Friday, July 4, 2008

Rakyat Malaysia Di Luar Negara Hati-hati Baca Blog, Kata Zahid

04 Julai, 2008 19:44 PM

Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 4 Julai (Bernama) -- Rakyat Malaysia di luar negara termasuk golongan pelajar diminta berhat-hati dan jangan mudah terpengaruh dengan berita-berita dalam blog dan laman web mengenai perkembangan politik tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi berkata banyak kandungan berita blog dan laman web hanya berupa fitnah, maki hamun, tidak bertanggungjawab dan sumber berita yang diboleh diragui.

Katanya membaca blog politik semata-mata kononnya mendapatkan maklumat yang tidak tersiar dalam akhbar dan media arus perdana boleh membahayakan pemikiran kerana penulisan bukan berisi fakta dan kebenaran tetapi penuh dengan fitnah, kepalsuan dan bersumberkan khabar angin.

"Imbangilah dengan membaca juga laman web berita media arus perdana seperti BERNAMA dan Utusan Malaysia, yang penulisannya beretika, bertanggungjawab dan patuh kepada pelbagai akta yang membuatkan mereka lebih tertib," katanya pada perjumpaan dengan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.

Zahid, yang berada di sini untuk lawatan kerja dua hari, mengambil kesempatan berjumpa dengan kakitangan kedutaan dan juga dengan pemimpin pelajar Malaysia di Jakarta malam tadi untuk memberikan penjelasan mengenai perkembangan politik semasa tanah air.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengakui hakikat bahawa mereka cuma memenangi 140 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lepas dan telah mengikitraf pembangkang yang memenangi 82 kerusi.

Zahid berkata pada masa yang sama pembangkang yang kononnya menjulang demokrasi, juga harus mengiktiraf kerajaan BN dan mengakui bahawa walaupun hanya mendapat majoriti mudah, namum kerajaan BN adalah pilihan rakyat.

Beliau berkata pembangkang hanya mahu mencari salah kerajaan dengan tujuan untuk menghancurkan dan didalangi oleh seorang individu yang hanya mahu menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun termasuk meraih sokongan Amerika Syarikat, mengikut telunjuk negara itu dan akhirnya menjadi boneka mereka.

Menurutnya sandiwara politik pembangkang ialah untuk cuba menyembunyikan hakikat bahawa individu itu dan parti pembangkangnya sehingga kini terbukti tidak mampu menunaikan janji-janji pilihan raya mereka, apatah lagi janji besar untuk menurunkan harga minyak di mana negara besar sendiri tidak mampu melakukannya.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zin turut hadir pada kedua-dua perjumpaan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...