ZURICH - Juara Dunia, Itali melakukan baik pulih ke atas permainan dan formasi pasukan pada pertemuan getir menentang Romania hari ini setelah tewas 0-3 kepada Belanda, Isnin lalu.
Satu lagi kekalahan Itali di Zurich akan menyebabkan pasukan bimbingan Roberto Donadoni pulang awal daripada kejohanan.
Kekalahan untuk kali kedua bermakna keseluruhan jentera pasukan dalam Kumpulan C itu akan dinilai semula.
Alessandro Del Piero yang tidak pernah bermain dengan Itali sejak September tahun lalu dijangka beraksi pada perlawanan kedua Itali itu, setelah dia mempamerkan aksi menarik setelah dimasukkan sebagai pemain gantian.
Sementara itu, kedudukan seorang lagi penyerang Itali, Antonio Cassano menjadi perdebatan, setelah dia juga dimasukkan dalam pertemuan dengan Belanda, di Berne.
Keputusan yang mungkin dilakukan oleh Itali ialah dengan menukar formasi pasukan daripada 4-3-3 kepada 4-3-2-1.
Namun begitu, penyerang utama Itali, Luca Toni difahamkan seperti mahu dia digandingkan di bahagian depan untuk melakukan serangan.
"Bermain bersama Antonio dan Alessandro membolehkan kami lebih banyak melakukan serangan. Ia adalah perkara normal. Mereka boleh menghasilkan banyak peluang.
"Dengan penampilan Antonio dan Alessandro, kami telah banyak berubah. Tetapi, bos mempunyai keputusannya sendiri.
"Masalah menjaringkan gol masih lagi berlaku. Meskipun Cassano dan Del Piero berada di atas padang, kami masih tidak berjaya melakukan jaringan," katanya pada sidang akhbar.
Pemain pertahanan kiri, Fabio Grosso yang beraksi sebagai pemain gantian ketika bertemu Belanda dijangka beraksi pada pertemuan dengan Romania.
Selain itu, Giorgio Chiellini dan midfield, Daniele De Rossi dijangka menguatkan skuad Itali pada perlawanan tersebut.
Romania yang mencatat keputusan seri 0-0 dengan Perancis, Isnin lalu, berpendapat bahawa Itali akan melakukan asakan dari awal perlawanan bermula.
"Kami berharap mereka (Itali) akan meninggalkan sedikit ruang kepada kami untuk mengeksploitasikan peluang yang ada. Kami menjangka pendekatan berbeza berbanding pertemuan dengan Perancis," kata kapten Romania, Cristian Chivu.
Perancangan perlawanan Romania untuk bertemu Itali diramal akan sama seperti pertemuan dengan Perancis, yang mana akan memberi penumpuan kepada benteng pertahanan, berbanding mencipta jaringan.
"Kami akan bermain secara bertahan, bertahan dan bertahan. Perancangan kami adalah tidak mahu dikalahkan," kata penyerang Romania, Adrian Mutu.
Penyerang itu ternyata menerima kesan mendalam ekoran kematian neneknya baru-baru ini. Namun begitu, Mutu berharap dia akan dapat kembali menebus permainan buruknya ketika menentang Perancis.
"Saya berharap kamu akan melihat Mutu sebenar ketika bertemu Itali," katanya.
Seorang lagi penyerang Romania, Daniel Niculae dijangka memberi laluan kepada Ciprian Marica untuk beraksi jika dia masih belum sembuh daripada kecederaan kepala, Selasa lalu.
Paul Codrea juga mungkin akan menggantikan tempat Razvan Cocis di bahagian tengah pasukan.
Ketegangan politik mungkin akan menambah kehangatan perlawanan tersebut.
Namun, pihak berkuasa bola sepak telah menyatakan bahawa mereka menjangka tidak akan berlaku sebarang permasalahan di Zurich.
Lebih daripada 500,000 rakyat Romania yang dianggarkan menetap di Itali. Jumlah yang dinyatakan oleh Rom itu semakin meningkat ekoran kemasukan Romania ke Kesatuan Eropah (EU) tahun lalu.
Ramai pengembara Romania yang hidup melarat di Itali dan sering disalahkan apabila berlakunya keganasan jenayah.
- Reuters
No comments:
Post a Comment