Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Friday, July 3, 2009
Amaran Guan Eng pada pemaju Kpg Buah Pala
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi amaran akan memberhentikan projek pembangunan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor jika pemajunya terus mengancam untuk merobohkan rumah dan enggan membayar pampasan kepada penduduk di situ.
"Jangan cuba untuk uji kesabaran kerajaan negeri. Saya tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek pembangunan itu," katanya.
Lim juga berkata, kerajaan negeri bersedia menanggung risiko membayar gantirugi kepada pemaju jika terpaksa membatalkan projek itu, lapor Bernama.
Ditanya mengapa beliau enggan menemui penduduk kampung itu, Lim berkata:
"Saya sudah serahkan tugas ini kepada Mansor (Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman) dan Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II, Prof.Dr P. Ramasamy).
"Jadi saya tidak mahu orang mempersoalkan kebolehan mereka," katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP dijangka
akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu.
Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata mesyuarat itu akan diadakan selepas mendapat maklum balas daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, esok.
"Saya percaya surat (daripada DAP Kedah) telah dihantar ke ibu pejabat (DAP). Saya belum baca surat itu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi sempena pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia, di Pulau Pinang hari ni.
Rabu lalu, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Star.
Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.
Wednesday, July 1, 2009
DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat
Sebelum itu, pada jam 3.30 petang petugas Majlis Bandaraya Alor Star menjalankan operasi merobohkan pusat penyembelihan tersebut.
Berikutan itu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan penyokongnya cuba menghalang operasi tersebut tetapi tidak berjaya.
DAP negeri kemudiannya mengadakan satu mesyuarat tergempar untuk membincangkan insiden tersebut.
Dan pada kira-kira jam 5 petang tadi, Thomas mengumumkan keputusdan DAP Kedah/Perlis untuk keluar dari Pakatan Rakyat.
Sementara itu, difahamkan ibupejabat DAP di ibungara akan mengadakan mesyaurat tergempar esok untuk membincangkan perkara tersebut.
Siswa UM bertindak jika dipecat - MalaysiaKini

Jul 1, 09
Kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah semalam.
Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.
"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya hari ini.
"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."
Kes tujuh pelajar itu - yang dikenali "ISA 7" kerana membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri - berlarutan hingga 18 Jun lalu apabila lima daripada mereka bersalah dan didenda RM3,900 tiap seorang.
Seorang daripada mereka - yang menyertai perhimpuan di Masjid Negara pada 8 Jun 2001 - dilepaskan, sementara seorang lagi tidak menghadiri perbicaraan.
Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.
"Penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, dan hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama," katanya lagi.
Semalam, dua pelajar UM dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dan cubaan membakar dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, 24 Jun lalu.
Mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyertai kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam.
Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dibebaskan hari ini selepas dijamin RM5,500 tiap seorang.
Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini semalam, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, .
Selain Shazni Munir, polis juga sedang menjejaki Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam - bagi membantu siasatan.
Menurut tulisannya itu, Shazni Munir juga menyatakan kerisauan berhubung perjalanan perbicaraan terhadap dua rakannya itu.
"Masakan tidak, siapakah yang dapat memberikan jaminan kepada penulis yang mereka berdua akan dibicarakan dengan seadil-adilnya?" katanya.
"Bukanlah ingin menimbulkan kesangsian secara membuta-tuli, akan tetapi perbicaraan-perbicaraan sebelum ini yang melibatkan orang penting negara, pastinya berakhir dengan keputusan yang mengecewakan sekelian banyak pencinta kebenaran".
Dalam tulisannya semalam, Shazni pula berkata, PMIUM memutuskan untuk memberikan bantuan guaman kepada kedua-duanya.
Monday, June 29, 2009
Majlis Raja-Raja tangguh pindaan peraturan tukar agama
Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini.
Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Bernama.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ke mesyuarat itu.
Menurut kenyataan itu, semua Raja hadir kecuali Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah; Sultan Kelantan diwakili Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra; Sultan Perak diwakili Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.
Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.
Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.
Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.
Taklimat dibatalkan
Berikutan keputusan Majlis Raja-Raja tersebut, satu majlis taklimat untuk ahli parlimen beragama Islam mengenai pindaan tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir.
Taklimat tersebut dijadual diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada jam 6 petang hari ini.
Mereka dijemput oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menjaga halehwal agama Islam.
Tiada sebarang alasan rasmi diberikan berhubung pembatalan tersebut, tetapi menteri yang menjaga halehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia kerana ahli parlimen terbabit sibuk dengan jadual masing-masing.
Katanya, taklimat tersebut akan diadakan kemudian tetapi tidak mengulas lebih lanjut.
Pada 16 Jun lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan tersebut sedang diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.
Tuan Aziz: Saya dipilih sebulat suara... - MalaysiaKini
Calon BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat berkata, beliau dipilih secara sebulat suara untuk bertanding di kerusi tersebut.
"Saya tanya pihak tertentu dalam bahagian, saya dapat sokongan penuh oleh AJK bahagian," katanya ketika diminta mengulas dakwaan ada pemimpin bahagian yang akan melakukan sabotaj terhadapnya.
Tuan Aziz yang juga ketua Pemuda Umno bahagian berkata, cerita 'kerat mengerat' di kalangan AJK Umno bahagian tidak berlaku di Manek Urai.
Katanya, hanya pihak tertentu yang menyebarkan spekulasi dan ia merupakan perkara biasa menjelang pilihanraya.
"Tidak sepatutnya berlaku kerat mengerat kerana saya dipilih oleh parti dan mereka juga orang parti yang sama," tambahnya.
Tuan Aziz berkata, jika seseorang calon yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, rakyat akan menolak dan ini tidak bermakna berlaku kerat mengerat.
Peluang seimbang
Seorang AJK bahagian yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini, ada ahli Umno bahagian bimbang ada kumpulan AJK yang tidak puas hati, akan mensabotaj Tuan Aziz.
Katanya, ini kerana ia pernah berlaku dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008.
"Kita juga meminta Tuan Aziz yang baru berumur 39 tahun itu tidak meminggirkan orang tua dalam kempennya nanti.
Mengenai peluang Tuan Aziz, beliau berkata, calon BN dan PAS itu mempunyai peluang yang seimbang.
Katanya, ini kerana pengaruh calon PAS, Fauzi Abdullah, tidak sama dengan bekas Adun Manek Urai, Ismail Yaacob yang meninggal Mei lalu.
Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 14 Julai hari
Sunday, June 28, 2009
Tuan Aziz calon BN di Manek Urai - MalaysiaKini
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Aziz mendapat restu dan sokongan padu pimpinan parti, termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik ahli akar umbi.
Tuan Aziz, 39, juga merupakan pengurus bahagian pemantauan projek Kesedar.
Muhyiddin membuat pengumuman tersebut , dibuat oleh Muhyiddin dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di Kuala Krai.
"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manek Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak.
"Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.
'Rekod kerja baik'
Pilihanraya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.
Hari penamaan calon pilihanraya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihanraya dapat menebus kekalahan BN di kerusi tersebut pada
pilihanraya Umum 8 Mac tahun lalu.
"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi.
"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
'Membela nasib rakyat'
Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat.
"Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.
Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.
"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.
"Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.
Jumaat lalu, PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga bendahari PAS kawasan Kuala Krai.
Saturday, June 27, 2009
H1N1: 10 panduan kuarantin di rumah
1. Anda perlu berada di rumah sepanjang tempoh kuarantin yang ditetapkan (seboleh-bolehnya duduk dalam bilik berasingan dari ahli keluarga yang lain).
2. Anda tidak dibenarkan keluar dari rumah sama ada untuk bertugas, pergi ke sekolah, tuisyen, rumah ibadat, majlis makan, kenduri, membeli-belah dan lain-lain aktiviti atau mana-mana tempat awam.
3. Amalkan kebersihan diri:
4. Jika anda demam, batuk dan mengalami gejala-gejala selesema dan perlu berhubung dengan orang lain, gunakan penutup mulut dan hidung (mask).
5. Kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara mara dan elakkan dari hadir di tempat awam.
6. Pantau suhu badan (demam) dan tanda-tanda jangkitan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.
7. Dapatkan bantuan saudara mara atau rakan bagi memperolehi keperluan harian jika tinggal bersendirian.
8. Catatkan nama, nombor telefon dan alamat saudara mara, rakan atau mereka yang mengunjungi rumah anda.
9. Segera hubungi Pegawai Kesihatan Daerah berdekatan sekiranya mengalami demam atau gejala-gejala lain penyakit.
10. Ikuti perkembangan semasa mengenai penyakit ini dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia, radio, TV dan akhbar.
Panduan ini diterbitkan sepenuhnya seperti disediakan oleh Kementerian Kesihatan di laman webnya 26 Jun 2009
Pemilihan MIC: Palanivel bidas Subramaniam - mStar
PUTRAJAYA: Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel hari ini membidas bekas timbalan presiden parti itu Datuk S. Subramaniam yang melabel beliau hanya berupa bayang-bayang dengan berkata Subramaniam perlu membuktikan pula kejayaan yang dilakukannya semasa memegang jawatan itu.
Palanivel, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempertahankan dirinya dengan berkata, ahli politik yang memainkan peranan sebagai bayang-bayang akhirnya akan muncul untuk membayangi yang lain.
"Beliau (Subramaniam) menggelar saya sebagai bayang apabila saya memegang jawatan timbalan presiden, baru hanya tiga tahun. Apa pula yang beliau lakukan apabila memegang jawatan timbalan presiden sejak 1981, lebih daripada dua dekad.
"Beliau tidak pun mempunyai keberanian seperti Datuk M. Muthupalaniappan yang mahu mencabar jawatan presiden," kata Palanivel dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Subramaniam dilaporkan sebagai berkata, seseorang timbalan parti itu perlu memainkan peranan yang positif kepada parti, masyarakat dan negara dan timbalan tidak boleh berlindung di bawah tempat berteduh (presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu).
Subramaniam dikatakan membuat kenyataan itu semasa merasmikan mesyuarat agung ke-24 Persatuan Kooperatif Pelbagaiguna Nesa di Kuala Lumpur.
Subramaniam ditewaskan oleh Palanivel untuk merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan tahun 2006, selepas Samy Vellu secara terbuka menyokong Palanivel.
Kini timbul lagi spekulasi bahawa Samy Vellu akan terus menyokong Palanivel pada pemilihan parti September tahun ini, walaupun beliau berkata beliau tidak akan menyokong mana-mana calon.
Anggota perwakilan bahagian MIC memang diketahui akan sentiasa mengundi mana-mana calon yang disokong presiden parti.
Selain daripada Subramaniam, seorang lagi calon yang dikatakan berminat untuk merebut jawatan timbalan presiden ialah Datuk S. Sothinathan yang kini menyandang jawatan naib presiden.
"Dengan menyifatkan saya sebagai hanya bayang, adakah beliau (Subramaniam) menganggap diri beliau sebagai bukan bayang. Jika tidak, mengapa beliau tidak bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan presiden Mac ini," kata Palanivel.
Mereka yang cuba menikam dari belakang akan ditolak oleh perwakilan, tambahnya.
"Inilah apa yang berlaku semasa pemilihan jawatan timbalan presiden pada 2006 di mana bayang-bayang seperti saya mampu menewaskan beliau apabila penyokong presiden menolak beliau (Subramaniam).
Palanivel berkata, Subramaniam perlu buktikan apa yang beliau telah lakukan semasa memegang jawatan timbalan presiden parti selama lebih 20 tahun, daripada melahirkan kekecewaan dan melabel orang lain.
"Saya mempunyai perjalanan yang baik selama dua dekad dalam MIC dan telah menggunakannya untuk memahami dan berhubung rapat dengan akar umbi menerusi pelbagai program yang melibatkan mereka yang kurang bernasib baik di kalangan masyarakat India.
"Kedudukan saya hingga menjadi salah orang pemimpin tertinggi MIC bukan diberi tetapi sesuatu yang saya capai hasil kerja kuat saya. Kejayaan saya hari ini merupakan hasil sokongan akar umbi di samping sokongan presiden parti," kata Palanivel.BERNAMA
Mahu RM300? Jangan undi di Manek Urai - MalaysiaKini
Tawaran RM300 kepada penduduk Manek Urai sahaja. Tidak usah pulang membuang undi pada pilihanraya kecil 14 Julai ini jika mahu ganjaran tersebut, lapor akhbar web PAS hari ini.
Memetik kenyataan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, Harakahdaily melaporkan wang itu sebagai habuan untuk menggalakkan pemilih memulaukan proses pembuangan undi.
"Antaranya menawarkan wang tunai sebanyak RM300 dengan syarat tidak pulang mengundi."
Menurut akhbar web itu lagi, Umno kini berhempas pulas merancang pelbagai strategi bagi memastikan kerusi DUN tersebut, kawasan kubu kuat PAS, terlepas ke tangannya.
PAS malam tadi mengumumkan seorang usahawan perniagaan ikan, yang juga bendahari parti itu kawasan Kuala Krai, Fauzi Abdullah sebagai calon dalam pilihanraya kecil yang bermula 6 Julai ini.
Pilihanraya itu dipanggil susulan kematian penyandangnya Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.
Wakil rakyat PAS ini menguasai kerusi tersebut selama lima penggal kecuali antara 2004 hingga 2008 apabila beliau tidak bertanding di situ.
BN akan mengumumkan calonnya, seawal-awalnya esok.
Fauzi calon PAS di Manek Urai
Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah dipilih sebagai calon parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai ini.
Pencalonan Fauzi itu diumumkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu cermah di Kampung Manek Urai Lama pada kira-kira jam 11 malam ini.
Selain jawatan bendahari, beliau juga bertanggung sebagai pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Guchil - juga terletak dalam parlimen Kuala Krai.
Turut hadir di ceramah tersebut ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa; pakar strategi PKR, Saifuddin Nasution dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Sementara itu, BN pula dijangka mengumumkan calonnya Ahad ini.
Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil tersebut.
Tuan Aziz antara tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian. Dua lagi ialah naib ketua Umno bahagian, Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.