Saturday, July 19, 2008

Harga minyak: Razaleigh mula ancam Abdullah

Petikan: Harakah Daily
Salmiyah Harun
Fri | Jul 18, 08 | 5:39:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Selepas pengakuan Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen kini calon Presiden Umno Tengku Razaliegh pula mendakwa dirinya juga mempunyai cara tersendiri menurunkan bahan api tersebut.

Tengku Razaliegh yakin boleh turunkan harga minyak selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak.

Menurut Dewan Pemuda PAS, kenyataan terbaru Razaleigh walaupun menafikan sebagai kempen politik tetapi mesej yang begitu jelas ditujukan kepada kegagalan Abdullah Badawi menjaga kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, idea yang tercetus oleh Razaliegh itu sama dengan pandangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim dalam debat baru-baru ini.

"Yang penting dua pencabar Abdullah Badawi telah bersepakat harga minyak boleh diturunkan jika kerajaan memikirkan beban yang ditanggung oleh rakyat," tegas Salahuddin.

Tambahnya, Razaliegh dan Anwar adalah bekas Menteri Kewangan yang kini disebut-sebut bakal menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri ekoran terpalitnnya Dato' Seri Najib Razak dengan isu Altantuya serta kejayaan Abdullah Badawi menjerat timbalannya dalam pelan peralihan kuasa pada 2010.

Salahuddin berkata, Razaliegh menyedari ada usaha-usaha untuk menghalang mana-mana ahli Umno bertanding jawatan Presiden Umno sedang giat dijalankan.

"Di satu sudut, Pak Lah menggunakan MT Umno untuk membuat arahan supaya Presiden Umno tidak ditandingi kerana peralihan kuasa akan dibuat pada 2010; sedang di sudut yang lain, usaha melobi Perhubungan Umno negeri-negeri supaya menyokong Pak Lah secara terbuka juga dibuat," katanya.

Dalam masa sama, Salahuddin berkata, peraturan berkempen diwujudkan untuk menyekat tokoh Umno tertentu daripada berkempen terutama yang tidak berjawatan menteri.

"Semua pendekatan ini adalah untuk menyelamatkan Abdullah Badawi, di samping MT terus mengekalkan peraturan 30 peratus pencalonan untuk jawatan Presiden Umno," tambah beliau.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, Razaliegh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat layak menentang Abdullah Badawi untuk jawatan tersebut, beliau bukan sahaja lebih berpengalaman bahkan telah terbukti kebolehannya mentadbir.

"Semenjak zaman Tun Hussein Onn nama Ku Li disebut sebagai bakal Perdana Menteri, tetapi Dr Mahathir yang dipilih oleh Tun Hussein. Pada zaman Mahathir, Ku Li telah memperlihatkan pengaruhnya sehingga Umno 'dibiarkan' haram untuk menyekat peluang Ku Li," katanya.

Kini, kata Salahuddin, Najib sudah terjerat dengan Altantuya dan hampir hilang kelayakan, dan Razaliegh mula menggunakan isu-isu yang tiada kaitan dengan Umno seperti isu harga minyak untuk memancing sokongan ahli Umno.

"Ku Li nampaknya lebih sependapat dengan pembangkang yang mewakili suara rakyat dalam hal ini, berbanding Pak Lah yang buntu dalam mengatasi kenaikan harga minyak global," katanya. - mns _

Orang yang dituduh tidak boleh terus bersumpah

Petikan: Harakah Daily
Intan Abdullah

Fri | Jul 18, 08 | 2:58:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Seorang yang dituduh tidak boleh terus bersumpah kerana ia tidak bertepatan dengan prosedur undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainur Rijal Abu Bakar berkata, keadaan membolehkannya dilaksanakan setelah pihak yang mendakwa dan tertuduh memberikan keterangan.

"Pihak yang mendakwa perlu mengemukakan tuduhan terlebih dahulu, diikuti keterangan tertuduh, namun sekiranya ketika itu pihak yang dituduh mahu menafikannya beliau boleh mengemukakan sumpah itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Hal ini katanya, pihak yang membuat dakwaan tidak boleh terus bersumpah seperti mana dalam kes tuduhan liwat pembantu peribadi Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu Saiful Bukhari Azlan.

"Mengikut prosedurnya, beliau perlu mengemukakan keterangan terlebih dahulu," ujarnya.

Menyentuh mengenai sumpah pula, Zainur berkata ia mempunyai banyak kategori termasuk sumpah mubahalah.

"Dalam kes Saiful dan Anwar, ia bukan sumpah mubahalah tetapi al-yamin istizhar kerana mubahalah itu digunakan dalam kes lian yakni sumpah menuduh isteri melakukan zina," katanya lagi.

Jelasnya, berbeza dengan sumpah mubahalah kes lian yang perlu diulang sebanyak empat kali, sumpah atau yamin istizhar dilakukan hanya sekali sahaja.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan sesetengah pihak yang menggesa Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya bersumpah dalam menghadapi tuduhan liwat oleh bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan. - mns_

PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat perjuangkan keadilan

Petikan: Harakah Daily
Wan Nordin Wan Yaacob

Thu | Jul 17, 08 | 1:31:43 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.

Demikian kenyataan beliau yang dibacakan Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam sidang media di bangunan parlimen sebentar tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad; serta Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Menurut beliau, PAS menegaskan dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

"Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," kata beliau.

PAS juga berpendirian bahawa isu-isu rakyat gagal ditangani dan dipikul oleh Umno/BN seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

"Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah s.w.t agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia," ujarnya.

Sementara itu PAS juga melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim secara tergesa-gesa semalam.

PAS turut mengalu-alukan pembebasan Anwar yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi, kata beliau./wann _

Anwar Cabar Siasat Najib

Petikan: Suara Keadilan


KUALA LUMPUR, 17 Julai (SK)- Anwar Ibrahim mencabar pihak polis untuk menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdull Razak berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Umum KeADILan tersebut berkata pihak polis seolah-olah menunjukkan kesungguhan yang luar biasa menjalankan siasatan terhadap dirinya berkaitan laporan polis yang dibuat bekas pembantu beliau Mohamad Saiful Bukhari Azlan tetapi tidak dalam kes Altantuya.

“Kenapa tidak tanya polis mengapa mereka tidak menyiasat Najib berkenaan pembunuhan Altantuya?

“Bukti cukup sudah ada terhadap pembunuhan tersebut dan juga penggunaan bahan letupan C4″, cabar Anwar ketika menemui media di kediaman beliau setelah dibebaskan polis Khamis lalu.

Altantuya, 28 tahun, ditemui mati di Mukim Bukit Raja, Shah Alam pada Oktober 2006 dan mayat beliau berkecai dipercayai kesan daripada bahan letupan C4.

Pada 2 Julai lalu penyiasat persendirian P. Balasubramaniam membuat akuan bersumpah yang mengaitkan Mohd Najib dengan Altantuya.

Walau bagaimanapun Mohd Najib menafikan dakwaan Bala dengan sekeras-kerasnya sambil menyifatkan ia sebagai “pembohongan yang amat dahsyat”.

Anwar juga menyoal pertemuan Mohamad Saiful Bukhari dengan isteri Timbalan Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan pegawai Khas Mohd Najib, Khairil Anas Jusoh.

“Mengapa beliau (Saiful) berjumpa dengan Rosmah dan Khairil Anas. Apakah latar belakang dan orientasi Khairil?

“Apa keperluan dia berjumpa dengan Najib?”, tanya Anwar lagi.

Azizah: 'Saya percaya Anwar, satu lagi konspirasi politik'

Petikan: mStar Online
18-07-2008 10:31:39 PM

Oleh G. MANIMARAN

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada satu majlis di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur malam tadi. - foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Sambil menyifatkan nasib dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai konspirasi politik, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menjangkakan momentum gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya selepas ini.

"Saya kata ada dan tidak... memang pada satu sudut kita kena tumpukan perhatian kita kepada kes apabila dibawa ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun kata isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ramai orang melihat isu yang dihadapi Anwar sekarang bukan kes biasa sebaliknya sebagai "kes politik."

"Ini kes politik, tak akan bukan kerana politik, tindakan-tindakan ini dilakukan. Dan, ada yang mengatakan ini adalah zalim, zalim terhadap sesiapa, bukan kerana saudara Anwar, tetapi sesiapa saja," kata Ketua Pembangkang di Parlimen ini dalam temu bual dengan mStar Online di rumah mereka di Bukit Segambut hari ini.

Malah, Dr. Wan Azizah berkata, pihak pemerintah bertindak 'tegas' ke atas Anwar selepas forum debat yang disertai Anwar pada malam Selasa lalu.

Anwar ditahan hari keesokan ketika beliau dalam perjalanan ke rumahnya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah, sejam sebelum hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kata Dr. Wan Azizah, tahap sokongan ke atas Anwar meningkat ekoran program itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.

Ia merupakan kemunculan pertama Anwar selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998.

Ketika ditanya lagi sejauh mana beliau melihat ia sebagai konspirasi politik, Dr. Wan Azizah menjelaskan: "Saya bermaksud begini... sebab, cara bagaimana Anwar diperlakukan, kenapa?"

Katanya, jika Anwar berhadapan dengan tuduhan yang dimaksudkan, beliau tidak harus dikepung oleh anggota pasukan khas sehingga 20 orang dengan sesetengah mereka bertopeng, di tengah-tengah jalan ketika pulang ke rumah.

"Serbu, ditahan di tengah jalan, macam drama, macam drama Tamil pula itu," katanya dengan diringi senyuman kecil beliau.

"Tahun 98 pun macam itu, mereka datang ke rumah ketika sedang diadakan sidang akhbar. Sungguh dramatik, tiada syak ini adalah motif politik," katanya.

Di peringkat awal temu bual Dr. Wan Azizah juga menyifatkan tangkapan Anwar sebagai "ulang tayang" dengan merujuk kepada suasana tahun 1998 di rumah mereka di Bukit Damansara.

"Dan kenapa pihak polis dan juga pihak kerajaan ingin sangat peroleh sampel untuk DNA kerana kita tahu bahawa sampel DNA sudah dipegang oleh polis sejak 1998, dan kita juga telah lihat bahawa banyak bukti telah direka cipta dalam kes-kes terdahulu apabila Anwar telah dibebas, dilepaskan daripada tuduhan-tuduhan terdahulu.

"Ini kita melihat ulang tayang yang saya rasa bahawa peristiwa kali ini macam ulang tayang," katanya lagi.

Apabila ditanya sejauh mana pihaknya boleh melihat ia sebagai konspirasi politik sedangkan beliau dan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sendiri telah menemui dua kali sepanjang tiga minggu lalu, Dr. Wan Azizah memberitahu, kedua-dua mereka menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta jaminan keselamatan Anwar.

"Saya apabila bertemu, bila dikatakan hendak ditangkap, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara didakwa terlibat dan sekurang-kurangnya kedua-dua mereka tidak boleh mencampuri kes Anwar kerana ada konlfik kepentingan.

"Perdana Menteri jamin Anwar tidak akan dipukul dan dikasari, jaminan itu saya peroleh sendiri, yang lain itu... saya mahu lebih lah tetapi...," kata beliau sambil menambah:

"Kini makin terserlah, ini adalah politik. Oleh kerana politik, mereka bertindak dan beginilah dilakukan apabila Anwar dilihat sebagai satu cabaran, cabaran yang kuat kepada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila ada debat yang kuat, tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada debat macam pemilihan presiden Amerika Syarikat.

"Kita melihat bahawa saudara Anwar memang meyakinkan bagaimana kalau dia, kita boleh memegang tampuk kerajaan.

"Itu telah melonjakkan rating Anwar, Keadilan dan Pakatan... melihat ini saya kira pihak berkuasa mengambil tindakan (menahannya)," katanya.

BERITA TERDAHULU:

DNA: Keluarga Anwar was-was syor polis benarkan Anwar pilih sendiri pakar

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap was-was untuk memberikan sampel darah meskipun pihak polis memberikan pilihan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu agar memilih sendiri pakar forensik mengendalikan pemeriksaan dan ujian DNA terhadapnya.

Dalam temu bual dengan mStar Online sebentar tadi, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan pengalaman sedekad yang lalu keluarga pihaknya masih tidak percaya dengan pihak berkuasa polis.

"(Kami) masih was-was, sebab kita dah kena (pengalaman dulu)... kalau tuan-tuan, kalau saudara atau sesiapa terkena baru terasa," kata beliau dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya di Bukti Segambut dekat sini, sehari selepas Anwar dibebaskan atas jaminan polis semalam.

Peguam Anwar minta Syed Hamid henti beri komen 'mencampuri' siasatan polis

Petikan: mStar Online
18-07-2008 06:56:22 PM

oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa meminta pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutama menteri menghentikan komen-komen yang disifatkan mencampuri siasatan polis dan menimbulkan salah faham berhubung kes liwat Anwar.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilaporkan media tempatan hari ini terutama muka hadapan akhbar the New Straits Times (NST) yang tertulis "What is he afraid of? He can have his own doctor present when giving sample." (Apa yang ditakutkannya? Beliau (Anwar) boleh memberi sampel (DNA) dengan kehadiran doktornya".

Sivarasa berkata, kenyataan Syed Hamid itu seperti mencampuri siasatan yang sedang dijalankan selain menimbulkan salah faham yang seolah-olah menggambarkan Anwar enggan memberi kerjasama kepada polis.

"Datuk Seri Anwar mempunyai sebab untuk percaya kemungkinan bukti DNA itu akan dipalsukan sekali lagi oleh pihak polis seperti yang berlaku dalam kes 1998. Ini kerana pengadu (Mohd Saiful Bukhari Azlan) berada dalam penjagaan polis sejak 28 Jun lalu dan polis juga mempunyai DNA Datuk Seri Anwar bagi kes terdahulu.

"Justeru, kenyataan Datuk Seri Syed Hamid yang percaya ia boleh diselesaikan dengan memberi sampel DNA kepada doktor peribadi dan pakar forensik antarabangsa tetap tidak menyelesaikan kebimbangan anak guam kami kerana sampel itu tetap akan diberikan kepada polis," katanya ketika sidang media di rumah Anwar di Segambut, hari ini.

Beliau berkata, dalam perbicaraan kes liwat membabitkan mantan Timbalan Perdana Meneteri itu pada tahun 1998 dan 1999, bukti DNA Anwar telah dipalsukan apabila seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan telah membuang sampel DNA daripada penjagaan forensik secara tidak sah.

"Ketika sesi soal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, maka terdedahlah yang DNA yang diambil dari sampel darah sengaja diletakkan di atas tilam yang dikenali umum itu," kata Sivarasa.

"Apabila fakta ini dihadapkan, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk Hakim Augustine Paul, agar menghapuskan semua bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya," katanya.

Sivarasa berkata, Anwar hanya akan mempertimbangkan untuk menjalani ujian DNA jika beliau benar-benar yakin semua pemeriksaan kesihatan dan sampel yang diambil dilakukan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan polis.

Katanya, kebimbangan Anwar itu disebabkan pemalsuan bukti yang berlaku dalam kes terdahulu membabitkan 'pemain yang sama' pada masa ini iaitu Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan (yang pada ketika itu ketua pendakwaraya dan ketua siasatan) kini memegang jawatan yang lebih berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Selain itu, siasatan yang dijalankan pada tahap ini tidak memerlukan bukti DNA kerana satu kes masih belum wujud," katanya.

Beliau berkata, Anwar telah memberikan keterangan selama lima setengah jam polis Rabu lalu walaupun beliau ada hak untuk tidak berbuat demikian atas nasihat semua peguamnya.

"Beliau tetap memberi keterangan untuk membuktikan beliau mahu bekerjasama walaupun peguam-peguamnya menasihatkan beliau tidak berbuat demikian kerana kami masih belum mendapat salinan laporan polis," katanya.

Ketika ditanya sama ada Anwar akan memberi sampel DNAnya jika mendapat perintah mahkamah, Sivarasa berkata, hal itu (perintah mahkamah) tiada dalam peruntukan undang-undang.

Beliau seterusnya menyelar satu laporan akhbar NST hari ini yang menyatakan memetik satu sumber yang tidak bernama dari Hospital Kuala Lumpur yang mengatakan Anwar tidak dibogelkan ketika pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadapnya padanya Rabu lalu di hospital tersebut.

"Laporan (beliau tidak dibogelkan) itu salah sama sekali," katanya.

Anwar semalam mendakwa, beliau telah dibogelkan semasa pemeriksaan ke atasnya dibuat oleh kakitangan HKL.

Katanya, seluruh badan termasuk alat sulitnya diperiksa bagi mendapatkan bukti untuk siasatan kes liwat yang dikaitkan dengan dirinya.

Ku Li mahu ubahsuai DEB jika dipilih sebagai Presiden Umno

18-07-2008 09:36:53 PM

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini berkata beliau akan mengubahsuai Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap sekiranya dipilih sebagai Presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Nombor Satu Umno pada pemilihan Disember nanti berkata dasar itu akan diperkemaskan lagi kerana ia adalah untuk kebaikan semua kaum dan bukan dikhususkan untuk kepentingan orang Melayu sahaja.

"DEB yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu bukan sahaja untuk kepentingan orang Melayu, malah untuk kebaikan semua kaum di negara ini.

"Nampaknya selepas pelaksanaannya, dasar berkenaan belum menunjukkan perubahan ketara kepada kemajuan ekonomi orang Melayu dan apa yang perlu kita buat ialah mengemaskan lagi pelaksanaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri di Dewan Bukit Chekati, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh mengecam pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai kepentingan diri apabila menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebaliknya, beliau menjelaskan hasratnya berbuat demikian adalah bagi memulihkan Umno kerana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

"Saya bukan tamak kuasa atau gila nak jadi Perdana Menteri, tetapi apa yang saya nak perjuangkan ialah membela bangsa Melayu dan membendung kadar kemiskinan yang masih tinggi.

"Orang yang menuduh saya tamak dan gila kuasa itu sebenarnya yang ingin mengadaikan maruah bangsa Melayu," katanya semasa berucap merasmikan persidangan tahunan Cawangan-Cawangan dalam DUN Paloh di Dewan Orang Ramai Ciku Satu, dekat sini.
Ditanya mengenai sikap Umno Kelantan yang menyambut dingin hasratnya itu, Tengku Razaleigh berkata beliau tidak merasa goyah atau hilang keyakinan apabila ada pihak di negeri itu yang menyuarakan sokongan kepada Presiden dan timbalan presiden parti yang ada sekarang.

"Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding dan keputusannya sama ada saya menang atau kalah ditentukan oleh anggota parti dalam perhimpunan Agung Umno nanti," katanya. BERNAMA

Ong Tee Keat Umum Keputusan Bertanding Ke Jawatan Presiden MCA

19 Julai, 2008 00:20 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat hari ini mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti MCA yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober ini.

Beliau berkata oleh kerana Datuk Seri Ong Ka Ting sudah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai presiden parti MCA pada pemilihan ini, beliau menawarkan dirinya ke jawatan itu, semasa parti sedang mengharungi suatu keadaan yang belum pernah dilaluinya sebelum ini.

Menteri Pengangkutan itu yang ditemui pada majlis perlantikan jawatan Persekutuan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan di Seri Kembangan di sini malam ini berkata keputusan itu dibuat atas kehendak beliau sendiri, tanpa dipengaruhi sesiapa.

Ong Ka Ting dan timbalannya Tan Sri Chan Kong Choy bulan lepas mengumumkan bahawa mereka tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti 18 Oktober ini.

Tee Keat ketika ini merupakan salah seorang daripada tiga Naib Presiden MCA. Dua lagi Naib Presiden ialah bekan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn dan bekas Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim Siang Chai.

-- BERNAMA

Dr Sheikh Muszaphar Terima Gelaran Datuk

19 Julai, 2008 00:37 AM

KUALA PILAH, 19 Julai (Bernama) -- Angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dianugerahkan gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-86 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sabtu.

Doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu menerima Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS).

Beliau adalah antara 90 penerima peringkat pertama yang menerima darjah kebesaran daripada Tuanku Ja'afar dalam satu istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 36, yang berasal dari Seremban, berlepas ke angkasa pada 10 Okt tahun dengan menaiki roket Rusia, Soyuz TMA-11 untuk ke stesen Angkasa Antarabangsa. Beliau selamat kembali ke bumi pada 21 Okt.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor, 53, mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat tersebut.

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah juga dianugerahkan DSNS.

Enam belas yang lain yang turut menerima anugerah sama ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Ismail Taib, ADUN Juasseh, Mohammad Razi Kail, ADUN Sungai Lui Zainal Abidin Ahmad, ADUN Puteri Wangsa (Johor) Abdul Halim Suleiman, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Harta Sabah Sdn Bhd Abdul Rahman Abdul Ghani, Ketua Pegawai Semboyan Angkatan Tentera Malaysia Brig Jen Noordin Mohd Yusoff.

Yang lain ialah Naib Presiden Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia Datin Maimunah Abdul Wahab, Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi Dr Mohd Padzil Hashim, pakar perunding pergigian Dr Philip Ting Chong Sing, Pengarah Urusan Kumpulan Brunsfield Corp Sdn Bhd Gan Thian Leong.

Ketua Pelaburan Strategik dan Perhubungan Korporat Genting Bhd Justin Leong Ming Loong, Bendahari MIC Negeri Sembilan S. Krishnan, ahli perniagaan Mohammad Caezar Musa, Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah Mohammed Najeeb Abdullah, Pengarah Urusan Pembrokeran Saham Affin Investment Bank Saiful Bahri Zainuddin dan Pengerusi Atlan Holdings Bhd Datuk Seri Adam Sani Abdullah.

Dua yang menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Tuanku Jaafar (DPTJ) (Kehormat) yang membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Presiden Appco Group (M) Sdn Bhd, James Iskandar Jaafar Greaves dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby China Region Lu Desheng Louis.

Seramai 20 orang pula menerima DPTJ yang membawa gelaran Datuk terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan Ishak Sahari, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Zaffarudin Sharif, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Md Basar Abdul Rahman, Pengarah Pembangunan Negeri Mat Ali Hassan.

Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar dan Strategi Kementerian Luar Negeri Dr Fauziah Mohd Taib, Pegawai Perubatan Pakar Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar Dr Wan Shariah Md Yusuf, Pengerusi Eksekutif Strong Roots Holding Gan Kim Chong, Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia Rokiah Omar, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian MCA Negeri Sembilan Ho Yok Kee.

Turut menerima anugerah sama ialah Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Legend Group of Companies K.K. Durai, ahli perniagaan Kamarulnizam Mohd Sharip, peguam Thomas Koh Boon Thye, bekas pemain badminton kebangsaan Ng Boon Bee, anggota Persatuan Sathya Sai Baba M.P.N. Parameswaran.

Timbalan Ketua Polis Negeri SAC II Abd Manan Mohd Hassan, anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Muhamad @ Mahmad Salleh Yasin, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Zainal Abidin Mokhtar, Pengarah Urusan Usaha Damai Gas Sdn Bhd Radin Firdaus Radin Lockman, Pengarah Urusan SP & G Insurance Brokers Zakaria Meranun dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC II Ramli Hassan.

Seramai 20 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS).

Mereka termasuk Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohd Saleh Jabbar, Pegawai Daerah Jempol Allahyarham Arifin Abd Latif, Pegawai Daerah Kuala Pilah Asis Ujang, Pegawai Daerah Port Dickson Johani Hassan dan Pegawai Daerah Seremban Mohd Bahrudin Mahfuz.

Seramai 19 orang menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Mizan Maulud, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri Supt Junaidi Bujang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt V.R. Ravi Chandran dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Unit Dewan dan Protokol) Zaidi Johari.

Seramai 11 orang dilantik Jaksa Pendamai (JP).

-- BERNAMA

Friday, July 18, 2008

Debat Anwar - Dari blog Dr Mahathir

Petikan blog Che Det

1. Saya harus mengucapkan tahniah kepada Kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Badawi kerana membenarkan debat antara Pembangkang dan Kerajaan, khususnya antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Shabery Cheek.


2. Ia bukanlah satu pertandingan yang adil. Shabery sangat kurang pengalaman didalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan didalam keadaan tertekan.

3. Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar.

4. Sebagaimana yang saya katakan, Anwar boleh meyakinkan terutama kepada mereka yang mahu mempercayainya. Media Barat telah membuat kesimpulan bahawa tuduhan terhadap Anwar kali ini adalah sama dengan agenda politik yang lama yang dibuat untuk menghalangnya menjadi Perdana Menteri.

5. Pada masa lalu saya adalah sasaran utama. Dato' Seri Abdullah telah menafikan pembabitannya kali ini tetapi media Barat dan teman-teman Anwar dari Amerika tidak dapat diyakinkan dan akan terus mengaitkan Abdullah.

6. Tetapi, adakah Kerajaan sekarang sebegitu bodoh dan tidak mempunyai daya imaginasi untuk menggunakan "taktik" yang sama terutamanya memandang kepada sikapnya yang kritikal terhadap Kerajaan dahulu? Pastinya ia mampu untuk menggunakan cerita lain yang lebih meyakinkan jika ia memang merancang ataupun berkonspirasi terhadap Anwar. Ada kebarangkalian bahawa ceritanya sama kerana ianya benar.

7. Mungkinkah pihak yang membuat lapuran kali ini seorang yang cuba meniru? Agak mustahil. Tidak ramai yang sanggup kehadapan dan mengumumkan sesuatu yang amat mengaibkan seperti kena liwat. Sebenarnya, dalam peristiwa yang lalu, sekurang-kurangnya dua orang menemui saya dan membuat pengakuan mereka telah diliwat oleh Anwar. Tetapi mereka tidak sanggup membuat lapuran ataupun menjadi saksi dimahkamah. Bagaimanapun, seorang dari mereka telah pergi menemui Imam Masjid Negara (sekarang ini ahli parliamen PAS) untuk mendapatkan nasihat dari sudut agama.

8. Ada beberapa tabiat yang sukar untuk dibuang. Perokok tegar akan menyatakan sedemikian. Begitu juga penagih dadah.

9. Sudah pasti ini tergantung kepada mahkamah untuk menentukan dan inipun jika kes ini akhirnya sampa kemahkamah. Mahkamah mungkin mendapati Anwar bersalah. Dia kemudiannya boleh merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi malahan kemahkamah-mahkamah khas yang diadakan untuknya.

10. Jika dia berjaya membuat Saiful kelihatan sebagai pasangan yang rela seperti didalam kes Azizan, maka kenyataan Saiful tidak boleh dianggap sebagai bukti yang tidak dapat dipertikaikan. Anwar akan dibebaskan.

11. Anwar telah menolak untuk bersumpah diatas Quran untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Tetapi Saiful sanggup untuk melakukannya didalam masjid dan disaksikan oleh alim ulamak.

12. Tetapi ada seorang Mufti yang menentang cadangan ini. Jika seseorang itu tidak bersalah mengapa dia tidak boleh bersumpah untuk membersihkan namanya.

13. Menimbulkan isu "qazaf" hanyalah bertujuan untuk megalihkan tumpuan. Ianya satu ugutan terhadap sipenuduh iaitu jika dia tidak dapat mengemukakan saksi-saksi dianya akan dituduh melakukan fitnah dan akan dihukum sebat.

14. Didalam Quran terdapat banyak penekanan terhadap keadilan. Berulangkali (sekurang-kurangnya 43 ayat) didalam Quran menyeru "bila kamu menghukum, hukumlah dengan adil."

15. Syariah itu bukanlah sekadar proses membuat penghakiman dan menjatuhkan hukuman. Undang-undang syariah bertujuan untuk memastikan keadilan dilaksanakan. Akan menjadi satu ketidakadilan jika orang yang menjadi mangsa dihukum (kerana gagal mengemukakan empat orang saksi) manakala orang yang melakukan penganiayaan lepas bebas. Ini adalah satu ketidakadilan yang ketara. Pastinya tidak mungkin undang-undang Islam mengabaikan keadilan dan cuma tumpu kepada perbicaraan dan hukuman.

16. Diriwayatkan didalam Quran mengenai Zulaikha yang cintanya kepada Nabi Yusof dan dianya dipercayai mengejar Yusof kerana baju Yusof koyak dibahagian belakang.

17. Amat jelas Quran menerima bukti-bukti bersandarkan kepada keadaan (circumstantial evidence) walaupun tidak disokong oleh saksi-saksi. Ini kerana Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keadilan. Proses yang diambil didalam membuat sesuatu penghakiman adalah untuk memastikan keadilan tercapai. Proses itu tidak boleh disalahgunakan dan diperalatkan untuk menyekat keadilan.

18. Kerana itu Anwar tidak harus mengelakkan diri dari diadili dengan menimbulkan soal qazaf. Dia mungkin boleh mencuba melakukannya dengan undang-undang buatan manusia tetapi dia tidak harus menggunakan hukum Allah untuk mencapai ketidakadilan. Ianya melanggar lunas Islam dan ini adalah berdosa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...