KULIM 2 Julai – Kemelut politik dalaman MIC semakin meruncing apabila hampir
semua pemimpin Briged Pemuda Kedah termasuk Ketuanya, M. Magendiran bertindak
meletak jawatan dan sekali gus membubarkan sayap pergerakan tersebut hari ini.
Menurut Magendiran, 31, mereka tiada pilihan selain meletakkan jawatan dan membubarkan sayap tersebut kerana mendakwa parti itu sudah hilang arah apabila mengarahkan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, S.A. Vigneswaran berundur.
Katanya, kira-kira 800 ahli Briged Pemuda dari 11 bahagian di Kedah kini juga telah hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu.
"Tujuan kami adalah jelas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Kami bertindak kerana ingin membantah tindakan Presiden parti yang mengarahkan Vigneswaran untuk berundur dengan alasan umur melebihi 40 tahun.
"Kalaulah orang yang dipilih oleh perwakilan Pemuda MIC seperti Vigneswaran senang-senang saja diarahkan berundur, apakah nasib orang seperti kami di Briged Pemuda.
"Kami hanya dilantik oleh pucuk pimpinan dan ini bermakna pada bila-bila masa boleh dibuang begitu saja,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
- Utusan
No comments:
Post a Comment