Tuesday, July 8, 2008

Jalan Ke Sg Rasau Dinaiki Air Sebabkan Kesesakan Laluan Ke Klang

08 Julai, 2008 14:56 PM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Hujan yang turun tanpa henti pada awal pagi tadi menyebabkan jalan-jalan yang merentasi Sg Rasau di Klang dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan mengakibatkan kesesakan di persimpangan Bukit Raja dekat sini.

Persimpangan Bukit Raja adalah simpang utama bagi laluan ke bandar Klang, Kapar, Shah Alam dan Kg Jawa.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi jalan masuk ke Kg Sg Rasau dari persimpangan berkenaan ke Kg Jawa dan Sg Rasau masih ditutup dan dikawal oleh anggota polis trafik.

Tinjauan mendapati ada di kalangan pemandu dan penunggang motosikal yang memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan kerana tidak boleh memasuki simpang ke Sg Rasau menuju ke Kg Jawa.

Pada 12.00 tengah hari, air naik kira-kira setengah meter dan hanya boleh dilalui oleh lori dan kenderaan berat lain.

Seorang penduduk dari Flat Taman Rimba Jaya di Sg Rasau, M.Raja 43, berkata ini adalah kejadian kedua berlaku dalam tahun ini di Sg Rasau selepas kejadian yang sama April lepas dan perkara ini masih tidak mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Walaupun, hujan yang turun sejak 5.00 pagi berhenti kira-kira jam 9.00 pagi, air masih tinggi di kawasan Sg Rasau, kira-kira paras pinggang," katanya lagi.

Beliau berkata kawasan ini akan dinaiki air bila hujan turun tanpa henti buat beberapa jam dan ditambah pula dengan kenaikan paras air laut pada masa yang sama dan ini melambatkan proses air surut.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi BERNAMA berkata bahawa beberapa kawasan penempatan di Padang Jawa dan Kampung Rambutan di Air Kuning telah dinaiki air setakat 0.5 meter berikutan hujan yang turun tanpa henti mulai 5.00 pagi tadi.

Bagaimanapun, pihaknya masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga kerana walaupun air telah surut dikhuatiri hujun kembali turun petang ini.

"Hujan pagi tadi agak lebat dan berukuran setinggi 68 mm," katanya.

Penduduk yang kawasan rumah mereka dinaiki air telah diberi bantuan sarapan pagi oleh MBSA dan juga makan tengah hari ini.

Pihak MBSA juga menyediakan pusat pemindahan banjir di dewan-dewan MBSA di Seksyen 7 sebagai persediaan sekiranya paras air naik kembali," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...