KUALA LUMPUR 12 Jun – Para pemilik kenderaan persendirian hanya perlu membawa kad pengenalan atau MyKad untuk menuntut rebat tunai di pejabat pos di seluruh negara mulai Sabtu ini.
Mereka perlu melengkapkan borang kiriman wang dengan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan.
Bagi pemilik yang memiliki lebih daripada satu kenderaan, mereka perlu mengisi borang berasingan bagi setiap kenderaan dan tuntutan terhad kepada lima jenis kenderaan bagi setiap orang.
Pemangku Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad (PMB), Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pemilik kenderaan perlu datang sendiri ke pejabat pos bagi membuat tuntutan rebat tunai itu.
Menurut beliau, bagi tempoh fasa pertama, pihak ketiga tidak dibenarkan membuat tuntutan bagi pihak pemilik kenderaan.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, pemilik kenderaan yang telah membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei tahun ini boleh membuat tuntutan mulai Sabtu ini sehingga 31 Mac tahun depan.
Sementara bagi fasa kedua pula, pemilik kenderaan yang membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 Jun tahun ini sehingga 31 Mac 2009, boleh membuat tuntutan rebat tunai di semua pejabat pos mulai 1 Julai.
‘‘Untuk pelaksanaan fasa pertama, Pos Malaysia menjangka 1.7 juta pemilik kenderaan persendirian akan mendapat rebat tunai,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas mengenai pembayaran tuntutan rebat tunai yang akan bermula di 683 buah pejabat pos berkomputer di seluruh negara.
Abu Huraira berkata, bagi melicinkan proses itu, seramai 2,291 petugas telah ditugaskan di semua kaunter pejabat pos di seluruh negara.
Selain itu, kata beliau, Pos Malaysia juga menempatkan pegawainya di setiap pejabat pos bagi membantu menangani sebarang masalah yang mungkin dihadapi oleh pelanggan.
‘‘Kami menganggarkan setiap urusan di kaunter bermula daripada serahan borang sehingga kepada pembayaran akan selesai dalam tempoh tiga minit,’’ katanya.
Beliau berkata, semua pejabat akan beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pejabat pos ditutup pada Sabtu pertama setiap bulan dan juga pada cuti umum.
Abu Huraira berkata, semua langkah telah diambil bagi memastikan pelaksanaan pembayaran rebat tunai berjalan lancar dan beliau memberi jaminan pemilik kenderaan yang layak mendapat bayaran dengan segera.
Beliau menasihatkan pemilik kenderaan supaya tidak menyerbu pejabat pos pada hari Sabtu ini kerana mempunyai masa sehingga 31 Mac tahun depan untuk membuat tuntutan rebat tunai itu.
Tambahnya, petugas akan membuat pengesahan nama pemilik dan nombor kad pengenalan berdasarkan pangkalan data yang diperolehi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum membuat pembayaran.
Abu Huraira berkata, selain membuat bayaran tuntutan secara tunai, Pos Malaysia juga menyediakan kemudahan bayaran rebat tunai menerusi kiriman wang bagi pengguna yang tidak dapat menunggu lama atau yang akan ke luar negara.
Bagi mendapatkan bayaran melalui kiriman wang, katanya, pengguna perlu melakukan prosedur yang sama tetapi dikehendaki menulis alamat tetap atau alamat surat menyurat serta nombor telefon pada borang untuk dihubungi.
No comments:
Post a Comment