07 Julai, 2008 00:55 AM
PETALING JAYA, 7 Julai (Bernama) -- Hasrat penganjur perhimpunan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) untuk mengumpul satu juta rakyat bagi mendesak kerajaan menurunkan harga minyak gagal apabila hanya 10,000 orang yang berhimpun di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dekat sini Ahad malam.
Sambutan hambar rakyat terhadap perhimpunan tanpa permit itu yang didalangi oleh pakatan pemimpin pembangkang membuktikan kegagalan mereka mempengaruhi orang ramai untuk memprotes kerajaan.
Ini sekali gus membuktikan perhimpunan itu tidak mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini.
Lebih mendukacitakan perhimpunan itu bukan dijadikan landasan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, sebaliknya dijadikan medium pemimpin parti pembangkang untuk menyampaikan ceramah berbaur politik untuk memburuk-burukkan pemimpin BN dan media massa.
Tinjauan Bernama juga mendapati tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan itu yang menyaksikan puluhan polis berkawal dengan bantuan sebuah helikopter polis.
Terdahulu, kumpulan penyokong parti pembangkang serta pertubuhan ekstrim termasuk Hindraf tetap mengingkari arahan pihak berkuasa apabila menghadiri perhimpunan itu walaupun pihak berkuasa menasihati mereka supaya tidak berbuat demikian.
Ribuan penyokong anti kerajaan itu yang kebanyakannya memakai baju merah menjeritkan slogan anti kerajaan, dengan segelintirnya bersikap agresif, berkumpul bagi mendengar ucapan para pemimpin mereka sejak 10 pagi dan berlarutan sehingga ke malam ini.
Kehadiran polis dan pihak berkuasa lain di sekitar stadium itu yang bertindak secara profesional berjaya memastikan kumpulan itu tidak bertindak di luar batasan.
Bagaimanapun perhimpunan sehari suntuk bertemakan "Protes Sejuta Rakyat" itu menimbulkan masalah kepada penduduk setempat yang terpaksa "berkurung" menghabiskan cuti minggu di rumah sahaja apabila cemas dengan faktor keselamatan berikutan kehadiran ribuan orang yang tidak dikenali secara tiba-tiba di kawasan itu.
Difahamkan kebanyakan peserta perhimpunan itu yang datang dari luar Lembah Klang berkumpul di kawasan itu sejak pukul 5 pagi.
Sebelum ini polis menasihati penganjur supaya mengadakan perhimpunan itu ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati, juga di Shah Alam.
Antara yang memberikan ucapan pada perhimpunan itu ialah Penyelaras perhimpunan Dr Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS, Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez, anggota Parlimen Batu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, pemimpin Hindraf S. Jayathas, anggota Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan Anggota Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa.
Pemimpin pembangkang lain yang hadir dalam perhimpunan itu termasuk Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PAS Mohamed Sabu.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dan menyampaikan ucapan.
Perhimpunan itu diadakan pembangkang bagi meraih simpati rakyat untuk bersama-sama membantah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak pada bulan lepas.
Berkuatkuasa 5 Jun lepas, kerajaan mengambil langkah menstruktur semula subsidi minyak bagi mengurangkan defisit negara sebagai persediaan menghadapi risiko tinggi kemelesetan ekonomi dunia.
Berikutan langkah itu, kerajaan mengumumkan harga petrol dan diesel masing-masing dinaikkan sebanyak 78 sen dan RM1 seliter menjadikan harga baru RM2.70 dan RM2.58 seliter.
Walaupun harga bahan bakar itu naik, tetapi harganya masih antara yang termurah di dunia berikutan kesediaan kerajaan untuk terus memberi subsidi pada nilai yang tinggi, dijangka mencecah RM27 bilion tahun ini.
Di rantau Asean, harga bahan bakar Malaysia juga adalah masih rendah berbanding Singapura yang menjual petrol pada harga RM4.33 seliter, Thailand (RM3.91), Indonesia (RM3.46) dan Filipina (RM3.42).
Bagi membantu rakyat menyerap kenaikan itu, kerajaan mengumumkan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan iaitu RM625 bagi kenderaan berkapasiti 2000 cc ke bawah dan RM150 bagi pemilik motosikal di bawah kapasiti 250 cc ke bawah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment