Sunday, June 22, 2008

Impian Anwar vs sumpah Ezam




Kerajaan PAS Kelantan pada penggal lalu bertahan dengan perbezaan SATU kerusi saja dengan Barisan Nasional.

Namun Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa pembangkang sudah hampir untuk menjejak kaki ke Putrajaya sekalipun memerlukan 28 kerusi lagi di Parlimen dari 30 sebelum ini.

Dua Ahi Parlimen SAPP sudah jelas tidur sebantal dengan pembangkang berikutan keputusan Majlis Tertinggi parti itu mengesahkan pendirian presidennya Datuk Yong Teck Lee yang tidak percaya lagi pada pimpinan Perdana Menteri Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi.

Di depan ribuan orangramai yang berhimpun di Stadium Shah Alam Jumaat malam merayakan majlis sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan,Anwar mengulangi dakwaannya Pakatan Rakyat dapat menubuhkan kerajaan pusat yang baru tidak lama lagi.

"Saya mahu mengajak semua ahli-ahli politik dari Barisan Nasional…mari kita selamatkan Malaysia, ekonomi Malaysia dan mari kita tumbangkan kerajaan UMNO Barisan Nasional," kata Anwar.

Bagi sesetengah pemerhati politik tindakan SAPP ini telah memberi anjakan kepada perang saraf Anwar mengenai tarikh 16 September.

Tandatanya sekarang apa lagi lepas ini.




Namun di satu medan lain bekas orang kanan Anwar,Ezam Mohd Nor yang baru-baru ini memohon untuk masuk UMNO sudah mula bergerak untuk memintas segala impian Penasihat PKR itu.

Pendirian tegasnya disuarakan dalam ceramah bertajuk 'Mempertahankan Perjuangan Pengasas Bangsa' Dewan Tunku Abdul Rahman,Kuala Terengganu Khamis malam.


Ezam mungkin seorang individu tetapi bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan dan bekas Setiausaha Politik Anwar di Kementerian Kewangan dulu ‘ tahu banyak’.

Ini yang membuatkan ramai hadirin di majlis ceramah itu terpaku bila beliau bersumpah atas nama Allah SWT dan Rasul akan menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri kerana 'prinsip seorang Muslim".

Tegasnya beliau sedia untuk 'all-out' bagi menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri 'atas sebab-sebab tertentu'.

"Saya bukan jenis orang yang suka mengaibkan orang lain, tapi jangan cabar saya," kata Ezam

Ezam menjelaskan politik cara Anwar akan menghancurkan kestabilan negara dari segi keselamatan dan ekonomi.

Dalam ceramah sulung di pentas UMNO itu, Ezam yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar berkata, tindakan beliau meninggalkan bekas boss nya itu semata-mata atas dasar prinsip.

Menurut beliau, biarpun ada dakwaan kononnya beliau disogok jutaan ringgit serta jawatan tertentu oleh UMNO, namun hakikat sebenarnya adalah beliau hilang kepercayaan pada perjuangan PKR.

"Dengan nama ALLAH saya tinggalkan Anwar atas prinsip sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip Islam yang tidak membenarkan saya membantu beliau menjadi pemimpin dalam apa cara sekalipun," kata Ezam.

Jelas Ezam, sejak mengumumkan menyertai UMNO, beliau menjadi mangsa fitnah pihak tertentu.

Katanya, beliau tidak gentar sama sekali dengan fitnah-fitnah tersebut bahkan beliau memberi amaran bahawa kesabarannya ada batas.

"Saya tidak suka aibkan orang, tapi kalau terus memfitnah saya akan gempur habis-habisan," katanya.- 20/6/2008


petikan agendadaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...