Wednesday, July 2, 2008

Siasatan Polis Tetap Dijalankan Walaupun Libatkan Nama Musa Hassan

02 Julai, 2008 15:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis akan tetap menyiasat laporan yang membabitkan nama beliau yang dibuat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

"Saya tidak mahu komen atau beritahu apa-apa mengenai perkara itu. Biar siasatan dijalankan berkaitan tuduhan Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Anwar semalam membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor terhadap Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, mendakwa kononnya kedua-duanya itu menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadap Anwar oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor pada 20 Sept 1998.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung tuduhan Anwar terhadapnya, Musa berkata: "Untuk apa? Biarlah polis siasat."

Musa juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan keluarga Mohd Saiful Bukhari Azlan, orang yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar, kononnya mereka diarah tidak menghubungi beliau (Musa) berkaitan laporan itu.

Khamis lepas, Mohd Saiful membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers di sini mendakwa dia diliwat oleh Anwar di sebuah kondominium di Bukit Damansara.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...