Petikan Agenda Daily
“Saya nampak dia seolah-olah berkata benar sebab saya nampak dia dalam ketakutan. Tangannya seram sejuk. Tetapi saya tak berani buat kesimpulan jadi saya nasihatkan awak sendiri buat keputusan. Dia ceritakanlah segala-galanya yang berlaku”.
Demikian kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika ditanya apa penilaian beliau setelah pemuda yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengannya.
Menurut Najib, Saiful Bukhri ada bertemu dengannya di rumah beliau beberapa hari sebelum laporan polis dibuat.
Katanya, pada pertemuannya itu Saiful menceritakan dia diliwat oleh Anwar. Bagaimanapun kata Najib, beliau tidak berniat untuk campur tangan dan menyerahkan kepada Saiful untuk mengambil tindakan selanjutnya.
”Budak ini datang jumpa saya kerana mengadu hal bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Saya mula-mula tidak yakin sama ada cerita ini benar atau tidak. Jadi saya menyerah kepada dia untuk serah pada polis untuk menentukan apa-apa tindakan selanjutnya.
"Saya terima kedatangannya atas sifat saya sebagai pemimpin dan dia sebagai rakyat biasa yang ingin mengadu pada saya. Saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjawab tuduhan terbaru Anwar yang menggunakan akuan bersumpah seorang penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang mengaitkannya dengan Altantuya Shaariibuu.
Berikut adalah transkrip soal jawab wartawan dengan Najib berhubung pertemuannya dengan Saiful yang mendakwa diliwat oleh Anwar:
Soalan: Mengapa Datuk Seri fikir Anwar serang Datuk Seri secara peribadi?
Jawapan: Saya tidak tahu. Mungkin dia anggap saya di belakang budak ini (Mohd. Saiful Bukhari Azlan). Sebenarnya tidak ada konspirasi. Budak ini datang jumpa saya kerana mengadu hal bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Saya mula-mula tidak yakin sama ada cerita ini benar atau tidak. Jadi saya menyerah kepada dia untuk serah pada polis untuk menentukan apa-apa tindakan selanjutnya. Saya terima kedatangannya atas sifat saya sebagai pemimpin dan dia sebagai rakyat biasa yang ingin mengadu pada saya. Saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini.
Soalan: Bila dia datang jumpa Datuk Seri.
Jawapan: Beberapa hari lalu, tetapi saya hanya beritahu dia, terpulanglah kepada dia.
Soalan: Beberapa hari lalu sebelum dia (Saiful) buat laporan polis?
Jawapan: Sebelum dia buat laporan polis. Tetapi saya sceptical (kurang percaya). Saya tidak pasti sama ada terdapat sebarang asas, sama ada dia berkata benar. Saya agak bimbang, jadi saya kata, terpulanglah pada dia.
Soalan: Mengapa dia datang berjumpa Datuk Seri?
Jawapan: Mungkin kerana dia memerlukan bantuan dan dia kenal salah seorang pegawai saya.
Soalan: Setelah mendengar keterangan Saiful, Datuk rasa ada asas?
Jawapan: Saya nampak dia seolah-olah berkata benar sebab saya nampak dia dalam ketakutan. Tangannya seram sejuk. Tetapi saya tak berani buat kesimpulan jadi saya nasihatkan "awak sendiri buat keputusan." Dia ceritakanlah segala-galanya yang berlaku.
Soalan: Apa yang dia cerita?
Jawapan: Oh banyak, cerita-cerita itu banyak. Satu hari nanti saya mungkin boleh cerita, tetapi selepas kes mahkamah.
Soalan: Datuk Seri nasihatkan dia buat laporan polis?
Jawapan: Tidak. Saya katakan pada dia, terpulanglah kepada dia. Saya sendiri tidak pasti sama ada dia akan buat laporan polis atau tidak.
Soalan: Datuk Seri bersedia untuk beri keterangan pada polis?
Jawapan: Mengapa saya, saya dengar saja. Keterangan daripada dia, bukan saya.
Soalan: Dulu Datuk Seri kata Saiful pernah datang ke pejabat.
Jawapan: Ia adalah dua kejadian berbeza. Dia datang ke pejabat saya untuk mendapatkan bantuan untuk mendapatkan biasiswa. Dia hanya bertemu dengan pegawai khas saya. Dia datang ke rumah saya kerana dia memerlukan bantuan kerana dia dalam keadaan trauma. Saya beritahu semua ini kerana tidak pernah wujud konspirasi kerana anda tidak boleh kaitkan dua kejadian berasingan itu dan saya tidak bertemu dalam kejadian pertama. - 3/7/2008
No comments:
Post a Comment