08 Julai, 2008 12:18 PM
KOTA BAHARU, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan bercadang mewartakan tanah tinggi Lojing sebagai sebuah jajahan kecil bagi memudahkan proses pemantauan terhadap aktiviti pembangunan tanah di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata kertas cadangan akan dihantar kepada Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bulan ini.
"Kita jangka ia akan diluluskan September ini sebelum tanah tinggi itu diwartakan sebagai jajahan kecil baru November ini," katanya bagi menjawab soalan Abdul Fatah Haron (PAS-Bukit Tuku) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Lojing kini berada di bawah jajahan Gua Musang dan dikenali sebagai pusat kegiatan pertanian tanah tinggi. Kawasan itu pernah menjadi perhatian berikutan kegiatan pembalakan tidak terkawal.
Husam berkata, apabila diwartakan kelak, jajahan kecil Lojing akan meliputi kawasan seluas 181,700 hektar, iaitu 20 peratus dari keluasan keseluruhan jajahan Gua Musang.
"Kita mencadangkan sempadan antara jajahan kecil Lojing dan Gua Musang adalah di Kampung Chas tetapi kedudukan sebenar akan ditentukan Jabatan Ukur dan Pemetaan," katanya.
Husam berkata langkah mewartakan Lojing sebagai jajahan kecil akan membolehkan kawasan itu dibangunkan dengan lebih pesat serta memudahkan pemantauan terhadap isu tanah di situ.
Katanya kerajaan negeri juga akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya Lojing dijadikan satu daripada kawasan Dewan Undangan Negeri.
-- BERNAMA