08-07-2008 06:32:44 PM
Oleh ZIEMAN
PETALING JAYA: "Jangan risau...Saya tak apa-apa. Im fine really...," begitulah jawapan spontan yang diberikan Carb Alak, vokalis kumpulan underground, Carburetor Dung yang dibelasah dan dibaling dengan botol kerana mempamerkan aksi melondeh seluar dan menonggeng punggung depan audiens ketika membuat persembahan pada Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya petang semalam.
Alak berkali-kali memohon maaf kerana tidak dapat melayan apa-apa soalan kerana katanya dia belum bersedia lagi.
"Bengkak di kepala saya dah ok," kata Alak.
Dari nada suaranya, seolah-olah menggambarkan bahawa Alak seperti sudah serik dan terkejut dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.
"Tanya saja Joe Kidd. Dia boleh jawab. Maaf, saya belum bersedia dan tidak dibenarkan memberi apa-apa kenyataan," kata Alak.
Bila ditanya siapa yang tidak membenarkan dia memberi kenyataan, Alak berkata, "Saya sendiri yang tidak bagi. Mungkin minggu depan, saya boleh bagi interview tapi hari ini tak boleh."
Dalam persembahan malam tadi, Alak telah menyanyikan lagu Mari Menyanyi Menjilat dengan membuat aksi ini (melondeh seluar dan menonggeng punggung). Lagu tersebut adalah lagu lama dan seringkali dinyanyikan oleh kumpulan ini di kelab-kelab tertutup di ibu negara.
Ketika ditanya apa yang membuat dia beraksi begitu, Alak hanya berkata,"I really dont know. It all happens."
Lagu Mari Menyanyi Menjilat adalah lagu satira yang menyentuh pasal korupsi yang berleluasa dan selalu mendapat tempat di hati peminat kumpulan underground ini.
Carburetor Dung terdiri daripada lima anak muda - Alak (vokalis), Fendi (pemain bass), Joe Kidd (gitaris), Bullet (drum) dan Tom (gitaris) dan ditubuhkan pada tahun 1991.
Ketika diasak dengan soalan benarkah melondeh seluar sudah sinonim dengan aksi Carburetor Dung, Alak secara sopan meminta maaf sekali lagi.
"Janganlah tanya saya lagi. Tunggulah minggu hadapan, saya akan jawab segalanya. Bukan sekarang. Saya minta maaf...," kata Alak.
Difahamkan Carburetor Dung adalah antara kumpulan muzik underground yang diminati ramai dan sering mempamerkan aksi-aksi yang daring apabila beraksi di pentas. Melondeh seluar adalah amalan biasa dan sudah menjadi sebahagian dari act kumpulan ini.
No comments:
Post a Comment