Friday, July 4, 2008

Petisyen Batalkan Keputusan P/raya Kuala Kangsar Dan Kubu Gajah Ditolak

04 Julai, 2008 14:40 PM

IPOH, 4 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari Jumaat menolak petisyen berasingan bagi membatalkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Kubu Gajah yang kedua-duanya dimenangi calon Barisan Nasional pada pilihan raya umum Mac lepas.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz manakala Kubu Gajah dimenangi Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Hakim Datuk Zakaria Sam menolak tanpa kos petisyen terhadap keputusan kerusi Kuala Kangsar tetapi menolak dengan kos petisyen terhadap kerusi Kubu Gajah.

Dalam keputusannya, Zakaria berkata Rafidah telah menandatangani borang asal kertas penamaan calon manakala dua lagi kertas penamaan yang tidak ditandatangani adalah borang salinan, dan ini sudah cukup untuk membuktikan beliau memang berhasrat bertanding bagi kerusi berkenaan.

Katanya Pegawai Pilihan Raya juga telah menjalankan kuasanya untuk menerima kertas pencalonan tersebut kerana beliau mempunyai kuasa untuk membuat pertimbangan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Petisyen berkenaan dikemukakan oleh seorang pengundi, Ahmad Jamaluddin Abdul Majid, yang memohon keputusan pengundian bagi kerusi Kuala Kangsar disytiharkan batal dan tidak sah kerana Rafidah, yang dinamakan sebagai responden pertama, didakwa telah gagal untuk menandatangani dua daripada tiga kertas penamaan (Borang 4) yang diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Rafidah menewaskan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr Khairuddin Abd Malik dengan majoriti 1,458 undi manakala Raja Ahmad pula menewaskan calon PAS, Mohamad Nazri Din yang mengemukakan petisyen itu dengan majoriti 66 undi.

Rafidah mengekalkan kerusinya itu dengan mendapat 10,735 undi berbanding Dr Khairuddin yang menerima 9,277 undi manakala Raja Ahmad memperoleh 4,114 undi dan Mohamad Nazri menerima 4,048 undi.

Rafidah mempertahankan kerusi itu buat penggal ketujuh selepas memenanginya buat kali pertama pada pilihan raya umum 1982.

Ahmad Jamaluddin dalam petisyennya memohon keputusan pengundian Parlimen Kuala Kangsar disytiharkan batal dan tidak sah dengan menamakan Rafidah sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO), Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai dua lagi responden.

Dalam permohonannya, beliau menyatakan tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya itu kerana responden pertama, Rafidah Aziz telah gagal untuk menandatangani dua daripada tiga kertas penamaan (Borang 4) yang diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981.

Terdahulu, mahkamah menolak petisyen bagi kerusi Kubu Gajah yang difailkan oleh bekas calon PAS Mohammad Nazri Din yang mendakwa Raja Ahmad Zainuddin telah melakukan perbuatan rasuah semasa pilihan raya berkenaan.

Dalam petisyen yang difailkan pada 24 April itu, Mohamad Nazri menamakan Raja Ahmad Zainuddin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Yusoff Abustam sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga.

Dalam petisyen berkenaan, antara dakwaan yang dibuat adalah Raja Ahmad Zainuddin ketika kempen pada 4 Mac di sebuah rumah di Kubu Gajah, telah berkata kepada hadirin : "Undi kasi Barisan Nasional menang, apa-apa mintak kita boleh kasi".

Dalam keputusannya, hakim Zakaria berkata mahkamah tidak pasti sama ada kumpulan 50 hingga 100 orang yang hadir di rumah itu terdiri pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Katanya mahkamah juga tidak pasti sama 37 penama yang didakwa menerima pelbagai pemberian terdiri pengundi berdaftar di Kubu Gajah.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...