07-07-2008 01:25:22 PM
Oleh ZIEMAN
SATU protes yang berakhir dengan protes. Itu sahaja kesimpulan yang dapat diambil di perhimpunan 1 Juta Rakyat yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya semalam.
Bukan sahaja matlamat protes kenaikan minyak untuk mengumpul seramai mungkin orang jauh tergelincir dari harapan dan impian. Slot hiburan yang disajikan seperti tenggelam punca dan mendapat kecaman hebat. Dan semuanya gara-gara seorang artis yang belum sangat dikenali, iaitu Alak dari Carburetor Dung yang melondehkan seluarnya di khalayak ramai.
Sekaligus, niat murni untuk mengumpul orang ramai dan penyokong pembangkang dari tiga puak - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tercemar dan berlangsung dalam suasana yang tidak harmonis. Bencana yang tidak disangka, yang disediakan oleh Alak akan dikenang sampai bila-bila.
Alak, vokalis kumpulan underground Carburetor Dung 'berjaya' menunjukkan sikap salah lakunya di khalayak ramai. Tapi bukan sahaja sorakan dan tempikan yang menantinya, Alak telah dibelasah oleh penonton di stadium.
Gara-gara cuba melondehkan seluar, Alak terlentang di atas lantai kerana dibelasah oleh penyokong PKR di Stadium Kelana Jaya petang semalam.
Yang lebih memalukan dia langsung tidak menunjukkan tata susila dan sensitiviti medan yang dia berada sehingga sanggup melondehkan seluar dan menonggeng ke arah penonton sambil menjerit perkataan ‘jilat, jilat, jilat bontot ku sampai berkilat."
Sudahlah kreativiti senikata lagu tidak munasabah, ditambah dengan kebingitan muzik yang tidak sesuai langsung untuk perhimpunan seperti itu. Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah 'Potong Nama Tutup Buku" dan "Hantu Raya Di Putrajaya."
Adakah ini yang dinamakan keterujaan tidak terkawal? Perlakuan biadap satu hal, disertakan pula lirik lagu sinis, songsang dan menyesak akal. Lirik pasal liwat yang sedang hangat diperkatakan seperti hilang pedoman. Alak bagaikan sedang beraksi di luar kepompong Malaysia.
Sehinggakan apabila dia dibawa keluar dari Stadium, Alak masih tersenyum seolah-olah baru sahaja melakukan sesuatu yang begitu membanggakan. Sehingga kini, ramai yang masih tertanya-tanya apakah rasionalnya dia berbuat begitu?
Perlakuan Alak telah mendapat respon langsung dari penonton apabila beliau telah dibelasah penyokong parti pembangkang yang menyaksikan persembahan kumpulannya di "Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun" di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya, petang semalam.
Aksi Alak, yang seperti dirasuk meracau-racau hingga lupa diri masih segar dalam ingatan. Ketika memekik "jilat...jilat", Alak terus sahaja memperlihatkan keghairahannya menghayati senikata lagu itu dan tunjuk seluar dalamnya sambil tonggeng. Nyaris sahaja, seorang tua mengutip batu-batu kecil hampir melontarkan pada Alak tetapi telah disabarkan.
Yang menghairankan, mustahil Alak tidak diberi garis panduan apa sensitif, apa yang tidak boleh dilakukan?
Di kelompok kalangan artis pun, perlakuan Alak tidak mungkin dapat diterima. Inikan lagi di pentas di mana orang ramai dan penyokong politik berkumpul.
Slot hiburan yang boleh diklasifikasikan sebagai 'syok sendiri' ini telah berlaku pada jam 7 petang. Sebelum itu, pada jam 2 petang satu lagi band underground yang tampak jauh lebih sopan, telah cuba membuat persembahan tetapi dihalang.
Kurang pasti apa yang kurang atau 'terlebih' maka band ini dilarang.
Yang pasti Carburetor Dung telah berjaya meletakkan nama mereka setanding dengan artis-artis 'berani mati,' mencetus kontroversi bodoh dan kemungkinan besar akan menerima padahnya tidak lama lagi.
Bukan saja kekalutan artis ini telah membuat ramai penyokong pihak pembangkang terutama Pas prejudis terhadap kumpulan seperti ini. Golongan artis secara amnya akan mendapat tempiasnya juga.
Mungkinkah ini jalan pintas dan mudah untuk memahat nama agar dikenali. Kalau sebelum ini, nama Carburetor Dung tidak meniti di mulut ramai, selepas ini ramailah yang akan mengingati persembahan 'hari ini dalam sejarah' mereka.
Walaupun selepas kejadian melondeh seluar itu, 'penganjur' konsert itu Hishammuddin Rais memohon maaf dan hampir menitiskan airmata, kekecewaan yang berbekas di hati pengunjung-pengunjung bagaikan tidak boleh diubati.
Siapa sangka protes kenaikan minyak berubah menjadi satu peristiwa yang memalukan terutama sekali untuk kaum Melayu?
Perlakuan Alak melondeh seluar secara 'live' membuat aksi Faizal Tahir 'buka baju' sebagai sesuatu yang sopan. Maka sejujurnya, Alak layak mendapat 'pengiktirafan' artis paling berani pada tahun ini, sama hebat dengan beberapa artis yang mengambil gambar bogel mereka!
No comments:
Post a Comment