Muhammad Yusri Amin
Wed | Jul 02, 08 | 7:09:14 pm MYT
KOTA BHARU, 2 Julai (Hrkh) - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menolak permohonan Siti Aishah Chou Abdullah, 24, isteri Adun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh yang mana sebelum ini memohon pengesahan perceraiannya.
Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan berkata, penolakan dibuat kerana perkahwinan pasangan itu tidak didaftarkan di Kelantan.
�Mahkamah memerintah pemohon dalam kes ini membuat pengesahan pernikahan dengan mengemukakan satu permohonan terlebih dahulu,� katanya pada perbicaraan kes itu.
Beliau berkata, tidak ada asas dari segi undang-undang yang menunjukkan perkahwinan pasangan terbabit telah didaftarkan.
Pada perbicaraan pada 29 Mei lalu plaintif tidak hadir bagi mengesahkan cerai terhadap isteri keduanya itu.
Mahkamah ketika itu menangguh kes tersebut mengikut Seksyen 57 Undang-Undang Keluarga Islam.
Nik Najib menasihatkan responden mengikut undang-undang dengan mengesahkan pernikahan terlebih dahulu.
Mahkamah juga menasihatkan defendan hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 12 (2) Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan, memohon supaya disahkan perkahwinan.
Sementara itu, peguam syarie, Haji Mohd Zaki Zainal Abidin yang mewakili Wan Ismail berkata, isu yang berlaku sekarang perlu kepada pengesahan nikah dengan menyediakan dokumen berkaitan terlebih dahulu.
�Untuk mengesahkan cerai, mesti kena mengesahkan nikah dahulu. Pihak mahkamah perlukan dokumen pernikahan sebelum kes pengesahan cerai dapat diputuskan,� katanya.
Peguam Syarie Mohd Sibri Ismail yang mewakili Siti Aishah menjelaskan mahkamah hari ini cuba mendapatkan pengesahan Wan Ismail sama ada benar atau tidak melafazkan cerai.
�Sekiranya Mahkamah menerima lafaz itu, jatuhlah satu talak,� katanya.
Siti Aishah keturunan Cina berasal dari Kemboja memeluk Islam sebelum berkahwin dengan Wan Ismail. Mereka mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Defendan sebelum ini mendakwa Wan Ismail melafazkan cerai talak satu pada 16 April lalu di Wakaf Mek Zainab.
Turut hadir pada perbicaraan hari ini bapa Siti Aishah, Kim Ti, 62, abangnya Mohamad Yusoff Kim Abdullah, 27, anak defendan Wan Ahmad Firdaus (3 tahun) dan Wan Nor Salwa (2 tahun). - mj _
No comments:
Post a Comment