Friday, July 4, 2008

GMUKM Kesal Minggu Suai Kenal Dipolitikkan

Petikan: Kampus Negara.Net


Oleh: NG YEN JIN
MATRIKS : A 11846
Bilik 101,
Kolej Burhanuddin Helmi,
43600 Bangi.

BANGI – Mendukacitakan. Itulah rumusan terhadap perjalanan Minggu Mesra Pelajar (MMP) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula daripada 30 Jun hingga 5 Julai 2008.

Program sepanjang 5 hari yang diaturkan oleh pihak pentadbiran kolej dan Universiti lebih banyak terarah hedonisme dan merendahkan martabat Universiti itu sebagai kilang pengeluaran sumber tenaga dan jantung pemikiran ketamadunan mangsa.



Lebih malang lagi, minggu mesra pelajar menjadi gelanggang politik pihak UMNO dan Aspirasi dalam mendoktin pemikiran mahasiswa condong kepada mereka. Buktinya, slot program bersama pemimpin pada 30 Jun lalu yang menampilkan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Tuan Devamany A/l S. Krishnasamy dan Shaharuddin @ Saifullah, Alumni UKM serta Yang Berhormat Y.B. Datuk Dr Tekhee @Tiki anak Lafe, ahli parlimen Mas Gading, Sarawak telah merendahkan keintegritian dan keunggulan Universiti apabila unsur politik diserap ke dalam pemikiran mahasiswa baru malahan ada panelis forum meracuni minda mahasiswa dengan menyatakan bahawa blogger ramai yang kaki penipu.

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM), Ng Yong Jin mendakwa bahawa isu perkauman turut dimainkan dalam minggu suai kenal tersebut. Pelajar bukan melayu seolah-olah didiskriminasikan dan dipinggirkan dalam perkara kebajikan oleh urusetia minggu tersebut dan ini dapat dilihat daripada tindakan fasilitator Kolej Burhanuddin Helmi yang meminggirkan seorang pelajar berbangsa cina yang memerlukan penjagaan rapi akibat penyakit yang dialaminya.

" Sememangnya kami sudah mual melihat gelagat Fasilatator minggu suai kenal yang lebih banyak bertindak di luar batasan dan bersifat kebudak-budakan. Justeru, kami berharap agar mahasiswa baru sedar bahawa Fasilitator minggu mesra pelajar yang rata-ratanya adalah penggerak Aspirasi-TSB di UKM lebih merupakan gambaran sebenar sikap mereka yang sememangya dikenali sebagai golongan yang tidak bermoral dan ganas dalam semua aspek," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.

Tegasnya, budaya ragging dan tidur lewat malam sehingga pukul tiga pagi di Kolej Keris Mas pada 1 Julai lalu jelas menggambarkan bahawa mahasiswa baru diperlakukan seperti kadet tentera sedangkan kedatangan mereka ke Universiti adalah untuk menimba ilmu dan berpersatuan, bukannya menjadi tentera.

Malahan, tindakan berani mahasiswa baru yang mengingkari arahan Fasilitator Kolej Tun Hussien Onn pada hari pertama orientasi wajar dipuji kerana keengganan mereka ditahan lama oleh Fasilitator kolej tersebut.

" Kami amat berharap agar isu ragging dan buli serta kata-kata kesat yang menjadi tradisi dalam minggu suai kenal dihapuskan sama sekali dan ia hanya dapat direalisasikan sekiranya kami dilantik sebagai hamba kepada mahasiswa UKM dalam pilihanraya kampus akan datang," ujarnya.

Menurutnya lagi, keintelektualan mahasiswa turut dicemari dengan penganjuran program Malam Percikan Seni di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) yang bersifat hedonisme akan menyemarakkan lagi gejala moral di UKM sendiri dan ini ditambah dengan pergaulan bebas fasilitator yang menjadi contoh songsang kepada mahasiswa baru.

Juga, isu kecurian yang berlaku semasa minggu suai kenal telah merendahkan tahap keselamatan terhadap mahasiswa itu disebabkan oleh ‘kerajinan’ sesetengah pengawal keselamatan yang lebih menjaga aktivis mahasiswa daripada kawalan keselamatan kampus.

Justeru, GMUKM berharap agar isu kecurian dan juga kes jenayah yang berlaku semasa minggu suai kenal tersebut dapat diselesaikan dan bukannya tergantung sepertimana yang berlaku ke atas seorang pelajar yang dinafikan haknya sejak 4 bulan lalu akibat rampasan komputer riba oleh pengawal keselamatan UKM sendiri, katanya.

Mengenai isu Akujanji dan juga perjanjian Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang menyekat mahasiswa berdemokrasi dan berpolitik, GMUKM berharap agar mahasiswa sedar akan pencabulan hak asasi mereka yang termaktub dalam perlembagaan dan menganggap ia sebagai asam garam dalam melahirkan pemimpin berkarisma untuk negara ini kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...