SAMBIL kita terus berbincang mengenai sindrom koro yang sangat merisaukan dalam posting 17 Jun, elok kalau saya sebut sikit mengenai cadangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Pada pandangan saya, sama ada cadangan Parti Maju Sabah (Sabah Progressive Party - SAPP) itu berjaya diusulkan atau tidak di Parlimen Isnin ini tidaklah terlalu penting.
Yang penting adalah wujudnya tahap ketidakpercayaan yang begitu tinggi terhadap Pentadbiran Abdullah sehingga satu tindakan yang begitu keras dan kasar tergamak difikirkan oleh sebuah parti komponen Barisan Nasional sendiri.
SAPP yang memutuskan untuk mengemukakan usul itu pasti tahu bahawa tindakan itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan apatah lagi untuk mencapai kejayaan.
Seluruh jentera parti, kerajaan dan propaganda rasmi akan digembleng bagi menggagalkan percubaan itu dan menongkat Pentadbiran Abdullah yang condong.
Kita sudah pun membaca, mendengar dan melihat daripada media massa arus perdana bagaimana pelbagai pihak yang bergantung nasib kepada Abdullah telah berikrar menyokong beliau dan menggagalkan percubaan SAPP itu.
Pengikut setia Abdullah seperti Naib Presiden Umno, Mohd Ali Rustam, misalnya menyifatkan tindakan paling tepat terhadap SAPP adalah memecatnya daripada BN.
Saranan seperti inilah yang ditunggu-tunggu oleh SAPP. Ia mahu dipecat daripada BN supaya bebas daripada kongkongan Kuala Lumpur atau sebagai langkah awal menyertai Pakatan Rakyat secara rasmi.
Usaha juga pasti dilakukan untuk menggagalkan usul itu daripada dibentangkan. Ini sudah menjadi amalan Parlimen Malaysia. Apatah lagi cadangan ini menyentuh kedudukan Perdana Menteri.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia berkata sama ada usul seperti itu diterima untuk dibahaskan "terpulang kepada Speaker... iaitu sayalah."
Harapan SAPP yang mempunyai hanya dua orang anggota dalam Dewan Rakyat berjaya mengemukakan usul itu adalah tipis apatah lagi untuk memperoleh sokongan yang cukup daripada ahli dewan.
Walaupun dua wakilnya itu mengundi tidak percaya terhadap Abdullah dengan disokong oleh kesemua 82 ahli pembangkang, Abdullah masih boleh mempertahankan kedudukannya dengan mudah kerana dia mempunyai 140 ahli dalam dewan.
Saya tidak menjangka ada ahli BN, biar sedalam mana pun ketidakyakinan mereka terhadap Abdullah, akan menyokong usul pembangkang.
Melainkan mereka menderita serangan koro yang sangat hebat, mereka akan diwajibkan oleh "tukang rotan" (whip) BN supaya hadir dan mengundi menolak usul itu.
Ingat lagi cerita Shahrir Abdul Samad yang dibelasah teruk kerana menyokong usul pembangkang dalam Parlimen yang lalu?
Sekarang Shahrir sudah jadi menteri jadi dan tentunyalah dia tidak akan menggoyangkan perahunya. Malah dia adalah antara yang terawal meramalkan kegagalan cadangan SAPP itu.
Namun cadangan undi tidak percaya itu sahaja sudah cukup untuk melemahkan lagi kedudukan Perdana Menteri. Tidak perlu diusulkan, dibahas dan diundi di Parlimen.
Setidak-tidaknya pun, cadangan SAPP itu memberi akal (idea) kepada pihak-pihak lain yang tidak puas hati dengan Abdullah untuk mencari jalan menjatuhkan beliau, sama ada sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno atau Pengerusi BN.
Ia juga pasti memberi akal kepada parti-parti komponen BN yang lain untuk membuat pelbagai tuntutan dan asakan terhadap Abdullah sebagai alasan untuk mempertikaikan kewibawaan beliau dan mendapatkan sesuatu untuk kaum dan kelompok yang mereka wakili.
Semua ini sedang diperhatikan dengan teliti oleh pelabur dalam dan luar negara yang bercadang terus melabur atau menambah modal mereka di negara ini.
Manifestasi negatifnya sudah sekian lama kelihatan di Bursa Malaysia di mana harga dan jumlah dagangan jatuh lebih teruk daripada bursa-bursa antarabangsa yang lain yang tertekan akibat harga minyak dan prospek ekonomi dunia yang membimbangkan.
Bagi Umno pula, cabaran terhadap Presidennya oleh sebuah parti komponen BN akan merumitkan lagi proses pemulihan dan pemilihan pucuk pimpinan Disember ini.
Apa pun yang terjadi Isnin ini, ia bukanlah yang pertama dan terakhir kerana momentumnya sudah bermula. Umno perlu mengakui dan menerima realiti bahawa kedudukannya sebagai parti dominan sedang dicabar dan dihakis.
Dipanjangkan oleh
Alex Ong
Migrant CARE
Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat
(Member of Migrant Forum in Asia and International NGO
Platform on Migrant Workers' Convention)
Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati,
Jakarta Timur 13220 Indonesia
Telp/Fax: +62 21 4752803
E-mail: alexmigrantcare@gmail.com
migrantcare@nusa.or.id
Website: www.buruhmigranberdaulat.blogspot.com
20.06.2008
No comments:
Post a Comment