Tuesday, July 8, 2008

PAS, PKR dan DAP tidak mungkin bersatu

Petikan: Laman Marhaen


SEBAIK sahaja Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya melabuhkan tirainya semalam, bukan sahaja menerima kritikan daripada kerajaan Barisan Nasional malah daripada rakyat yang ingin bersama-sama menunjukkan rasa marah mereka terhadap kenaikan minyak dan kos sara hidup ketika ini.

Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa jelek mereka apabila penganjur dilihat membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kata mereka lagi, himpunan tersebut sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan ala 'Fun fair'.

Pandangan tersebut turut disuarakan oleh Pas Johor Bahru, menerusi laman web mereka begitu juga dengan seorang blogger yang menamakan dirinya sebagai lot250.

Malah semasa kejadian yang mencetuskan kemarahan orang ramai iaitu ketika vokalis kumpulan underground Carburetor Dung cuba melondehkan seluar dan menonggeng ke arah penonton sambil menjerit perkataan ‘jilat, jilat’ ketika menyanyikan lagu Mari Nyanyi Menjilat, dibelasah oleh rakyat.

Jadi apa kesannya ?

Maka tercetuslah satu persepsi di kalangan ahli parti masin-masing yang menunjukkan ketiga-tiga parti politik yang kini mendominasi lima negeri mungkin tidak boleh bersatu lagi.

Umum tahu PAS mempunyai ahli-ahli yang sangat hebat kerana perjuangan yang lahir dari hati yang begitu tulus iaitu untuk menegakkan agama Islam di bumi Malaysia.

DAP pula ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas untuk semua kaum di bawah prinsip Malaysian Malaysia.

PKR pula berjuang untuk memastikan keadilan untuk semua kaum di negara ini.

Ketiga-tiga parti mempunyai agenda masing-masing dan terlalu sukar untuk mereka mencapai satu persefaham di bawah satu bumbung iaitu Pakatan Rakyat.

Undi PAS hanya terdiri daripada orang Melayu sahaja oleh yang demikian sampai bila pun PAS tidak akan memenangi pilihan raya umum di negara ini dan akan kekal sebagai parti pembangkang selama-lamanya.

Atas apa kenyataan ini dibuat ?

Hanya satu sahaja, Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, 40 peratus daripada rakyat di negara ini terdiri daripada kaum Cina, India dan lain-lain.

Saya yakin PAS akan terus kekal dengan prinsip perjuangan dan tidak akan berganjak dengan prinsip tersebut kerana hampir ke semua ahli-ahli PAS mendukung perjuangan parti berlandaskan perjuangan Islam.

DAP pula dianggota oleh masyarakat Cina dan beberapa kerat wakil daripada kaum India. Disebabkan itu DAP juga sukar memenangi pilihan raya umum di negara ini.

Malah prinsip perjuangannya yang keras dan tidak bertoleransi dengan prinsip perjuangan PAS menyebabkan kedua-dua parti sukar bersatu.

Lalu apa pilihan mereka ?

Jika PAS mempunyai matlamat untuk menguasai Malaysia sudah tentu dengan hanya berpegang kepada teguh dengan prinsip perjuangan asal sudah tentu hasrat tersebut tidak akan berjaya.

Mungkin ada yang akan menganggap penulis tidak percaya janji tuhan jika kita berpegang teguh kepada ajarannya kita akan mencapai kejayaan yang gemilang.

Kalam yakin tetapi jika kaum lain tidak ada di bumi Malaysia, PAS sudah pasti akan dapat menjadikan negara ini sebuah negara Islam seperti yang diimpikan oleh Kalam sendiri.

DAP pula hanya mampu bermimpi di siang hari, kerana undi orang Melayu juga tidak akan berpaling kepada bangsa lain namun pilihan raya umum baru-baru ini telah menunjukkan kecenderungan orang Melayu mengundi parti tersebut.

Bagaimanapun jika mereka terus berpegang kepada prinsip yang sama maka usaha mereka akan jadi sia-sia sahaja.

PKR sebuah parti pelbagai kaum, mula mendapat tempat dihati kerana apa yang tidak ada pada PAS dan DAP ada pada parti tersebut.

PKR boleh berjaya malah mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang ada sekarang, tetapi pada usia yang terlalu muda prestasi PKR masih belum boleh diukur.

Pakatan Rakyat kini bersandar kepada PKR tanpanya maka tidak ada Pakatan Rakyat.

Adakah kita akan menyaksikan DAP dan PAS akan bersatu, tepuk dada tanya selera tuan-tuan.

Ingatlah, jika lima tahun ini Pakatan Rakyat gagal menunjukkan prestasi maka, pada pilihanraya umum ke 13, BN kembali berkuasa dan akan terus memegang tampuk pemerintahan sehingga 50 tahun akan datang.

Atas dasar apa pandangan ini ?

Kepercayaan rakyat luntur terhadap Pakatan Rakyat, nasib pakatan ini sama seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggotai PAS dan Semangat 46 satu ketika dahulu.

Lagu-lagu kegagalan Pakatan Rakyat akan terus berkumandang hingga ke anak cucu.

Berbalik kepada peristiwa diatas, jelas menunjukkan Pakatan Rakyat tidak akan dapat bertahan lama.

Kalam rasa dengan apa yang sudah berlaku semua ahli parti tidak perlu lagi simpan angan-angan untuk mengambil alih negara ini dari BN.

Lupakanlah hasrat itu, kalian berjuanglah demi parti masing-masing dengan matlamat masing-masing yang mana ia lebih baik untuk semua pihak.

Lebih baik jaga keluarga sendiri daripada jaga keluarga orang.

Apa yang dilakukan oleh keluarga orang memang tidak betul dan salah sama sekali sebab berani melondehkan seluar dihadapan orang ramai.

Tetapi dia juga seorang Islam kenapa tidak nasihatkan dia, asuh ke jalan yang betul, mungkin dia boleh jadi seperti saudara Akhil Hayy.

Sebaliknya apa yang kita lakukan, membelasah dia dikhalayak orang ramai.

Adakah kita seorang Islam atau inikah akhlak kita ?

Jadi apa beza PAS, DAP dan PKR dengan BN khasnya UMNO, jawapannya sama sahaja, kita tidak didik orang sebaliknya kita suka menghukum orang.

PAS, DAP dan PKR tidak akan dapat bersatu lagi, pilihan raya umum ke 13 akan menyaksikan bahawa tulisan ini ada kebenarannya.

- Kalam Nurani

08.07.2008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...