Monday, June 22, 2009

Kes Anwar ditunda 1 Julai - MalaysiaKini

Jun 22, 09 10:29am

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Julai ini bagi mendapatkan lebih 10 dokumen daripada pendakwaan berhubung kes liwatnya.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 8 Julai untuk mendengar permohonan penasihat PKR itu bagi membuang kes tersebut.

Jika permohonannya ditolak, perbicaraan kes liwat akan bermula pada hari yang sama.

Kesnya pada asalnya dijadual bermula 1 hingga 24 Julai ini.

Anwar memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen pada 10 Jun lalu, manakala permohonan untuk mengetepikan kes liwatnya difail seminggu kemudian.

Dokumen yang dimohon, antaranya, rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di sebuah kondominium di Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, dan kenyataan daripada saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mantan timbalan perdana menteri itu menghadapi pertuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jala Setiakasih, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun lepas.

Sunday, June 21, 2009

Umno Terengganu Dirombak, Tiga Muka Baru Dilantik

KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) -- Tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno Terengganu menyaksikan perubahan apabila Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari badan itu digugurkan daripada jawatan masing-masing hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan rombakan itu berkata Ketua Umno Hulu Terengganu yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai Setiausaha menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Anggota Parlimen Kemaman dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Zuber Embong manakala timbalan ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Rahin Mohd Said dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.

Ahmad Shabery sebelum ini pernah menjawat jawatan yang sama sebelum Zuber dilantik memegang jawatan itu.

Terdahulu, Hishammuddin mempengerusikan mesyuarat pertama parti itu setelah beliau dilantik Ketua Badan Perhubungan Umno Terengganu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir April lepas.

Hishammuddin berkata rombakan itu adalah antara usaha untuk memulihkan kembali Umno negeri yang sebelum ini berpuak-puak dan beliau berharap dengan perubahan itu nanti semua pihak kembali bersatu demi kebaikan parti.

"Ini cara saya akan pimpin Umno Terengganu dengan bantuan Menteri Besar Datuk Ahmad Said," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat hampir satu setengah jam itu.

Ditanya sama ada rombakan itu dilakukan berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua Datuk dalam Umno negeri, beliau berkata: "Bagi saya yang paling penting ialah untuk pikul tanggungjawab. Mereka yang lepaskan jawatan tak semestinya tugas dan tangungjawab mereka lebih mudah kerana mereka ada tanggungjawab yang harus dipikul".

Hishammuddin turut menafikan pelantikan itu menampakkan beliau seolah-olah cenderung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya beliau menyifatkannya sebagai pelantikan yang adil dan mendapat 'restu' daripada semua pemimpin Umno bahagian.

"Apabila kita memihak dan kita dilihat sebagai pemimpin mirip pada puak-puak tertentu sahaja, akhirnya apa yang diharapkan tidak akan jadi satu kenyataan dan saya akan gagal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

"Akhirnya saya akan hampakan ramai di luar sana khususnya rakyat Terengganu yang mahukan kita lihat ke depan, mahukan Umno perkukuh dan pertahan parti kita di Terengganu. Saya mahukan semua pihak ketepikan sikap berpuak-puak dan saya percaya hanya dapat lakukan dengan tindakan bersama," katanya.

Hishammuddin berkata antara perkara yang turut dibincangkan dalam mesyuarat yang dihadiri semua pemimpin sayap parti dan semua Ketua Umno bahagian kecuali Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara, adalah mengenai hala tuju program untuk perkukuhkan parti.

Semua Ketua Umno Bahagian dan pemimpin sayap parti akan diberi tanggungjawab untuk merapatkan kembali perpaduan dalam parti dan mendekatkan pengundi muda, katanya.

Beliau berkata satu Perhimpunan Perpaduan Umno Melayu Terengganu akan diadakan bagi merapat dan mengukuhkan kembali ikatan dalam Umno negeri.

-- BERNAMA

Manek Urai: 3 nama diteliti sebagai calon BN

BACHOK: Sekurang-kurangnya tiga nama tersenarai untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan diadakan 14 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, nama-nama berkenaan kini sedang diteliti pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan pada bila-bila masa. "Senarai nama yang diserahkan Umno Kelantan itu kini di peringkat akhir penelitian, saya rasa keputusan mengenainya akan diumumkan pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Perlumbaan EkoBudaya Kelantan 2009 di Pantai Irama di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan, Sulaiman Ismail.

PAS yang memutuskan akan meletak calon bagi mempertahan kerusi DUN berkenaan yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, akan mengumumkan calon mereka pada Jumaat depan.

Penasihat jentera operasi pilihan raya Manek Urai PAS, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata pengumuman itu akan dibuat bersama pemimpin pakatan pembangkang berdekatan dengan rumah penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Ismail Yaakob, di Manek Urai.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian Ismail, 60, pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 6 Julai ini.BERNAMA

Huan keluar Gerakan jika hukuman gantung 3 tahun tidak dibatal

Naib Presiden akan putuskan dalam dua minggu ini

PETALING JAYA: Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung keahlian selama tiga tahun kelmarin akan keluar parti itu jika hukuman tersebut tidak ditarik balik.

"Kemungkinan keluar... jika keputusan (menggantung saya) tidak dikaji semula," kata beliau ketika dihubungi sambil menambah, beliau akan memutuskan mengenainya dalam tempoh dua minggu.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan memberi tempoh 14 hari kepada Huan untuk membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.

Huan, yang pernah menyatakan hasrat untuk keluar Gerakan tetapi mengubah pendiriannya untuk kekal dalam parti itu minggu lalu, telah digantung keahlian selama tiga tahun malam kelmarin.

Ketika mengulas lanjut keputusan CWC yang dimaklumkan semalam, Huan berkata, aspek yang dipertimbangkan sebagai alasan untuk menggantung keahlian beliau adalah terlalu remeh.

"Mereka kata mengambil tindakan kerana saya telah meminta penyokong-penyokong saya menggantung kain rentang mengkritik parti... sekarang budak tiga tahun pun tahu macam mana hendak menggantung kain rentang.

"Jadi, saya tidak perlu mengajar penyokong-penyokong saya menggantung kain rentang.

"Kemudian, mereka kata saya meminta 5,000 ahli Gerakan keluar parti. Mereka semua (ahli yang terbabit) ada fikiran, mereka tidak tahu berfikir sama ada nak keluar atau tidak?" katanya.

Tambah Huan, beliau juga kecewa kerana tidak diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum CWC mengambil keputusan.

"Umno pun ada Lembaga Disiplin yang dengar aduan dan berikan tertuduh peluang untuk mempertahankan diri masing-masing.

"Ini dalam Gerakan merekalah polis, merekalah pendakwa dan mereka juga hakim," katanya.

H1N1: SJKC Jalan Davidson ditutup seminggu

KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini akan ditutup selama seminggu selepas pelajar tahun lima sekolah itu yang disahkan positif influenza A (H1N1) didapati menyebarkan virus itu kepada dua rakan sekelasnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Majlis Keselamatan Negara bersetuju menutup sekolah itu sehingga 26 Jun ini dan kira-kira 2,100 pelajar serta kakitangan sekolah dikuarantin di rumah.

Ketika mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat bersama pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sini hari ini, Liow berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara bersetuju supaya sekolah tersebut ditutup selama seminggu.

Beliau berkata, dua lagi sekolah yang mencatatkan kes tersebut iaitu di Petaling Jaya dan Shah Alam hanya akan ditutup sekiranya pihaknya mendapati berlakunya penularan tempatan bagi wabak itu.

Terdahulu ketika merasmikan kempen kesedaran influenza A (H1N1) di Batu 11, Cheras, di sini yang dianjurkan oleh MCA Bahagian Serdang, Liow berkata beliau telah mencadangkan penutupan sekolah itu selepas mendapati berlakunya penularan tempatan.

"Kami berpendapat sekolah itu patut ditutup. Selagi berlaku kes penularan tempatan walaupun satu kes, kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga dan menutup sekolah," katanya.

Sebanyak lapan lagi kes dilaporkan hari ini menjadikan kes keseluruhan yang dicatatkan setakat ini meningkat kepada 50 kes.

Ia melibatkan lima pelajar sekolah, tiga pelajar tahun lima SJK (C) Jalan Davidson, seorang pelajar tahun lima dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2 Petaling Jaya dan seorang pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Shah Alam.

Katanya, kementerian akan melihat pelbagai kemungkinan dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan virus itu tidak merebak ke sekolah-sekolah lain.

"Kita tidak mahu timbul sebarang masalah di sekolah itu, jadi kita perlu pastikan keselamatan pelajar diutamakan," katanya.

Beliau berkata, garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan mencadangkan supaya sekolah itu ditutup jika berlaku penularan tempatan.

Saturday, June 20, 2009

Perompak Gagal Larikan Mesin ATM Guna Trak Angkat Susun

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki bertindak nekad merempuh cermin hadapan sebuah stesen minyak di Serdang Jaya dekat sini menggunakan trak angkat susun dengan harapan dapat melarikan mesin ATM di dalam stesen minyak itu.

Namun hasrat perompak tersebut tidak kesampaian apabila penggera keselamatan yang dipasang di dalam premis berkenaan berbunyi sejurus pintu cermin tersebut dipecahkan.

Suspek yang tidak berputus asa itu tetap mencuba berkali-kali untuk melarikan ATM berkenaan namun usahanya itu gagal apabila 'lengan' trak angkat susun itu pula melekat di pintu cermin stesen minyak tersebut.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, perompak tersebut yang panik kemudiannya terus melarikan diri dengan meninggalkan trak angkat susun itu begitu sahaja.

"Perompak itu terus melarikan diri setelah menyedari usahanya tidak membuahkan hasil ditambah penggera sudah berbunyi.

"Ketika kejadian, stesen minyak tersebut tidak beroperasi. Polis percaya trak angkat susun itu dicuri namun kita akan siasat siapa pemilik alat itu yang ditinggalkan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Hari Keluarga Polis Diraja Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Khalid berkata polis turut akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu bagi mengenalpasti suspek serta bilangan mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Siasatan awal mempercayai terdapat sebuah lori yang menunggu bagi membantu mengangkut mesin serta melarikan mesin ATM itu.

Beliau berkata insiden cubaan melarikan ATM menggunakan trak angkat susun itu adalah kali pertama dilaporkan berlaku di Selangor.

--BERNAMA

Manek Urai: Umno berpecah dua

Muda Mohd Noor | Jun 20, 09

Peluang Umno menang di Manek Urai bukan hanya ditentukan oleh calon yang sesuai tetapi juga sama ada dua kumpulan Umno dalam bahagian tersebut, boleh bersatu.

Umno bahagian kini terbahagi kepada dua kumpulan - yang menyokong ketua bahagian sekarang, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan yang menyokong bekas ketua bahagian Datuk Wan Zaid Abdullah.

Menurut sumber, kedua-dua mereka mempunyai pengaruh yang sama banyak dan jika satu kumpulan tidak menyokong, Umno sukar menang di Manek Urai.

Jika tidak ditangani segera, kata sumber itu, jentera kempen BN Manek Urai boleh berpecah kepada dua kumpulan.

Sebanyak 28 daripada 42 cawangan Umno di Kurai Krai merupakan cawangan yang menyokong Wan Zaid sejak sekian lama.

"Hubungan mereka berdua renggang sebaik sahaja Datuk Ramzi menjadi ketua bahagian, menggantikan Datuk Wan Zaid pada 2005," kata sumber kepada Malaysiakini.

Isu jawatan ketua bahagian


Sumber itu mendakwa Ramzi telah menyingkirkan semua orang Zaid - sama ada di peringkat bahagian mahupun di cawangan-cawangan.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat Umno bahagian pertengahan tahun lalu, 28 cawangan mahu mencalonkan Wan Zaid bertanding jawatan ketua bahagian Kuala Krai.

Bagaimanapun, kumpulan itu gagal kerana mesyuarat mereka dikatakan tidak sah dan sekaligus gagal mencalonkan Wan Zaid untuk mencabar Ramzi.

Berikutan itu, Ramzi mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian tanpa bertanding.

"Tetapi pengaruh Datuk Wan Zaid di sini masih banyak lagi kerana disokong oleh 28 cawangan.

"Sebab itu masih ada orang Umno yang berharap beliau dicalonkan untuk bertanding di DUN Manek Urai," katanya.

'Peruntukan tak cukup'


Menurutnya lagi, jika isu antara Ramzi dan Wan Zaid tidak ditangani, maka jentera pilihanraya BN Manek Urai tidak bersatu padu.

Tambahnya, sehingga hari ini ramai petugas Umno di Manek Urai belum membina bilik gerakan di peti undi dan cawangan masing-masing.

"Ramai merungut kerana peruntukan RM2,000 untuk satu peti undi terlalu kecil. Peruntukan sebanyak itu sesuai untuk memasang poster dan kain pemidang tetapi sukar untuk membina bilik gerakan kecil.

"Sebab itu, ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebenarnya mereka mahu peruntukan yang lebih besar sebelum menjalankan kerja-kerja kempen pilihnaraya," kata sumber itu.

DUN Manek Urai mempunyai sembilan peti undi.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penanamaan calon dan 14 Julai hari mengundi.

Naib presiden Gerakan digantung keahlian

Jun 20, 09

Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan digantung keahliannya selama tiga tahun. Ia diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) Gerakan malam tadi.

huan cheng guanSepanjang tempoh tersebut jawatan Huan sebagai naib presiden digantung dan beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti parti

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow berkata, keputusan tersebut disebut selepas CWC mempertimbangkang semua fakta dan faktor terbabit.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana tindak tanduk Huan yang prejudis terhadap kepentingan parti itu dengan secara terbuka mengecam parti dan kepimpinannya, mengisytiharkan untuk meletak jawatan dan mengancam untuk membawa penyokongnya meninggalkan Gerakan.

Teng berkata, semua kenyataan Huan itu yang dibuat melalui media kerana beliau dan beberapa pemimpin akar umbi parti itu membantah pelantikan seorang penyelaras dalam sebuah kawasan pilihanraya di Pulau Pinang.

Katanya, Chuan yang juga anggota CWC yang membuat keputusan muktamad mengenai pelantikan penyelaras tersebut, telah membantah atas alasan orang yang dicalonkan itu dibawa masuk dari luar.

Dituduh hasut penyokong

Namun, kata Teng, jawatankuasa pusat tidak menganggapnya sebagai satu alasan yang sah.

"Hanya selepas CWC membuat keputusan, telah timbul dakwaan-dakwaan yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebagai seorang naib presiden yang dipilih, sepatutnya saluran dalaman parti digunakan untuk menyuarakan sebarang pandangan dan sentimen, tetapi Huan dan penyokongnya memilih untuk berbuat demikian melalui media.

"Lebih teruk lagi, terdapat bukti yang menunjukkan beliau telah menghasut penyokongnya untuk menggantung kain pemidang, malah dilaporkan telah bertindak menghubungi pihak pembangkang," katanya.

Teng berkata, tindak tanduk negatif yang keterluan seperti itu tidak boleh diterima.

Tambahan lagi, katanya, ini bukan pertama kali Huan membuat kenyataan seumpama itu dalam media, walaupun tidak seserius kali ini.

Pemohonan maaf

Menurut Teng, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sendiri telah memberi amaran kepada Huan.

Tetapi kali ini, tegas beliau, Huan telah melakukan tindak tanduk yang lebih teruk lagi.

Sehubungan itu, katanya, beberapa pemimpin parti berpandangan bahawa tindak tanduk seperti itu sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal.

"Bagaimanapun, dengan mengambil permohonan maaf beliau secara bertulis dan terbuka kepada presiden, maka CWC memutuskan untuk menggantung keahliannya.

"Di bawah perlembagaan parti, jika tidak puas hati dengan keputusan tersebut, Huan berhak mengemukakan rayuan kepada jawatan pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh dimaklumkan mengenai hukuman tersebut," kata Teng.

H1N1: 7 lagi kes dikesan, satu lagi jangkitan tempatan

Jun 20, 09

Tujuh lagi kes influenza A (H1N1), termasuk satu kes jangkitan tempatan, dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan keas tersebut setakat ini meningkatkan kepada 42 kes.

Kesemua kes tersebut membabitkan warganegara Malaysia. Lima kes baru itu membabitkan mereka yang pulang dari Melbourne, seorang pulang dari London dan seorang lagi adalah kontak terdekat kes ke-28 yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Kes ke-28 ini merupakan kes jangkitan tempatan kedua, demikian menurut kenyataan kementerian kesihatan hari ini.

Kes ke-36 pula membabitkan seorang pelajar perempuan rakyat Malaysia berusia 11 tahun, yang telah bercuti ke Melbourne pada 10 hingga 16 Jun lalu.

Dia bercuti bersama nenek (kes-31) dan ahli keluarga yang lain seramai 11 orang. Empat daripada mereka telah dikesan positif influenza A (H1N1) sebelum ini.

Mereka balik ke Malaysia pada 16 Jun dengan pesawat Air Asia X D7 2723 yang tiba di LCCT pada jam 7 pagi tanpa sebarang simpton.

Pada 17 Jun, dia telah pergi ke SRJK (Cina), Jalan Davidson, Pudu, Kuala Lumpur. Dia mula batuk pada 17 Jun dan demam keesokan harinya dan disahkan positif influenza A (H1N1) semalam.

Berikutan itu, kementerian kesihatan sedang mengesan 47 pelajar dalam satu kelas yang sama dengannya dan meletakkan mereka di bawah kurantin rumah selama tujuh hari.

Kes ke-37 adalah seorang warga Malaysia lelaki berusia 22 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Kes ke-38 adalah seorang pelajar berusia 14 tahun yang pulang dari Melbourne dengan penerbangan Air Asia D7 2723 pada jam 7.30 pagi 14 Jun.

Manakala kes ke-39 adalah seorang wanita berusia 27 tahun, rakyat Malaysia yang bertugas sebagai pramugari dengan Syarikat Penerbangan Singapura.

Kes ke-40 pula membabitkan seorang wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai ejen farmasi, yang pulang dari Melbourne dengan pesawat Air Asia D7 2723 pada jam 7.30f pagi 17 Jun.

Manakala kes ke-41 membabitkan pelajar wanita berusia 19 tahun yang pulang bersama 11 anggota keluarganya dengan pesawat Air Asia X D7 2723 yang tiba di LCCT pada jam 7.30 pagi 16 Jun.

Kes ke-42 pula merupakan pelajar lelaki berusia 17 tahun yang pulang dari Melbourne dengan pesawat yang sama.

30 Penghuni Pusat Serenti Dipercayai Bolos Dalam Rusuhan

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Seramai 30 penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini dipercayai dapat memboloskan diri dari pusat itu semasa rusuhan yang mengakibatkan kebakaran beberapa blok bangunan semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, selepas pemeriksaan hanya 492 daripada 522 penghuni pusat itu yang berada dalam kawasan berkenaan awal pagi Sabtu dan polis sedang mengenalpasti identiti mereka.

Katanya, polis melancarkan gerakan memburu mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya serta pemeriksaan di kawasan berhampiran serta merta.

Semasa bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, dua daripada 30 yang melarikan diri berjaya ditahan semula di kawasan Padang Serai, iaitu sempadan antara Pulau Pinang-Kedah.

Katanya, kesemua 492 penghuni itu akan dipindahkan ke beberapa buah pusat serenti yang lain dalam masa terdekat.

Ayub berkata, rusuhan itu berjaya ditamatkan dan seramai 589 anggota polis dan pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi berkenaan sejak lewat petang semalam.

Selain anggota polis, katanya, 57 anggota Bomba dan Penyelamat terlibat dalam pemadaman kebakaran di pusat itu.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dijalankan 11 daripada 12 bangunan yang ada di pusat itu didapati rosak termasuk tiga yang musnah dalam kebakaran, antaranya blok klinik dan pusat latihan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada sesiapa yang cedera dalam rusuhan itu ataupun ditahan sebagai tebusan," katanya.

Beliau berkata, rusuhan itu dipercayai berpunca daripada sembilan penghuni pusat yang ditahan di dalam sel kerana didapati masih positif dadah walaupun menjalani proses pemulihan.

Ketika ditanya jumlah petugas pusat itu yang berada di kawasan berkenaan ketika kejadian, tanpa menyatakan dengan jelas Ayub berkata, jumlah mereka adalah mencukupi.



-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...