08-07-2008 02:22:33 PM
Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Noor, antara individu yang pernah rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih satu dekad berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu turut bertanggungjwab terhadap pelbagai masalah dihadapai negara khususnya soal rasuah, yang kini menjadi harapan ramai agar dapat ditangani dengan berkesan dan segera.
Ezam berkata, dengan mengambil kedudukan Anwar dalam kerajaan sehingga dipecat pada 1998, tindakan-tindakan beliau telah membawa kepada masalah sosial amalan rasuah.
"Anwar juga bertanggungjawab kepada sebahagian daripada apa yang berlaku. (Sebagai contoh) masa beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau yang memperkenalkan projek kontraktor berwibawa, atas arahan sebagai Menteri Kewangan.
"Sepuluh syarikat telah diberikan projek untuk disenaraikan (di Bursa) dengan diberikan projek bernilai RM1 bilion ringgit, dan ini dilakukan secara (projek) terus dan wujud banyak rasuah di sana.
"Ini dibentuk oleh Anwar, dan saya ingin mendengar apakah pendirian beliau sekarang?... sekarang beliau bercakap mengenai tender terbuka dan sebagainya," kata bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Anwar kini bertindak sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR.
Ezam, bekas Setiausaha Politik kepada Anwar dari 1996 sehingga bekas Menteri Kewangan itu dipecat daripada Umno pada September 1998 menyatakan demikian dalam temu bual khas dengan mStar Online dan The Star.
Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi ini keluar daripada PKR, yang diasaskan bersama untuk membela Anwar dan mempertahankan keadilan, keluar PKR dua tahun lalu.
Ezam mula berkhidmat dengan Anwar selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa dengan menyertai Institut Kajian Dasar, badan pemikir mendukung perjalanan politik Anwar, pada 1991 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik.
Ketika bersama PKR, Ezam pernah mengkritik amalan salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan pimpinan BN.
Ezam yang mengemukakan borang permohonan untuk menyertai semula Umno pada penghujung Mei lalu diterima Majlis Tertinggi tiga minggu kemudian, kini berazam untuk membawa pembaharuan dalam parti dan kerajaan seiring dengan keterbukaan Perdana
Menteri untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman dan usaha mencegah rasuah.
Ketika diminta mengulas lanjut, Ezam berkata, Anwar yang bercakap mengenai soal kebebasan dan integriti sekarang tidak pernah membawa apa-ap pembaharuan yang dijanjikan ketika berada dalam kerajaan selama hampir dua dekad.
Anwar juga telah menyertai Umno awal 1980-an untuk membawa perubahan dan pembaharuan. Jawatan terakhir beliau dalam kerajaan ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Timbalan Presiden Umno, dari 1993.
"Bercakap mengenai Anwar sebagai orang yang hendak membawa pembaharuan terhadap amalan rasuah, tetapi 15 dan 16 tahun lalu selepas dibentuk sebagai pemimpin penting dalam Umno, saya tidak melihat apa-apa yang dilakukan oleh Anwar sebagaimana dilakukan oleh Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai) sekarang," katanya lagi.
Apabila ditanya sama ada Anwar juga bertanggungjawab menyumbang kepada amalan politik wang dalam Umno yang pernah hangat diperkatakan satu ketika dulu, Ezam berkata, ia sebenarnya merupakan persepsi orang ramai.
"Ya, itu yang orang ramai kata. Saya hanya bersama beliau sebagai Setiausaha Politik untuk tempoh yang singkat, sejak 1996 dan (sehingga) Anwar dipecat. Malangnya (saya) tidak terlibat dalam pemilihan Umno (1993 dan 1996) dan hanya sertai selepas pemilihan umno," katanya.
Ketika ditanya sama ada kerjaya politik Anwar sudah mula berakhir dengan isu dakwaan meliwat yang terbaru, Ezam berkata, sukar untuk membuat rumusan itu pada masa sekarang.
"Ini kerana politk adalah persepsi. Anwar mempunyai kekuatan untuk bermain, untuk membentuk persepsi sedemikian. Beliau mungkin akan berjaya.
"Saya tidak mengatakan bahawa beliau terlibat dalam dakwaan itu. Saya tidak tahu, saya memang tidak tahu. Itu antara beliau, (bekas pembantu khasnya) (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan) dan Tuhan," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, mengambil kira cara Anwar mengendalikan isu tersebut sejak seminggu lalu beliau menggunakan strategi persepsi iaitu mengubahnya daripada masalah peribadi kepada masalah politik.
"Ini adalah masalah peribadi tetapi menjadi masalah politik dengan berlindung di Kedutaan Turki, campur tangan AS, mengatakan konspirasi Timbalan Perdana Menteri, yang pada saya sesuatu yang tidak adil tetapi orang mungkin percaya," katanya.
No comments:
Post a Comment