pada 24 Februari 2009.

Selain itu tiga wakil rakyat Pas iaitu anggota parlimen Bukit Gantang Roslan Shaharom, 50, pada 9 Feb 2009, ADUN Manek Urai Ismail Yaacob, 60, (25 Mei 2009), ADUN Permatang Pasir Datuk Hamdan Abdul Rahman,63, (31 Julai 2009) juga meninggal akibat sakit jantung.

Seramai tiga wakil rakyat meninggal kerana penyakit kanser iaitu anggota parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac 2010 kerana barah otak, anggota Parlimen Sibu Datuk Robert Lau dari BN, 68, pada 9 April 2010 kerana kanser hati dan Adun Galas Chek Hashim Sulaima dari Pas, 47, kerana barah usus pada 27 Sept 2010.

Bagi anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar cadangan Liow itu adalah satu inisiatif yang baik, malah beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat pada 1999 sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

"Tetapi pemeriksaan ini bukanlah satu cara untuk mencegah kematian. Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas melakukan pemeriksaan kita jatuh sakit, kita tidak akan tahu perkara itu dan ianya di luar kawalan doktor," kata Naib Presiden Pas itu.

Anggota parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan pula mencadangkan maklumat mengenai kesihatan wakil rakyat itu perlu dirahsiakan dengan hanya pemimpin parti sahaja yang mengetahui mengenainya.

Abdul Rahman juga mencadangkan supaya wakil rakyat juga perlu berhati-hati dalam menggunakan pengangkutan semasa melawat kawasan kerana ada yang terpaksa menaiki bot ataupun menaiki kenderaan berjam-jam untuk sampai ke kawasan masing-masing terutama di luar bandar.

Bagi Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, 69, yang merupakan antara anggota Parlimen paling lama iaitu anggota Parlimen Kepong sejak pilihan raya umum 1982 dan seorang doktor berkata berkata:

"Walaupun kita tidak boleh menjamin kesihatan seseorang selepas pemeriksaan kesihatan setiap tahun (atau berkala), ia boleh memberikan peringatan kepada mereka mengenai betapa pentingnya kesihatan itu (untuknya)."

--Bernama

Orang Asli Ulu Juaseh gembira terima rumah baru

LABIS, 23 Jan. - Kegembiraan jelas terpancar di wajah Shariff Dagoh dan tiga orang anaknya ketika mengiringi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal untuk melawat rumah barunya.

Beliau merupakan salah satu daripada tujuh keluarga masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Jakun di Kampung Ulu Juaseh di sini yang menerima rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), semalam.
"Saya macam tak percaya bila dapat tinggal rumah batu yang cantik ini. Kami sekeluarga memang amat gembira. Dulu tinggal di rumah lama, tak selesa, tetapi sekarang ini semua cantik,” katanya ketika ditemui di rumah barunya yang turut dilengkapi bekalan elektrik dan air itu, hari ini.

Shariff, 30, yang juga merupakan anak kepada Tok Batin kampung itu, Dagoh Tanda berkata, beliau telah membuat permohonan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) tahun lepas untuk mendapatkan rumah baru.
Katanya, permohonan kepada JKOA telah diproses dengan cepat dan pada penghujung tahun lepas, beliau sekeluarga telah dibenarkan menginap di rumah baru yang mempunyai tiga buah bilik itu. - Bernama

KOMEN:
NASIB BAIK ADA PILIHANRAYA KECIL, KALAU TAK SAMPAI MATI PUN TAK DAPAT RUMAH BARU.
SALAH SATU BUKTI RASUAH PILIHANRAYA.

Tidak konsisten: PAS bidas pendirian Najib

LABIS, 23 Jan: Kenyataan tidak konsisten Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa isu besar negara menunjukkan Perdana Menteri itu banyak dolak dalih, kata AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Beliau memberi contoh, Najib ketika mula memegang jawatan Perdana Menteri ada mengumumkan bahawa zaman kerajaan tahu semua perkara sudah berakhir.
Namun apa yang dihairankan katanya, dalam isu debat dengan Datuk Seri Anwar, Najib mendakwa beliau selaku perdana menteri tahu semua benda dan tidak takut dengan Anwar.
"Bila Najib jadi PM dulu, dia umum zaman kerajaan tahu semua sudah berakhir.
"Kononnya beliau merendah diri dan menghormati pihak lain yg juga berpengetahuan.
"Tapi berbeza dalam isu debat, beliau secara terbuka menjawab dengan angkuh, "saya perdana menteri saya tahu semua perkara," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata demikian ketika ditemui di pusat penamaan calon PRK Tenang semalam.
Tambahnya, Najib sekali lagi membuka pekung dirinya apabila tidak mahu merespon berhubung dakwaan penyeludupan wang secara haram ke luar negara yang dianggar bernilai lebih RM67.7 bilion.
Najib sebaliknya hanya mahu pihak Bank Negara Malaysia membuat ulasan berhubung perkara itu.
Terdapat laporan berita yang mengatakan Malaysia menduduki tempat kelima di kalangan negara-negara yang mencatatkan pengaliran keluar wang haram paling banyak.
Laporan tersebut didakwa berdasarkan laporan oleh badan pengawas kewangan yang berpangkalan di AS, Global Financial Integrity (GFI).
Menurut laporan itu pengaliran keluar wang haram dari Malaysia pada 2000 berjumlah RM67.7 bilion (US$22.2 bilion) yang, lapan tahun kemudian, melonjak kepada RM208 bilion (US$68.2 bilion).
"Beliau bukan seorang yang konsisten. Hanya bercakap untuk lepaskan diri sahaja," kata Kamaruddin.
Sehubungan itu, beliau mahu Najib sekali lagi menyatakan pendirian beliau terhadap cabaran debat yang dibuat Ketua Umum PKR itu.

Saturday, January 22, 2011

BWF perlu bertindak terhadap Lin Dan

KUALA LUMPUR – Satu lagi kejutan besar berlaku pada hari keempat Kejohanan Terbuka Malaysia semalam setelah pemain bintang dari China, Lin Dan menarik diri daripada suku akhir akibat kecederaan lama abdomen kiri pemain itu.
Penarikan diri pemain itu disahkan oleh ketua pengadil perlawanan, Jane Wheatley dari Australia sekali gus menjadi berita yang paling mengecewakan buat peminat badminton yang sebelum ini meramalkan pemain itu bakal berhadapan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei di peringkat separuh akhir hari ini.

Ini adalah kali ketiga Lin Dan menarik diri daripada menyertai kejohanan sebegini iaitu pada Terbuka China, Terbuka Hong Kong pada tahun lepas dan terbaru di Terbuka Malaysia semalam.

Malah, pemain nombor satu Indonesia, Taufik Hidayat mahu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pemain China itu berhubung tindakan mengejut yang diambil oleh Lin Dan semalam.

‘‘Ini adalah kali ketiga dia(Lin Dan) melakukan sedemikian apabila bertemu rakan senegaranya seperti pada perlawanan tadi(semalam)
‘‘Tindakan itu amat tidak bagus kepada kejohanan sebegini kerana ramai yang menantikan kemunculan pemain itu terutama peminat,” kata Taufik kepada pemberita selepas tamat perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Jane berkata, Lin Dan tidak dapat beraksi pada perlawanan semalam menentang rakan senegara Chen Long kerana kecederaan lama yang menganggu pergerakkan pemain itu selain boleh menyebabkan kesakitan teruk.
‘‘Dia(Lin Dan) mula merasa sakit di bahagian atot abdomen kirinya ketika sedang menjalani latihan pada pagi tadi (semalam) dan pemain tersebut terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri.

‘‘Punca utama kesakitan yang dirasai oleh pemain itu adalah daripada kecederaan lama yang kini mula dirasai,” kata Jane.

Kereta wajib ada beg udara 2012

RANTAU PANJANG 21 Jan. – Mulai tahun depan, semua kenderaan termasuk kereta keluaran Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan diwajibkan memasang beg udara bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan memandang serius kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kematian akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.
Katanya, walaupun tidak ada penguatkuasaan yang dibuat berhubung peraturan itu, ia perlu dilaksanakan untuk 
memastikan keselamatan setiap pemandu dan penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya lebih terjamin.

“Kita telah melakukan kajian bersama termasuk dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan terbukti beg udara merupakan aksesori keselamatan yang paling penting,’’ katanya kepada pemberita pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran MCA Rantau Panjang di sini hari ini.

Peraturan baru itu bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan pacuan empat roda.

Speaker: Badrul tipu, SPR diberi notis kekosongan

peaker dewan undangan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim mendakwa ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah menipu berhubung kehadirannya pada sidang DUN November lalu.

Pada sidang akhbar hari ini, Teng berkata cara Badrul Hisham mempertahankan dirinya sebagai satu pembohongan besar.

NONE"Saya ingin gunakan peluang ini bagi menafikan kenyataan yang dibuat oleh Badrul Hisham yang mendakwa beliau hadir pada majlis perasmian sidang dewan undangan negeri pada 8 November.

"Hanya ada satu majlis pembukaan rasmi. Bagi sesi ketiga sidang dewan undangan negeri ke-12 diadakan pada 12 April dan dirasmikan oleh Sultan Selangor.

“Sidang pada November adalah pembentangan belanjawan tahunan di mana tidak ada pembukaan rasmi diadakan,” kata Teng.

Rabu lalu, Teng mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang kosong selepas Badrul Hisham gagal menghadiri sidang dewan tanpa cuti sejak 16 Julai tahun lalu.

NONETeng juga berkata beliau telah mengemukakan notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekopsongan kerusi itu hari ini. SPR mempunyai 60 hari bagi mengadakan pilihan raya kecil.

Katanya, memandangkan kerusi itu telah diisytiharkan kosong, Badrul Hisham tidak akan dibenarkan menghadiri sidang dewan undangan negeri pada Isnin ini.

NONE"Hanya ADUN sahaja dibenarkan masuk ke dewan,” katanya.

Diminta mengulas tentang kemungkinan Badrul Hisham mencabar perisytiharan itu di mahkamah, Teng berkata: "terserahlah."

Mengulas laporan berita kononnya perisytiharan itu mempunyai tujuan politik, beliau berkata ia adalah keputusan beliau sebagai speaker dan bukan oleh Pakatan Rakyat.

Kata Teng SPR perlu menerima hakikat bahawa Undang-undang Tubuh Negeri Selangor menyebut dengan jelas bahawa speaker mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan sesuatu kerusi.

Thursday, January 20, 2011

ADUN Merlimau meninggal dunia pukul 8.10 malam ini

MELAKA 20 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putra kira-kira pukul 8.10 malam ini.

Perkara tersebut disahkan oleh doktor yang merawat Mohamad Hidhir, Datuk Dr. Suhaimi Mohd. Uda Tenang.
Ketika ini Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berada di Hospital Putra sebelum membuat pengumuman mengenai perkara tersebut.

Utusan difahamkan jenazah akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang, Merlimau malam ini. - Utusan

ADUN Merlimau dilaporkan kritikal

MELAKA 20 Jan. - Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, yang mengalami masalah jantung sejak minggu lalu, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Pakar Putra di sini, hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Mohd Rustam yang melawat Mohamad Hidhir sejak dari jam 3.15 petang ini berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu kritikal selepas diserang sakit jantung buat kali ketiga pada pukul 6.45 pagi tadi.

Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof memberitahu Utusan Malaysia bahawa Mohamad Hidhir telah meninggal dunia selepas beliau menerima berita itu daripada Pengarah SPR Melaka. - Utusan

SPR: Isu DUN P Klang 'urusan Badrul & Speaker

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata isu berkaitan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang masih di peringkat "urusan di antara speaker DUN (Selangor) dan ADUN tersebut."
NONEWan Ahmad berkata demikian ketika mengulas tindakan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan semalam.

Teng ketika membuat pengumuman itu berkata, tindakan itu dibuat berikutan wakil rakyat berkenaan Badrul Hisham Abdullah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.

Teng juga berkata Badrul Hisham mengakui ketidakhadirannya dan telah memohon cuti dalam sepucuk surat kepada beliau.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau difahamkan terdapat laporan yang menyatakan ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan menghantar surat memohon cuti kepada Teng.

"Apa pun, itu adalah urusan antara speaker dan YB Badrul (Hisham Abdullah). Itu urusan dia lah.

"SPR akan bercakap dan bermesyuarat bila kita terima hitam putih pemakluman rasmi daripada speaker.

"Selepas itu baru kita bermesyuarat menentukan, betul ke kerusi itu kosong, atau ada pilihan raya kecil (atau tidak)...baru kita akan bercakap. Selain itu, ia adalah urusan speaker dengan wakil rakyat berkenaan.

"Jadi kita tengok perkembangan selanjutnya," katanya dalam satu sidang media di bangunan Majlis Daerah Labis hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata walaupun Teng mempunyai hak untuk menghantar pemakluman tersebut, tetapi SPR tetap akan meneliti notis tersebut.

Tambahnya, SPR masih belum menerima notis pemakluman itu kekosongan kerusi berkenaan sehingga jam 9 pagi ini.

Bercakap dalam sidang media pada kira-kira jam 1 petang hari ini, Wan Ahmad berkata beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sekiranya notis itu telah diterima oleh pengerusi SPR Tan Aziz Mohamad Yusof menjelang tengahari.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad juga berkata sebanyak enam borang pencalonan untuk bertanding kerusi pilihan raya DUN Tenang telah dijual termasuk di beli oleh dua parti yang bertanding.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...