Friday, July 4, 2008

Majlis Peguam Tidak Setuju Angkatan Tentera Dikerah Jaga Ketenteraman Awam

04 Julai, 2008 22:31 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Majlis Peguam hari ini menggesa agar cadangan menggunakan anggota tentera bagi mengawal ketenteraman awam, khususnya semasa perhimpunan, tidak dilaksanakan.

Presidennya Datuk Ambiga Sreenevasan berkata cadangan itu merupakan suatu bentuk ancaman terhadap orang ramai yang selama ini mempamerkan sikap matang dan bertanggungjawab semasa mengadakan perhimpunan.

"Malah, orang ramai sedar bahawa kerajaan sekarang bergerak ke arah melonggarkan cengkaman terhadap perhimpunan.

Ancaman menggunakan angkatan tentera bertentangan sepenuhnya dengan perkara ini dan sebarang proses pendemokrasian yang kita inginkan.

"Beberapa peristiwa dalam minggu ini juga telah mencetuskan keadaan tidak tenteram. Kami menggesa Perdaan Menteri supaya menangani keadaan kini," katanya dalam kenyataan di sini.

Rabu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengumumkan bahawa pasukan tentera akan dipanggil membantu polis bagi menjaga ketenteraman awam sekiranya keadaan keselamatan negara memerlukannya.

Majlis Peguam juga berkata keperluan mengambil langkah sedemikian tidak berlaku pada masa lepas dan dalam dua keadaan baru-baru ini, perhimpunan diadakan secara aman, tanpa berlaku sebarang kejadian buruk.

"Kita patut sedar bahawa kita tinggal Malaysia, yang menjunjung prinsip kebebasan serta menghormati undang-undang.

Kita perlu sedar bahawa agensi penguat kuasa diwujudkan bagi melindungi orang ramai, bukan menanam rasa takut dalam diri mereka dan pegawainya pula perlu bersemangat dalam menjalankan tugas mereka, tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...