Wednesday, July 2, 2008

Ismail Dan Saifuddin Nafi Akan Sertai PKR

02 Julai, 2008 19:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan kononnya mereka antara empat pemimpin Barisan Nasional yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Kedua-dua pemimpin itu juga menafikan dakwaan dalam satu laman web hari ini kononnya pernah bertemu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar negara baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Ismail menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal.

"Tidak ada sebab saya tinggalkan Barisan Nasional lebih-lebih lagi saya sekarang dalam kabinet. Takkan saya nak lompat parti yang tidak ada masa depan kerana saya anggap parti ini (PKR) sebagai pandai bohong," katanya.

Ismail, yang juga Ketua Umno Bahagian Bera, berkata artikel dalam blog itu sengaja ditulis untuk mengelirukan penyokong BN selain mengalih perhatian rakyat kepada tuduhan liwat yang dihadapi Anwar sekarang.

"Lepas pilihan raya lepas, PKR terutamanya Anwar tak habis-habis dengan pengumuman ada orang (BN) keluar, lompat parti tapi sampai sekarang ia tak berlaku," katanya.

Saifuddin, yang juga adalah Anggota Parlimen Temerloh, berkata beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Umno, parti yang disanjungnya sejak dahulu lagi.

Menurutnya dakwaan kononnya beliau bertemu Anwar di luar negara, seperti yang tersiar dalam satu blog hari ini, adalah fitnah kerana selain sudah lama tidak ke luar negara, beliau juga tidak pernah bertemu Anwar sejak 10 tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...