Anis Nazri
Mon | Jul 07, 08 | 8:37:49 pm MYT
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Hrkh) - Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) hari ini mengemukakan usul berhubung kemelut politik yang membabitkan pihak yang berkepentingan dalam negara.
Salahuddin, dalam usulnya berkata usul tersebut perlu dibawa ke Dewan Rakyat bagi membolehkan isu mengenai badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam semua tuduhan dan laporan berkaitan surat akuan bersumpah dan tuduhan polis.
Katanya, keadaan ini bermula pada 18 Jun lalu apabila pengendali laman blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin membuat akuan bersumpah melibatkan isteri TPM, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan Altantuya.
"Keadaan menjadi semakin gawat apabila satu laporan polis dibuat terhadap Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lalu oleh bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan," tegasnya.
Malah, tambah beliau keadaan menjadi semakin panas apabila Anwar pula membuat laporan polis pada 1 Julai terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Pada hari yang sama juga, Salahuddin menambah, Penyiasat Persendirian, P. Balasubramaniam mengemukakan surat akuan bersumpah berkenaan tuduhan terhadap TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak yang kemudiannya bertindak menarik balik akuan tersebut.
Oleh yang demikian, katanya parlimen seharusnya dipertegaskan supaya satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap Najib dan isterinya, Anwar, Musa dan Ghani.
Salahuddin mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, di Parlimen pagi tadi,bagaimanapun usul tersebut akan diputuskan esok sama ada diterima untuk dibahaskan atau sebaliknya.
Dalam perkembangan sama, Salahuddin menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Mizan Zainal Abidin Al-Muktafi Billah Shah, yang diterima oleh Pegawai Tadbir Istana Negara, Sofwan Ibrahim di hadapan pejabat Istana Negara hari ini. - mks._
No comments:
Post a Comment