Sunday, January 16, 2011

Tenang: PAS umum calon sebentar lagi

LABIS,16 Jan: Teka teki siapakah calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang akan terjawab sebentar nanti.
Pengumuman calon yang dipilih akan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah di Pekan Labis jam 9 malam ini.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang dijangka hadir malam ini ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Sehingga petang ini, pelbagai desas desus timbul mengenai calon yang akan diumumkan termasuk individu itu ialah seorang anak muda dan tidak kurang juga yang menjangkakan calon itu seorang wanita.
Bagaimanapun, PAS sebelum ini memberitahu calon yang akan dipilih merupakan anak tempatan kawasan itu.
Sementara itu, Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat bulanan Pakatan Rakyat Khamis lalu berkata, Pakatan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS dalam memilih calon bagi melawan Umno BN.
"Kita percaya dan menyokong sepenuhnya calon yang dipilih PAS.Tidak ada masalah dalam soal calon," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.
BN pula akan mengumumkan calon mereka pada 19 Januari ini yang digembar-gemburkan adalah wanita.
Penamaan calon akan berlangsung pada 22 Januari manakala proses pembuangan undi pada 30 Januari.
Kedua-dua tarikh tersebut jatuh pada hari cuti.

Calon PAS di Tenang: Firdaus atau Normala?

Dua nama telah dikemukakan kepada PAS pusat untuk dipilih sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini.
Mereka ialah ketua Dewan Pemuda PAS Segamat, Firdaus Mas'ud dan ketua Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman.
azlanFirdaus seorang peguam, juga merupakan exco Pemuda PAS Johor. Normala (kiri) pula merupaka exco Muslimat PAS pusat dan bekas seorang guru.
Sumber-sumber berkata kedua-dua calon mempunyai peluang yang seimbang untuk dipilih sebagai calon, tetapi PAS dijangka memilih Normala.
Sementara itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula dilaporkan berkata, PAS akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Tenang malam ini.
Katanya, pengumuman tersebut akan dibuat oleh presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pekan Labis yang akan disertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP Lim Kit Siang.
"Setakat ini, terdapat dua calon yang dikemukakan kepada kita untuk diputuskan selewat-lewatnya petang ini dan calon tersebut akan diumumkan malam nanti pada jam 8 malam di pekan Labis, Johor," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian tidak menolak kesukaran menentukan siapa calon parti itu yang benar-benar layak dipilih mewakili PAS dalam pilihan raya kecil itu dan mengakui salah seorang calon tersebut ialah wanita.

"Bagaimanapun, pimpinan akan putuskan soal calon itu petang ini," katanya sambil menambah kedua-dua calon itu adalah anak tempatan Tenang.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Januari ini dan hari pengundian pada 30 Januari. 

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri.

'Bimbang K'tan dirampas halang PAS laksana hudud'

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan keputusan kerajaan negeri tidak melaksakan hukum hudud kerana kebimbangan bahawa kerajaan persekutuan akan campur tangan dengan mengisytiharkan darurat untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak mahu perlembagaan negeri itu digantung sekali lagi seperti yang pernah dilakukan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada sekitar tahun 1969 dahulu.

nik aziz meeting with bloggers, kl"(Tun) Dr Mahathir(ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

"Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran... Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua," katanya sambil membaca kaedah fiqhiyyah bagi menyokong hujahnya.

"Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran... dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik," kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan facebook di Hotel Grand Season di ibu negara, malam semalam.

Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.

Ambil secupak

Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka "diambil secupak-secupak" sehingga habis.

nik aziz meeting with bloggers, kl"Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS," katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.

Katanya hal demikian berlaku kerana berkat doa dan dakwah yang dilakukan membuatkan bukan Islam berasa selesa dan tidak takut dengan ajaran Islam.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata demikian ketika menjawab soalan penulis blog Azizi Abdullah yang mengutarakan soalan mendakwa semangat PAS untuk menegak undang-undang jenayah Islam itu dilihat "mengendur" selepas bersama Pakatan Rakyat.

hudud lawSebelum itu, exco Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan turut memberi respon terhadap soalan berkenaan dengan menegaskan bahawa undang-undang tersebut sudah diluluskan pada tahun 1993 dan belum dimansuhkan.

Bahkan ia juga telah mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana "ada halangan dan cabaran".

Katanya, pendirian kerajaan negeri pada ketika itu adalah memikirkan kemudaratan yang akan dihadapi kerajaan negeri itu sekiranya undang-undang itu dilaksanakan.

nik aziz meeting with bloggers, kl"Kalau laksana hukum hudud apakah, halangan dan cabarannya.(Oleh sebab itu) kita tak laksana (hukum hudud).

"Tetapi ia tetap dilaksanakan dalam bentuk yang lain," katanya yang juga seorang peguam.

Takiyuddin berkata walaupun tidak dilaksanakan, tetapi undang-undang kecil yang lain dapat diimplimentasikan.
Royalti minyak

Sementara, exco kanan Datuk Husam Musa pula menafikan tanggapan penulis blog yang bahawa tiada perkembangan berhubung isu tuntutan royalti minyak.

Katanya, tuntutan tersebut didokong oleh semua pihak, dan kerajaan negeri memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan permohonan tuntutan berkenaan.

azlan"Ia bukan isu politiktetapi untuk menjaga amanah. Seperti mana yang disebut oleh Tok Guru, isu royalti adalah isu amanah, dan beliau adalah pemegang amanah, maka kita menuntut amanah itu bagi rakyat negeri Kelantan," katanya.

Sehubungan itu, Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan mengajak semua penulis blog dan Facebook hadir ke Mahkamah Tinggi Perdagangan Kuala Lumpur berhubung permohonan kerajaan pusat untuk mencelah menjadi defendan bagi isu tuntutan royalti minyak.

"Kita bantah permohonan itu," katanya sambil menambah permohonan itu berlangsung pada 27 Januari ini.

"Kerajaan pusat mungkin rasa Petronas berseorangan atau rasa mereka memerlukan bapa kerana tak sanggup menghadapi (kerajaan negeri) Kelantan," katanya sinis.

NONETambahnya, pendekatan lain oleh kerajaan negeri berhubung isu berkenaan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sebelum majlis dialog itu dimulakan, Nik Aziz menyampaikan sedikit ucapan ringkas yang mana beliau menasihatkan penulis blog dan Facebook supaya tidak menulis sesuatu "sesuka hati".

"Tulis baik, balasannya syurga. Tulis jahat, balasannya neraka," katanya sambil merujuk tulisan dalam blog yang mendakwa beliau dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke ICU, beberapa bulan lalu.

Saturday, January 15, 2011

Malaysia Airports kendali 34.3 juta Penumpang Di KLIA Pada 2010

SEPANG: Malaysia Airports mengendalikan 34.3 juta penumpang tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), peningkatan kira-kira 14.8 peratus daripada 29.1 juta penumpang yang dicatatkan pada 2009.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasinya Datuk Azmi Murad berkata, pertumbuhan itu hampir berganda daripada apa yang dijangkakan oleh pengendali lapangan terbang itu bagi tahun tersebut, yang mana merupakan kira-kira lapan peratus.
"Kami melihat peningkatan dari segi kekerapan daripada syarikat penerbangan yang beroperasi ke KLIA, terutamanya dari Timur Tengah," kata Azmi, Sabtu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pesawat baharu Boeing 737-800 Garuda Indonesia bagi operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Azmi berkata Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways telah meningkatkan kekerapan mereka ke Malaysia sepanjang tahun lepas. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Air Asia X juga menyumbang kepada pertumbuhan yang kukuh.
"AirAsia X menghubungkan penumpang dari Australia ke Terminal Penerbangan Tambang Murah sebelum memindahkan mereka ke Eropah," jelasnya.
Mengenai perkembangan lain, Azmi berkata iklim ekonomi global yang bertambah baik juga menyumbang kepada pertumbuhan penumpang di KLIA.
Pada 2006 KLIA disenaraikan sebagai lapangan terbang ke-13 paling sibuk di dunia dari segi trafik penumpang antarabangsa.
Bagi tahun ini, beliau berkata Malaysia Airports menyasar pertumbuhan tujuh peratus dalam pengendalian penumpang.
"Tahun ini, kami telahpun mempunyai satu syarikat penerbangan baharu, Firefly Jet. Hari ini, syarikat penerbangan itu memulakan operasi dari sini dengan dua penerbangan masing-masing ke Kuching dan Kota Kinabalu.
"Ini akan menjadi satu yang positif bagi kami. Kami menjangka menyaksikan bilangan penumpang yang bertambah menggunakan Firefly," katanya.
Mengulas mengenai Garuda Indonesia menggunakan pesawat generasi baharu Boeing 737-800 bagi operasinya ke Kuala Lumpur bermula hari ini, Azmi berkata:"Ia juga bakal menyumbang kepada peningkatan penumpang dari republik itu."
Menurut Malaysia Airports, ia menerima sejumlah 3,896,054 penumpang dari Indonesia tahun lepas, peningkatan 7.3 peratus dari 2009.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Garuda Indonesia, Don Jusuf Palito Bustan berkata, pesawat baharu itu yang akan meningkatkan kapasiti muatan sehingga 40 peratus, akan melipatgandakan bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan di laluan permintaan tinggi ini.
"Potensi pasaran masih terbuka kepada kami. Kami melihat trafik yang menggalakkan. Itulah sebabnya mengapa kami menggunakan pesawat baharu ini," katanya.
Don Jusuf juga berkata syarikat penerbangan utama Indonesia itu bersiap sedia untuk memanfaatkan Polisi Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.
"Kami bukan hanya merancang meningkatkan kekerapan tetapi juga destinasi seperti dari Jakarta ke Pulau Pinang atau Medan ke Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, orang Medan selalu terbang ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan menggunakan syarikat penerbangan lain untuk pergi ke negeri tersebut.
Selain menggunakan pesawat lebih besar, Garuda Indonesia juga meningkatkan kekerapannya dari Jakarta kepada dua kali sehari daripada tiga kali seminggu sebelumnya. -BERNAMA

Bakar patung bantah peguam minta perlahan azan

Kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang meminta laungan azan diperlahankan.
NONE
Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan.

Bantahan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Zakaria berkata Majlis Ayahanda, NGO dan persatuan penduduk dukacita dan terhiris dengan tindakan peguam itu.

Katanya, masjid itu wujud 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah kedengaran tohmahan seperti itu.

Semalam, pihak pengurusan Majid Al-Ikhlasiah dilaporkan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

NONEKetua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.
Zakaria yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) Lembah Pantai menegaskan bahawa azan adalah sebahagian daripada ibadah umat Islam dan telah lama dipraktikkan. 

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan termasuk di bawah akta hasutan, atau menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendakwa ia menggugat keharmonian kaum.

Zakaria juga menuntut peguam berkenaan memohon maaf, serta mendesak ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyatakan pendiriannya berhubung isu ini.

NONETurut menyertai perhimpunan itu adalah Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, ketika ditemui media, wakil Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah Fauzi Che Ahmad mempersoalkan tindakan peguam itu yang menurutnya, seolah-oleh "tidak faham sensitiviti" umat Islam di situ. 

"Islam adalah agama rasmi, sepatutnya beliau menghormati sensitviti orang Melayu dan Islam demi keharmonian satu Malaysia," katanya.

Orang ramai yang menyertai demontrasi tersebut turut membawa kain rentang bertulis "Laungan azan, laungan keramat" dan "Kami rela mati demi mempertahankan agama Islam".

Manakala beberapa keping poster turut dipamerkan antaranya bertulis "Jangan main api", "Jangan kurang ajar" dan "Ini negara aman, kenapa bikin panas".

NONEPerhimpunan selama setengah jam mulai 2 petang itu, berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kira-kira 20 anggota polis mengawal di sekitar masjid tersebut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Nurul Izzah berkata Islam menuntut umatnya mencari kebenaran secara beradab. 

"Kesederhanaan dan keharmonian harus dipelihara," kata naib presiden PKR itu, sambil mengajak pihak yang terbabit untuk bersama dengannya mencari kebenaran dalam isu azan di Masjid Al-Ikhlasiah.

Beliau yang menggesa agar umat Islam mendapatkan penjelasan bertulis daripada pihak berkuasa agama, sama ada wujudnya garispanduan berhubung laungan azan di masjid dan surau.

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010

R.Puvaneswaran menunjukkan pingat Olimpian Lelaki 2010 dan cek RM10,000 yang diterimanya pada majlis penyampaian khas anugerah tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Foto Rashid Mahfof



KUALA LUMPUR – Atlet karate negara, R. Puvaneswaran melakar kejutan apabila mengetepikan calon pilihan, yang juga jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang apabila dinobat Olimpian Lelaki Negara 2010, semalam.

Datuk Nicol David pula menepati ramalan apabila pemain skuasy No. 1 dunia itu dipilih sebagai Olimpik Wanita Negara, mengetepikan saingan jaguh wusyu negara yang memenang pingat emas Sukan Asia, Chai Fong Ying dan atlet terjun, Pandelela Rinong.

Ia merupakan kemenangan kedua buat Nicol, selepas menerima anugerah yang sama untuk 1998. Kemenangan tersebut membolehkan Puvaneswaran dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000 sumbangan Coca-cola beserta trofi. Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Puvaneswaran, pemenang pingat emas acara Kumite lelaki bawah 55kg pada Sukan Asia 2010, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

‘‘Saya tidak menduga boleh terpilih sebagai pemenang kerana calon untuk kategori lelaki cukup hebat seperti Azizulhasni, Alex Liew (boling) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton).

‘‘Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang saya terima sepanjang karier saya dalam sukan ini.
‘‘Lebih penting, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada sukan karate, kerana saya adalah penerima pertama dari sukan karate,’’ katanya.

Sementara Nicol tidak dapat hadir pada majlis semalam dan hadiah diterima oleh pengurus pasukan skuasy negara ke Sukan Asia, Peter Chee.

Menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis tersebut, Nicol mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak.

Katanya, anugerah itu pasti akan menyuntik semangat juangnya bagi menampilkan persembahan yang lebih mantap di masa depan.

Tahun lepas, pemain skuasy wanita No. 1 dunia itu meraih satu emas pada Sukan Komanwel dan dua emas pada Sukan Asia.

Beliau juga merupakan pemenang `National Sportswomen Award’ dari tahun 2006 hingga 2009.

Sathia dapat ilham 'skuad bayangan'

KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sudah menemui skuad bayangan yang akan membarisi kesebelasan utama Red Warriors untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Selangor pada 29 Januari ini.

Menurutnya, senarai tersebut bagaimanapun masih lagi peringkat awal, memandangkan ada beberapa pemainnya mengalami kecederaan dan mungkin memerlukan rombakan.

"Skuad bayangan sudah ada, namun semua ini bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan saya harap pemain yang cedera dapat pulih secepat mungkin. Mulai esok (hari ini) kita akan beraksi dalam empat siri perlawanan.
"Bermula dengan Kedah dan harap pemain dapat menunjukkan peningkatan. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh para pemain kerana kita ada banyak yang perlu dihadapi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.
Tambahnya, beliau mahu pemainnya menunjukkan peningkatan secara berperingkat dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Menurut Sathianathan, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan persahabatan ini dan mahukan pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya.

"Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam membentuk persefahaman yang mantap di kalangan pemain, selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Inilah peluang buat semua pemain untuk mendapatkan semula rentak permainan, kerana ia tidak boleh datang dalam satu atau dua perlawanan sahaja,'' katanya.

Jelasnya, pasukan-pasukan lain termasuk dari utara tanah air sudah beraksi sepuluh perlawanan, sedangkan pasukannya baru sahaja memasuki perlawanan kelima.

Sesi latihan semalam menyaksikan Red Warriors turun tanpa beberapa pemain utama seperti Khalid Jamlus dan K. Soley. Namun, ia merupakan penampilan sulung anak pengurusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Nicholas Can yang akan menyarung jersi pasukan itu.

"Saya beri Soley pelepasan kerana emaknya masuk hospital dan berada dalam keadaan kritikal, manakala Khalid di hantar ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapat rawatan bagi memulihkan kecederaan yang dihadapinya," katanya.

Sepanjang enam siri perlawanan persahabatan setakat ini, Kelantan tewas tiga, selebihnya mencatatkan keputusan seri.

Harga minyak kekal AS$105 setong

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Momentum industri minyak dijangka tidak berubah dan harga-harga berada pada purata AS$105 (RM320) setong dalam tempoh 12 bulan, iaitu semakan secara menaik daripada anggaran awal MIDF Research pada AS$90 (RM275) hingga AS$95 (RM290) setong.
Ia berkata kecairan dan kemerosotan dalam dolar AS, diikuti dengan permintaan yang meningkat, terutamanya dari pasaran-pasaran baru muncul mendorong kenaikan komoditi itu.
Harga minyak mentah mengukuh kepada AS$91.55 (RM279) setong pada 3 Januari, paras paling tinggi sejak krisis kewangan 2008.
"Ia ada merosot sedikit lewat ini tetapi ia tidak mengubah keyakinan kami yang harga akan kembali kukuh tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut kaji selidik industri yang dikendalikan oleh Barclay Capital Global, perbelanjaan cari gali dan pengeluaran minyak seluruh dunia telah meningkat sebanyak 16 peratus daripada AS$422 bilion (RM1.287 trilion) tahun lepas kepada AS$490 bilion (RM1.495 trilion) tahun ini dengan kadar pertumbuhan terbesar berpusat di pasaran-pasaran baru muncul di Timur Tengah, Afrika Utara, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Friday, January 14, 2011

ADUN Merlimau diserang sakit jantung

ADUN Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dimasukkan ke Hospital Putra di Melaka hari ini selepas mengalami serangan jantung, lapor Utusan Malaysia Online.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri kini ditempatkan Unit Rawatan Kardiologi (CCU) bagi rawatan lanjut.

Pemandu peribadinya, Hassan Rahim berkata, Mohamad Hidhir mengadu sakit dada ketika berada di Japerun Merlimau kira-kira pukul 1 petang ini.

“Sebaik beliau mengadu sakit dada, saya terus membawanya ke Hospital Putra untuk membuat rawatan tetapi doktor terpaksa menahannya untuk rawatan lanjut,'' katanya.

Katanya, beliau sering mengadu sakit dada sejak pulang dari Taiwan baru-baru ini.

Sementara itu menurut jurucakap Hospital Putra, keadaan Mohamad Hidhir dilaporkan stabil sejak dimasukkan ke ICU petang tadi.

Thursday, January 13, 2011

Umi Hafilda mahu heret Anwar ke mahkamah

Seorang saksi utama dalam kes perbicaraan Datuk Seri AnwarIbrahim lebih 10 tahun lalu, kini muncul kembali dengan niat untuk mengheret ketua umum PKR itu ke mahkamah.

NONEUmi Hafilda Ali hari ini berkata beliau akan memulakan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan dirinya ditahan pada 1997.

Anwar merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu.

Selain Anwar, tindakan saman berjumlah berjumlah RM300 juta itu, juga akan mengaitkan abangnya Azmin.

Bercakap dalam satu sidang media di Subang Jaya hari ini, Umi Hafilda berkata beliau bagaimanapun masih belum menetapkan sama ada langkah itu merupakan tindakan saman fitnah.

Namun, beliau berkata ia mungkin berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Anwar.

Tambahnya, peguam beliau masih meneliti peruntukan yang boleh digunakan.

Tindakan saman itu akan dilakukan "secepat mungkin."

Selain itu, beliau juga akan mengemukakan saman terhadap parti PAS, Karpal Singh dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Turut hadir dalam sidang medianya hari ini ialah penasihat undang-undangnya Mohd Khairul Azam Abd Aziz.

"Saya rasa penyalahgunaan kuasa telah berlaku melampaui batas pada 1997," katanya.

Tambahnya, beliau ditahan pada 17 Ogos pada tahun berkenaan, dua hari selepas beliau menulis sepucuk surat.

Ummi mendakwa, penahanan itu semata-mata untuk menutup konspirasi di kalangan mereka, di antara Azmin, Anwar dan pihak polis untuk menangkapnya.
"Sudah sampai masanya saya menuntut hak saya. Beliau telah didapati salah pada selama enam tahun, membuktikan bahawa dia bersalah dan saya rasa saya berhak menuntut hak saya.

Katanya lagi, beliau juga tampil mengemukakan saman kali ini bagi membolehkan masyarakat mengetahui "cerita sebenar".

"Sebab itulah saya rasa terpanggil untuk muncul semula mengadakan sidang akhbar hari ini untuk meneruskan saman saya sebanyak RM700 juta terhadap lima individu dan satu parti," katanya.

Katanya lagi, beliau juga akan menyaman Karpal yang didakwa sebagai peguam yang "tidak amanah" sebanyak RM200 juta.

Jelasnya, beliau telah menemui Karpal pada waktu itu bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai mangsa liwat Anwar untuk mendapat pandangan peguam tersebut.

"Tetapi kepercayaan yang saya berikan kepadanya disalahgunakan untuk kepentingan parti dan dirinya," katanya.

Katanya lagi, PAS juga disaman sebanyak RM100 juta kerana didakwa terlibat dalam satu konspirasi yang menjejaskan maruahnya.

Ummi mendakwa, PAS telah menghantar beberapa orang wakil termasuk Mohamad Sabu untuk menemuinya berhubung satu kes.

"Kedua-dua PAS dan Karpal mengenakan tekanan tinggi kepadaMahathir ketika itu untuk membongkar kes tersebut.

"Bila kes ini terbongkar saya hairan mengapa PAS dan Karpal menggunakan kes tersebut untuk menghentam saya," katanya.

Tambahnya, konspirasi yang didakwa itu juga melibatkan maruah dan harga dirinya tercemar serta turut menjejaskan perniagaan yang diusahakannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...