Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Tuesday, June 16, 2009
Bayi tanpa kemaluan
Bapa bayi tanpa jantina, Rodzake Namis, 34 (kiri) menunjukkan anaknya, Muhammad Nabil Mustaqim, 10 bulan yang dilahirkan tanpa kemaluan dirumahnya di Kampung Batu 5, Jalan Kuala Perlis dekat sini, hari ini. Turut kelihatan ialah ibu bayi, Zatul Bazamah Abd. Rahman, 26, (kanan). Foto BERNAMA
KANGAR: Seorang bayi didapati dilahirkan tanpa memiliki alamat kelamin dan mempunyai kecacatan lain pada anggota badannya.
Muhammad Nabil Mustaqim bin Rodzake yang dilahirkan pada 10 Ogos tahun lalu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) juga tidak memiliki ibu jari tangan kanan, telinga kanan dan cacat pada kelopak mata.
Dia diberi nama berdasarkan jantina lelaki kerana ujian DNA mengesahkan bahawa bayi itu lebih bersifat kelakian.
Sehubungan itu timbul kerisauan yang amat mendalam dihati kedua ibu bapa bayi malang ini.
"Saya sayu memikirkan masa depannya jika dia makin membesar tanpa kemaluan dan tekanan emosi yang pasti dialaminya," kata ibu bayi berkenaan, Zatul Bazamah Abd Rahman, 26, dari Kampung Batu Lima dekat sini.
Beliau turut berkata pada masa ini anaknya membuang air kecil melalui dubur secara semula jadi.
Beliau merayu agar pakar-pakar perubatan dapat membantu mengatasi fenomena luar biasa yang dialami anak keduanya itu.
Bayi itu kini menerima rawatan pakar di HTF dan Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dan mereka sedang memerhati perkembangan bayi berkenaan.
"Kami diberitahu bahawa anak kami perlu menunggu sehingga dia lebih dewasa untuk menentukan kaedah rawatan yang sesuai untuk jantinanya. Bagi kecacatan lain, kami diberitahu ia boleh diatasi dengan pembedahan plastik selepas bayi kami berumur empat tahun," kata Zatul Bazamah.
Namun suaminya, Rodzake Namis, 34, berharap proses rawatan dapat dilakukan semasa usia anak mereka masih kecil kerana bimbang tentang kesan emosi yang bakal dialami apabila anak mereka sudah agak dewasaPolis siasat guru paksa murid lakukan seks oral
Polis hari ini mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan empat murid di sebuah sekolah rendah di Bintulu yang dipaksa melakukan oral seks selain diambil gambar lucah oleh seorang guru lelaki berusia 24 tahun di sekolah terbabit.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Hamza Taib berkata, polis sudah merekodkan kenyataan daripada guru terbabit dan murid terbabit sudah dibawa menjalani pemeriksaan perubatan.
Polis masih menyiasat kes itu dan belum ada sebarang tangkap dibuat setakat ini, katanya, lapor Bernama
"Guru terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa...kita hanya akan
melaksanakan tangkapan selepas mendapat arahan daripada timbalan pendakwaraya," katanya.
Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris setempat hari ini menyebut kejadian itu didakwa berlaku antara 14 Mei dan 15 Mei lalu, membabitkan murid Tahun Dua dan Tahun Empat.
Guru Besar dan warden sekolah terbabit difahamkan membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, semalam.
Seksual luar tabii
Sementara itu, Pegawai Siasatan Seksual/Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ASP Suraini Hussain berkata jenayah seksual luar tabii, terus meningkat sejak 2006.
Katanya,walaupun kes yang dilaporkan tidak mencapai angka ribuan seperti kes rogol, namun ia dianggap serius kerana yang menjadi mangsa majoritinya adalah remaja bawah 18 tahun.
Dalam tempoh 2006 hingga April tahun ini, 716 kes dilaporkan dan 411 daripada mangsa adalah pelajar sekolah dan penuntut kolej.
Lebih membimbangkan, katanya, dalam tempoh yang sama, terdapat dua kes yang membabitkan jenayah seksual luar tabii terhadap binatang.
Beliau memberitahu Bernama bahawa peningkatan setiap tahun kes membabitkan jenayah seksual luar tabii adalah serius dan terdapat kes seperti itu yang tidak dilaporkan kerana mangsa merasa malu selain bimbang identiti diketahui.
"Kita takut statistik ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun jika tidak dibendung," katanya.
Pada tahun 2006, sebanyak 180 kes jenayah seksual luar tabii dilaporkan, meningkat 51 kes pada 2007 menjadikannya 231 kes, dan bertambah 12 kes lagi pada 2008 menjadikan 243 kes.
Hukuman berbeza
Jenayah seksual luar tabii dipecahkan kepada beberapa seksyen dengan hukuman berbeza.
Bagi keselahan mengikut Seksyen 377 Kanun keseksaan, iaitu persetubuhan luar tabii dengan haiwan, hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun penjara dan denda atau sebatan.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sama ada melalui mulut atau dubur, hukuman ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Seksyen 377C merujuk kepada persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan pesalah boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan manakala Seksyen 377 CA iaitu perhubungan seks dengan objek sama ada melalui dubur atau kemaluan, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 377D iaitu melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga dua tahun manakala kesalahan mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang
seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Suraini berkata bahawa dalam kebanyakan kes mangsa kenal suspek.
"Contohnya, mereka keluar bersama dan kemudiannya mangsa dipaksa melakukan hubungan seksual luar tabii," katanya.
Pengalaman hitam
Prof Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, berkata gejala seksual luar tabii dilakukan untuk mendapat lebih keseronokan dan kepuasan terutama apabila perlakuan seks itu menyakitkan orang lain.
Katanya dari kajian yang dilakukan, kebanyakan pelaku seksual luar tabii
mempunyai pengalaman hitam dalam hidup seperti pernah melalui kesakitan atau diperlakukan dengan kejam sehingga menjadikannya seorang pendendam.
"Sebab lain ialah tidak mencapai kepuasan dalam hubungan seks biasa seperti dalam perkahwinan, jadi apabila ada ruang dan peluang di depan mata, mereka menggunakannya untuk mencapai kepuasan tersebut," katanya.
Dr Mariani berkata beliau pernah diberitahu oleh seorang wanita yang mengakui mencapai nikmat melalui seks luar tabii dengan memasukkan sesuatu melalui duburnya.
Katanya dalam perlakuan seks luar tabii seperti liwat melibatkan sesama lelaki tidak banyak menimbulkan syak wasangka.
"Contonya jika lelaki membawa perempuan ke hotel, pastinya akan menimbulkan syak tetapi kalau lelaki dengan lelaki, siapa yang sangka?" katanya.
Dr Mariani berkata paparan melalui media selain filem dan drama mengenai kisah hubungan luar tabii turut memberi rangsangan kepada golongan berkenaan.
Monday, June 15, 2009
Tindakan jerit, pakai lilitan "Bubar DUN" memalukan - Nazri
Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Tindakan melaungkan dan memakai lilitan "BUBAR DUN" oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sebahagian ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi disifatkan sebagai "tindakan memalukan."
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu sememangnya telah dirancang oleh pembangkang sempena majlis angkat sumpah Nizar sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
"(Apa yang berlaku) satu perkara yang amat memalukan kerana tidak menunjukkan satu teladan, satu contoh sebagai ahli Yang Berhormat.
"Saya kesal dan berharap ia tidak menjadi contoh, berharap tindakan dan perangai ini tidak mewakili pandangan majoriti ahli-ahli Parlimen," kata Nazri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.
Nazri mengulas tindakan Nizar yang melaungkan "bubar DUN" dan kemudian mengikat lilitan "BUBAR DUN" Perak sambil diikuti beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Nizar memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang awal April lalu.
Termasuk beliau tujuh wakil rakyat Pakatan diarah keluar Dewan Rakyat oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Mereka 'digantung' selama dua hari ini sehingga esok.
Jelas Nazri, setiap pihak yang memasuki Dewan Rakyat dikehendaki mematuhi kod etika pakaian yang ditetapkan.
"Pakaian kita pun, masuk ke dalam Dewan ditetapkan oleh kod pakaian," katanya.
Sebarang pakaian di luar kod etika, kata beliau, jika hendak diamalkan perlu mendapatkan kebenaran Speaker, kata Nazri.
"(Malah) apa-apa dokumen yang hendak diletakkan di atas meja (wakil rakyat di Dewan) pun kena mendapat kebenaran," katanya.
Mengenai komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemakaian lilitan diamalkan di negara lain, Nazri memberitahu, "kalau Ketua Pembangkang kata di luar negara, itu di luar negara, ini Malaysia... tak boleh dilakukan, perlu dihormati."
Ketika ditanya mengapa pemakaian lilitan di kalangan wakil rakyat dibenarkan semasa kempen anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum, beliau memberitahu, banyak perkara yang dilakukan pada masa lalu adalah atas "dasar terlepas pandang."
"Yang penting daripada pemerhatian mata Speaker, kalau Speaker tidak nampak terlepaslah... tapi apabila perkara gila berlaku macam pagi tadi, dia menarik perhatian, tiba-tiba ramai yang pakai.
"Maka daripada segi perhatian Speaker dan mengambil keputusan dia.
"Dulu dia pakai lilitan, kita tak sedar pun, kita tidak tahu pun ada yang pakai... ada juga Ahli Parlimen yang tidak membangkitkan perkara itu pun.
"Jadi keputusan dibuat berdasarkan tarikan perhatian berdasarkan perkara itu baru kita ambil keputusan (mengarah keluar Dewan Rakyat)," katanya.
Nizar, 6 lagi digantung sidang parlimen - MalaysiaKini
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencetuskan drama lagi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai anggota baru parlimen bagi Bukit Gantang pagi ini - melaungkan "hidup rakyat, bubar DUN".
Dengan tujuan menarik perhatian ramai berhubung perjuangannya untuk menuntut jawatan menteri besar Perak, yang dirampas BN dalam pertukaran kerajaan pada Februari lalu, laungannya itu disambut pula oleh anggota-anggota Pakatan Rakyat dalam dewan tersebut.
Akibatnya, menteri besar Pakatan Rakyat itu diperintah meninggalkan Dewan Rakyat bersama enam lagi ahli parlimen pembangkang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan berbuat demikian atas dakwaan "berkelakuan kasar".
Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.
Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Hatta Ramali (PAS-Kuala Krai), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai).
Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.
Mohammad Nizar memenangi kerusi parlimen tersebut dalam satu pilihanraya kecil 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.
Sunday, June 14, 2009
Usul haram SIS: Penjelasan Khalid Samad
Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, mereka tidak berniat menggalakkan penggunaan kuasa untuk berdakwah "pihak yang berbeza pandangan dengan aliran Islam arus perdana", seperti Sisters in Islam (SIS).
"Memang banyak pendirian SIS yang kita tidak senangi, tidak setuju dan kita rasakan bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri. Tetapi apa yang dimaksudkan di sebalik usul itu, supaya tindakan diambil dan diperbetulkan.
"Dalam perbincangan kita, kita bersetuju, perkataan itu (mengharamkan), menggambarkan kecenderungan dengan penggunaan kekerasan dan kuasa. Dan kalau itu yang dimaksudnya, ia bercanggah degan Islam itu sendiri," katanya dalam sidang media di Shah Alam.
Beliau mengulas usul yang dicadang PAS kawasan itu dalam muktamar PAS lalu yang meminta kerajaan menyiasat dan mengharamkan SIS sekiranya aliran dan pandangannya bertentangan dengan syariat Islam.
Usul PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas oleh muktamar ke-55 PAS minggu lalu. Usul itu berbunyi, antara lain:
"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.
"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."
Dapat bantahan meluas
Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.
Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan - PKR dan DAP - serta sejumlah NGO dan individu.
Khalid berkata, Islam menggariskan beberapa panduan berdakwah, seperti disebut dalam al-Quran, antaranya, menggunakan pendekatan berhikmat, memberi nasihat dam berhujah dengan cara yang baik dan menarik.
Beliau berkata, kaedah dan pendekatan tersebut telah digunapakai sejak lama dahulu, termasuk oleh tokoh besar Islam Imam al-Ghazali.
Katanya, usul itu asalnya dicadangkan Dewan Muslimat PAS kawasan itu, tetapi tidak dibincangkan dalam mesyuarat kawasan pada 19 April lalu, sebaliknya dibawa ke mesyuarat khas pada 23 April.
Khalid berkata, dalam mesyuarat itu, PAS Shah Alam bersetuju mengubah beberapa perkataan dalam usul itu yang boleh menimbulkan salah faham seperti perkataaan "mengharamkan" dan "pemulihan".
Selepas itu, tambah Khalid, ia diserahkan kembali kepada Dewan Muslimat bagi membetulkannya.
'Saya terlepas pandang'
"Tetapi oleh kerana sibuk dengan pilihanraya kecil Penanti ketika itu dan sibuk merasmikan mesyuarat agung menjelang muktamar, saya terlepas pandang," tambahnya.
PAS Shah Alam akan menulis kepada PAS pusat pada hari ini atau esok, bagi menerangkan pendirian mereka serta melampirkan kronologi kejadian tersebut, katanya.
Bagaimanapun, bekas ahli biro politik PAS itu berkata, mereka tidak perlu meminta maaf kepada SIS.
"Kalau perlu saya akan minta maaf kepada PAS terlebih dahulu. Kalau ikut ayat ini, kita tidak kata apa-apa. Tetapi imej buruk ini bukan kena kepada SIS tetapi PAS. Ia mengukuhkan persepsi salah kepada kaedah dan pendekatan PAS itu sendiri," katanya.
Beliau juga berkata, tidak timbul juga isu menariknya balik kerana ia bukan usul sebenar yang telah dipinda, dan sepatutnya kepada ibupejabat.
Walaupun menafikan beliau disabotak pihak-pihak tertentu, Khalid mengakui usul tersebut telah mencalarkan sedikit imej PAS.
SPRM putuskan dakwaan terhadap dua 'Datuk' - Nazri
KUANTAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua "Datuk" yang dibabitkan dengan kes rasuah berhubung pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Beliau berkata ketika ini pihak SPRM telah pun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu.
"Siasatan telah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa terhadap tertuduh ini, keputusan itu akan dibuat secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno yang bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.
Nazri berkata SPRM akan melakukan siasatan secara bebas dan adil tanpa mengira kedudukan pihak yang disabitkan rasuah itu.
"SPRM akan bertindak adil dan bebas tanpa mengira orang yang disiasat atau didakwa itu datang dari parti tertentu, kita tak kira, kalau cukup bukti daripada siasatan dan ada keperluan untuk mendakwa, maka SPRM akan memutuskannya (untuk didakwa)," katanya.
Beliau berkata pihak kerajaan atau Umno juga tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap pemimpin Umno atau ahlinya yang terbabit rasuah.
Ditanya mengenai persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih "menyerang" pemimpin-pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
"Persepsi itu tidak betul.., mana lebih penting, lawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah, saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu," katanya.
Mohamed Nazri berkata persepsi berkenaan juga mungkin disebabkan Umno merupakan sebuah parti besar dan berkuasa dan segala tindak tanduk pemimpin dan anggotanya tentulah sentiasa menjadi perhatian rakyat.
"Bagi parti yang berkuasa ini, tentulah macam-macam berlaku, orang tak bercakap pasal parti lain yang tidak berkuasa dan tidak memerintah.
"Kita perlu menyambut baik usaha SPRM ini, ianya tidak mendatangkan malu kepada kita, jika SPRM mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit rasuah, maka kita akan dapat membanteras rasuah dalam Umno, dan rakyat akan kembali yakin kepada Umno," katanya. BERNAMA
SPRM putuskan dakwaan terhadap dua 'Datuk' - Nazri
KUANTAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua "Datuk" yang dibabitkan dengan kes rasuah berhubung pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Beliau berkata ketika ini pihak SPRM telah pun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu.
"Siasatan telah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa terhadap tertuduh ini, keputusan itu akan dibuat secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno yang bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.
Nazri berkata SPRM akan melakukan siasatan secara bebas dan adil tanpa mengira kedudukan pihak yang disabitkan rasuah itu.
"SPRM akan bertindak adil dan bebas tanpa mengira orang yang disiasat atau didakwa itu datang dari parti tertentu, kita tak kira, kalau cukup bukti daripada siasatan dan ada keperluan untuk mendakwa, maka SPRM akan memutuskannya (untuk didakwa)," katanya.
Beliau berkata pihak kerajaan atau Umno juga tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap pemimpin Umno atau ahlinya yang terbabit rasuah.
Ditanya mengenai persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih "menyerang" pemimpin-pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
"Persepsi itu tidak betul.., mana lebih penting, lawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah, saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu," katanya.
Mohamed Nazri berkata persepsi berkenaan juga mungkin disebabkan Umno merupakan sebuah parti besar dan berkuasa dan segala tindak tanduk pemimpin dan anggotanya tentulah sentiasa menjadi perhatian rakyat.
"Bagi parti yang berkuasa ini, tentulah macam-macam berlaku, orang tak bercakap pasal parti lain yang tidak berkuasa dan tidak memerintah.
"Kita perlu menyambut baik usaha SPRM ini, ianya tidak mendatangkan malu kepada kita, jika SPRM mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit rasuah, maka kita akan dapat membanteras rasuah dalam Umno, dan rakyat akan kembali yakin kepada Umno," katanya. BERNAMA
Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi' - MalaysiaKini
Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".
PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.
Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.
Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.
Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.
Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.
Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.
'Kemungkinan p'raya mengejut'
"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.
Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.
Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".
Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.
Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.
Saturday, June 13, 2009
Azizah: PKR mahu laksana pemilihan langsung elak politik wang
Oleh G. MANIMARAN
NILAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang melangsungkan kongres nasional khas bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu, antara lain membolehkan 300,000 ahlinya memilih barisan kepimpinan pusat mulai tahun depan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah membolehkan pemilihan langsung akan membantu mengelakkan masalah politik wang.
"Sejarah membuktikan sebuah tamadun akan musnah apabila menularnya amalan rasuah dan diamal menjadi budaya.
"Justeru kita mengambil sikap proaktif dengan mencadangkan pindaan Perlembagaan ini," kata beliau dalam ucapan perasmian presiden sebentar tadi. Lebih 1,00 perwakilan menghadiri kongres khas hari ini, yang sepatutnya diadakan Februari lalu di Kedah.
Kongres diadakan di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di sini.
Pindaan yang dibincangkan hari ini merupakan paling komprehensif sejak parti ini ditubuhkan satu dekad lalu.
Pindaan sebelum ini diadakan pada 2001.
Antara pindaan lain yang dibincangkan ialah mengehadkan tempoh pegang jawatan presiden, menambah bilangan naib presiden, memperkenalkan istilah baru bagi menggantikan nama bahagian dan cawangan.
Wan Azizah menjelaskan, PKR akan memberi tanggungjawab secara langsung kepada seluruh ahli untuk memilih pemimpin yang mereka yakini.
"Sekiranya pindaan ini diluluskan para perwakilan, maka parti kita akan menjadi parti yang paling demokratik di Malaysia.
"Walau jiwanya muda namun langkahnya perkasa. Penghapusan sistem perwakilan dengan meletakkan hak dan tanggungjawap kepada setiap ahli akan mampu menghapuskan bibit-bibit politik wang dari mula berputik di dalam parti kita," kata beliau.
BERITA TERDAHULU
Kongres Khas PKR bahas pindaan perlembagaan
NILAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang melangsungkan Kongres Nasional Khas bagi meminda perlembagaan parti itu.
Lebih 2,000 perwakilan menghadiri kongres khas hari ini, yang sepatutnya diadakan Februari lalu.
Kongres diadakan di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di sini.
Pindaan yang dibincangkan hari ini merupakan paling komprehensif sejak parti ini ditubuhkan satu dekad lalu.
Antara pindaan yang dibincangkan ialah mengehadkan tempoh pegang jawatan presiden, menambah bilangan naib presiden, memperkenalkan istilah baru bagi menggantikan nama bahagian dan cawangan.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Parti Keadilan Rakyat akan memberi tanggungjawab secara langsung kepada seluruh ahli untuk memilih pemimpin yang mereka yakini.
"Sekiranya pindaan ini diluluskan para Perwakilan, maka parti kita akan menjadi parti yang paling demokratik di Malaysia.
"Walau jiwanya muda namun langkahnya perkasa. Penghapusan sistem perwakilan dengan meletakkan hak dan tanggungjawap kepada setiap ahli akan mampu menghapuskan bibit-bibit politik wang dari mula berputik di dalam parti kita," kata beliau dalam ucapan perasmian presiden.
Peruntukan memberi hak secara langsung memilih pemimpin pusat merupakan antara yang akan dibahaskan hari ini.