Monday, July 7, 2008

Siarkan debat Anwar-Shabery secara langsung

Petikan: Harakah Daily

Hashim Abdullah

Mon | Jul 07, 08 | 2:10:11 pm MYT

TEMERLOH, 7 Julai (Hrkh) - Orang ramai mendesak kerajaan menyiarkan siaran langsung debat yang dirancang membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Dato' Ahmad Shabery Cheek tanpa sebarang sekatan agar rakyat dapat menilai idelisme pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Debat mengenai isu minyak yang dihebohkan akan dilaksanakan pada 15 Julai nanti mendapat minat ramai kerana rakyat mahu melihat hala tuju kedua pihak agar selepas itu rakyat akan dapat membuat perhitungan untuk membina sikap mengarah kepada pembentukan kerajaan pada masa depan.

Orang ramai yang masih ragu wujudnya sikap keterbukaan pemimpin kerajaan khususnya Umno dalam mewujudkan suasana maklumat yang terbuka bimbang kerajaan akan menggunakan dolak dalih bila tiba masanya kerana pada peringkat awal inipun pemimpin Umno sudah menunjukkan pertelagahan sikap tentang kewajaran debat diadakan.

Mereka menyuarakan demikian ketika bertemu wartawan Harakahdaily dalam tinjuan rambang mengenai kenaikan harga barangan yang dibuat di sekitar Bandar Temerloh, baru-baru ini.

Seorang peniaga, Husin Sin mahukan debat dibuat siaran langsung kerana rakyat sekarang sangat tertekan dengan kos hidup yang melambung sedang pemimpin kerajaan tidak menunjukkan penyelesaian yang munasabah.

"Kerajaan jangan buat siaran langsung ala sidang Parlimen yang sangat membosankan bagi melepas batuk ditangga konon menunjukkan mereka sudah terbuka tetapi hakikatnya sangat menyakitkan hati melihatnya.

"Apa salah buat siaran langsung sepanjang persidangan, biarkan mereka berbalah bagi membela rakyat dan akhirnya kita semua boleh menilai. Kita juga harap debat nanti buat siaran langsung, jangan sekat-sekat. Kita nakkan penyelesaian masalah kita sekarang," katanya.

Pekerja swasta, Hisham Abi Zaid mahukan pemimpin debat terbabit membuat persediaan rapi supaya bahan debat bolehh dijadikan panduan rakyat membina sikap untuk membentuk kerajaan pilihan yang boleh diharapkan membela rakyat selepas itu.

"Lepas debat ini kita boleh berkira-kira sama ada teruskan bersama pemerintah BN atau memilih Pakatan Rakyat yang boleh diharapkan membela rakyat. Sebab itu pemimpin debat kena bersungguh-sungguh," katanya.

Bagi suri rumah, Puan Nor Fiza pula berharap rakyat mendapat sesuatu penyelesaian daripada debat tersebut kerana kenaikan harga minyak memang tidak munasabah.

"Saya harap debat itu jadi dan ada siaran langsung agar rakyat dapat menilai siapa lebih pintar mengurus ekonomi negara supaya rakyat dapat berlindung, jadi jangan tak jadi," katanya. - mns _

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...