Friday, June 13, 2008

‘Saya masih tinggal sebumbung’

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya masih berkahwin, berkeluarga dan tinggal sebumbung,” tegas pelakon dan pengacara jelita, Datin Norish Karman berhubung desas-desus rumah tangganya yang dikatakan dalam keretakan.


Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu, sebaliknya mengatakan tunggu masa yang sesuai.

“Apapun, selama ini saya tidak pernah bercerita secara eksklusif mengenai hal peribadi. Saya sedar sebagai artis perkara sebegitu tidak boleh dielakkan.

“Semua yang berlaku dan apa saya lalui ingin diketahui umum tidak kira baik atau buruk,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengenai teater Bukan Dejavu di Istana Budaya di sini, semalam.

Justeru, dia tidak pernah marah terhadap apa yang dilaporkan media massa.

“Pada saya, mereka (media massa) sahabat. Ini perkara biasa bagi anak seni, terutama saya selepas kemunculan semula,” katanya.

Baru-baru ini, khabar angin tersebar luas mendakwa Norish, 34, sudah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, yang dikahwininya pada 1998.

Artis itu turut dikatakan membuat tuntutan mutaah berjumlah kira-kira RM500,000.

Hasil perkahwinannya dengan ahli perniagaan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haqiem Armany, 9, Hardy Amieran, 5, dan Putri Hanyz Amanda, 4.

Anak Hashimuddin daripada perkahwinan terdahulu, Halysha Nur, 14, turut tinggal bersama pasangan terbabit.

Norish berkata, dia akan mengadakan sidang media untuk meleraikan semua hal terbabit tetapi belum tiba masanya.

Dia seterusnya menjelaskan isu yang melanda dirinya bukan keluar daripada mulutnya sendiri, justeru tidak perlu memberi komen berlebihan.

Menjawab penerimaan anaknya berhubung isu yang kian ‘hangat’ diperkatakan itu, katanya, mereka tetap baik dengannya.

Malah, menurutnya, apa yang berlaku tidak menjejaskan anaknya kerana mereka sentiasa diingatkan mengenai dirinya seorang selebriti.

“Bagi saya, apa yang berlaku dalam keluarga itu hanya antara dua individu iaitu ibu bapa. Jadi, tiada sebab mengapa anak perlu terjejas. Dalam soal ini, saya takkan membiarkan perasaan mereka (anak) terguris dan untuk itu penjelasan sentiasa diberi.

“Jika memang tiada jodoh, itu disebabkan dua orang saja. Tiada sebab untuk mengaitkannya dengan anak dan keluarga,” katanya yang mengaku tidak sesekali berasa terhina atau jatuh martabat berhubung perihal peribadi digembar-gemburkan.

Harian Metro

PM jangan cabar rakyat - Haron Din

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga minyak di pasaran pada ketika ini memperlihatkan seolah-olah mereka ingin mencabar kesabaran rakyat untuk berbuat sesuatu.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din berkata sekarang ini kerajaan tidak prihatin dan tidak mempedulikan suara hati rakyat.

“Yang paling penting, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga rakyat menunjukkan bantahan barulah mereka hendak faham bahawa ianya tidak patut dibuat,” tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya mencari jalan yang lain untuk menghadapi situasi ini dengan mengelakkan kenaikan harga minyak yang turut mengundang kesan berantai yakni kenaikan harga-harga barangan keperluan lain.

“Kerajaan seperti membuat provokasi supaya rakyat bertindak dan bangkit, maka tidak hairanlah ada pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran.

“Walau bagaimanapun, saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada kerajaan agar mereka lebih bersimpati kepada penderitaan rakyat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Haron Din yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu menyeru kerajaan agar menginsafi penderitaan yang terpaksa ditanggung rakyat.

“Jangan sesekali mengambil jalan mudah semata-mata untuk mengurangkan subsidi dengan menghukum rakyat dengan begitu berat kerana pada masa yang sama kerajaan turut mengaut keuntungan besar.

“Kita juga tertanya-tanya, ke manakah perginya keuntungan tersebut?” ujarnya.

Jelasnya, tugas utama kerajaan adalah menjaga kestabilan negara dan keselesaan rakyat yang membawa maksud kerajaan seboleh-bolehnya memberi suatu kehidupan yang selesa kepada rakyat tanpa membebankan mereka dengan masalah.

“Sekarang yang berlaku, kerajaan membebankan rakyat dengan bebanan yang ternyata amat berat di mana rakyat yang telah memilih kerajaan yang memerintah telah mendapat pulangan dalam bentuk terpaksa berbelanja yang di luar kemampuan mereka.

“Ertinya, keselesaan rakyat sudah menjadi bebanan, dan rakyat semakin hari semakin berat,” ujarnya lagi.

Tegasnya, jika ini terus berlaku kesalahan ini tidak hanya boleh diletakkan kepada kerajaan sebaliknya rakyat yang telah mengundi mereka dalam pilihan raya lalu turut dipertanggungjawabkan.

“Pakatan Rakyat telah menyebutkan dalam pilihan raya umum lalu, bahawa sekiranya diberi peluang memerintah, harga minyak akan diturunkan dan sebaliknya bagi BN yang mahu menaikkan lagi harga minyak,” katanya.

Oleh itu ujarnya, silapnya rakyat yang telah membuat pilihan untuk meneruskan perkhidmatan mereka yang akan menyusahkan kehidupan rakyat dan masa depan negara.

“Walau bagaimanapun, kerajaan BN tidak patut membalas rakyat yang tidak memberikan kemenangan yang besar dengan sedemikian gaya,” ujarnya.

Hal ini disebabkan katanya, di negara-negara pengeluar minyak seperti Abu Dhabi, Arab Saudi dan Brunei harga minyak boleh didapati dengan murah dan rendah.

“Negara-negara pengeluar minyak ini biasanya membalas budi baik rakyat dengan mengekang harga minyak pada paras yang munasabah tetapi ianya berbeza di Malaysia, apabila kerajaan kita lebih mementingkan keuntungan dirinya dan negara, sehingga sanggup memaksa rakyat menanggung bebanan kos bahan bakar yang tinggi.

“Bebanan itu sebagai harga mereka memberi kepercayaan kepada Umno-BN,” demikian ujarnya.

http://www.harakahdaily.net

Tempatkan BPR di pejabat MB - Khalid

SHAH ALAM, 12 Jun (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) menempatkan salah seorang pegawainya di pejabat Menteri Besar Selangor bagi membuat kajian bagaimanakah prosedur pentadbiran dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di SUK, semalam.

“Mungkin ada yang terperanjat pegawai BPR berada di pejabat MB. Sebenarnya ini bukan perkara baru menempatkan pegawai BPR di pejabat-pejabat. Sewaktu saya di PNB, saya juga telah bekerjasama dengan BPR.

“Pada waktu itu juga saya mencadangkan kepada BPR supaya menempatkan pegawainya dalam tempoh satu atau dua bulan untuk mengkaji cara-cara pentadbiran supaya BPR tahu apa yang berlaku,”katanya.

Sementara itu katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada BPR berikutan kepantasan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan di pejabat MB.

Katanya, siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur-unsur rasuah di kalangan pegawai kanan yang terlibat.

Sehubungan itu katanya, pegawai yang berkenaan akan diminta supaya menghadiri seminar atau kursus yang berkaitan dengan integriti serta kebertanggungjawaban supaya beliau akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas pada masa hadapan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu yang disabitkan kesalahannya.

Jelasnya, pegawai berkenaan telah membuat laporan kepada BPR bagi mengkaji laporan tersebut serta menyelidik fakta-fakta berkaitan.

Jelas Khalid, pegawai BPR juga mengadakan perbincangan dengannya mengenai siasatan yang telah dilakukan serta mencadangkan kepadanya beberapa perkara yang perlu diperhatikan bagi mengurangkan kebolehan melakukan rasuah atau salah guna kuasa.

http://www.harakahdaily.net

Scolari pengurus baru Chelsea

LONDON - Gergasi bola sepak Liga Perdana England, Chelsea semalam mengesahkan Luiz Felipe Scolari sebagai pengurus baru mereka musim depan.

Meskipun berdepan masalah bahasa, namun kedatangan jurulatih kelahiran Brazil itu ke Stamford Bridge tetap dialu-alukan banyak pihak.

Scolari ketika ini sedang membimbing skuad Portugal dalam kempen Euro 2008 dan semalam, pasukan itu menjadi negara pertama melayakkan diri ke suku akhir.

Scolari salah seorang daripada jurulatih terbaik di dunia dengan memiliki rekod hebat sebagai jurulatih kelab dan skuad kebangsaan.

"Beliau adalah pilihan yang tepat tetapi sebagai menghormati tugasnya bersama skuad Portugal di Euro 2008 ketika ini, kami tidak mahu mengulas lebih lanjut,'' kata Chelsea dalam satu kenyataan, semalam.

Selasa lalu, Scolari ada memberi bayangan mengenai perpindahannya ke Chelsea dengan memberitahu media bahawa beliau tidak punya masalah untuk berpindah dari Lisbon ke London.

Kontraknya bersama pasukan kebangsaan Portugal berakhir pada 29 Jun ini, iaitu sejurus tamat Kejohanan Eropah.

Scolari pernah membawa Brazil merangkul Piala Dunia 2002, selain membimbing Portugal muncul naib juara Euro 2004.

Satu-satunya masalah yang bakal dihadapi jurulatih berusia 59 tahun apabila tiba di Stamford Bridge nanti pastinya masalah bahasa kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.

Begitupun, tidak ramai yang melihat perkara itu sebagai satu masalah besar, penjaga gol Chelsea, Petr Cech antara orang pertama mengalu-alukan kedatangan Scolari.

"Beliau seorang pengurus yang mempunyai karisma, punya pengalaman hebat dan memiliki rekod hebat. Saya cukup teruja untuk bekerja dengannya.

"Saya harap semua pencapaiannya yang lepas dapat dimanfaatkan bersama Chelsea,'' kata Cech yang sedang beraksi di Euro 2008 bersama Republik Czech.

Perlawanan kompetitif pertama Scolari sebagai pengurus Chelsea adalah aksi Liga Perdana England musim 2008-09 yang dijadual bermula pada 16-17 Ogos.

Bekas pemain antarabangsa Scotland, Alan Hansen percaya, Scolari atau nama gelarannya 'Big Phil' adalah pilihan terbaik untuk membimbing Chelsea, yang dipenuhi pemain-pemain berbakat.

"Bila anda memasuki bilik persalinan, anda memerlukan seorang yang berkarisma, Luiz memiliki semua itu, malah beliau juga memiliki rekod yang hebat.

"Saya percaya beliau adalah pilihan yang tepat, seperti yang telah dilakukan ketika membimbing Portugal,'' kata Hansen.

Scolari tidak mempunyai pengalaman membimbing kelab dalam kancah liga Eropah tetapi dia pernah menjadi jurulatih kelab di Amerika Selatan dan menjulang dua kejuaraan Copa Libertadores bersama Gremio Porto Alegre pada 1995 dan Palmeiras 1999.

Pelantikan Scolari memperlihatkan keseriusan Chelsea untuk memburu kejuaraan Eropah buat kali pertama, biarpun media meramalkan kelab itu mungkin terpaksa membelanjakan 100 juta pound untuk mendapatkan pemain baru.

Satu lagi persoalan yang timbul, bagaimana Scolari hendak berkomunikasi dengan pemainnya sedangkan beliau tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Jurulatih seperti Fabio Capello (pengurus England) juga tidak pandai berbahasa Inggeris, tetapi dia ada masa untuk belajar kerana jadual perlawanan pasukan kebangsaan tidak terlalu sibuk.

"Tetapi di Chelsea, perlawanan berlangsung setiap minggu. Saya tidak tahu bagaimana Scolari hendak berkomunikasi dengan pemainnya, tetapi ia harus dianggap sebagai satu cabaran,'' kata bekas pemain Chelsea, Gavin Peacock. - AFP

utusan online

Nasib Itali di hujung tanduk

ZURICH - Juara Dunia, Itali melakukan baik pulih ke atas permainan dan formasi pasukan pada pertemuan getir menentang Romania hari ini setelah tewas 0-3 kepada Belanda, Isnin lalu.

Satu lagi kekalahan Itali di Zurich akan menyebabkan pasukan bimbingan Roberto Donadoni pulang awal daripada kejohanan.

Kekalahan untuk kali kedua bermakna keseluruhan jentera pasukan dalam Kumpulan C itu akan dinilai semula.

Alessandro Del Piero yang tidak pernah bermain dengan Itali sejak September tahun lalu dijangka beraksi pada perlawanan kedua Itali itu, setelah dia mempamerkan aksi menarik setelah dimasukkan sebagai pemain gantian.

Sementara itu, kedudukan seorang lagi penyerang Itali, Antonio Cassano menjadi perdebatan, setelah dia juga dimasukkan dalam pertemuan dengan Belanda, di Berne.

Keputusan yang mungkin dilakukan oleh Itali ialah dengan menukar formasi pasukan daripada 4-3-3 kepada 4-3-2-1.

Namun begitu, penyerang utama Itali, Luca Toni difahamkan seperti mahu dia digandingkan di bahagian depan untuk melakukan serangan.

"Bermain bersama Antonio dan Alessandro membolehkan kami lebih banyak melakukan serangan. Ia adalah perkara normal. Mereka boleh menghasilkan banyak peluang.

"Dengan penampilan Antonio dan Alessandro, kami telah banyak berubah. Tetapi, bos mempunyai keputusannya sendiri.

"Masalah menjaringkan gol masih lagi berlaku. Meskipun Cassano dan Del Piero berada di atas padang, kami masih tidak berjaya melakukan jaringan," katanya pada sidang akhbar.

Pemain pertahanan kiri, Fabio Grosso yang beraksi sebagai pemain gantian ketika bertemu Belanda dijangka beraksi pada pertemuan dengan Romania.

Selain itu, Giorgio Chiellini dan midfield, Daniele De Rossi dijangka menguatkan skuad Itali pada perlawanan tersebut.

Romania yang mencatat keputusan seri 0-0 dengan Perancis, Isnin lalu, berpendapat bahawa Itali akan melakukan asakan dari awal perlawanan bermula.

"Kami berharap mereka (Itali) akan meninggalkan sedikit ruang kepada kami untuk mengeksploitasikan peluang yang ada. Kami menjangka pendekatan berbeza berbanding pertemuan dengan Perancis," kata kapten Romania, Cristian Chivu.

Perancangan perlawanan Romania untuk bertemu Itali diramal akan sama seperti pertemuan dengan Perancis, yang mana akan memberi penumpuan kepada benteng pertahanan, berbanding mencipta jaringan.

"Kami akan bermain secara bertahan, bertahan dan bertahan. Perancangan kami adalah tidak mahu dikalahkan," kata penyerang Romania, Adrian Mutu.

Penyerang itu ternyata menerima kesan mendalam ekoran kematian neneknya baru-baru ini. Namun begitu, Mutu berharap dia akan dapat kembali menebus permainan buruknya ketika menentang Perancis.

"Saya berharap kamu akan melihat Mutu sebenar ketika bertemu Itali," katanya.

Seorang lagi penyerang Romania, Daniel Niculae dijangka memberi laluan kepada Ciprian Marica untuk beraksi jika dia masih belum sembuh daripada kecederaan kepala, Selasa lalu.

Paul Codrea juga mungkin akan menggantikan tempat Razvan Cocis di bahagian tengah pasukan.

Ketegangan politik mungkin akan menambah kehangatan perlawanan tersebut.

Namun, pihak berkuasa bola sepak telah menyatakan bahawa mereka menjangka tidak akan berlaku sebarang permasalahan di Zurich.

Lebih daripada 500,000 rakyat Romania yang dianggarkan menetap di Itali. Jumlah yang dinyatakan oleh Rom itu semakin meningkat ekoran kemasukan Romania ke Kesatuan Eropah (EU) tahun lalu.

Ramai pengembara Romania yang hidup melarat di Itali dan sering disalahkan apabila berlakunya keganasan jenayah.

- Reuters

utusan online

Croatia benam Jerman 2-1

KLAGENFURT, Austria – Croatia mengejutkan juara tiga kali, Jerman 2-1 untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah (2008), sekali gus menyamai pencapaian terbaiknya pada 1996.

Jaringan Darijo Srna dan Ivica Olic membawa Croatia menjadi pasukan kedua selepas Portugal mara ke peringkat lapan terbaik dan meneruskan reputasi sebagai ‘pembunuh gergasi’.

Malah tambah memburukkan lagi keadaan, Jerman terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya, Bastian Schweinsteiger dilayangkan kad merah ketika saingan memasuk masa kecederaan.

Croatia merupakan pasukan yang bertanggungjawab memusnahkan harapan England untuk beraksi di Euro 2008 selepas menundukkan pasukan itu dalam dua perlawanan mereka di pusingan kelayakan.

Ini merupakan kemenangan kedua mereka selepas menundukkan tuan rumah, Austria 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.

Walaupun Jerman, juara 1996, 1980 dan 1972 mengawal sebahagian besar permainan, namun Croatia, yang hanya memiliki pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada Euro 1996 terlebih dulu membuka jaringan.

Selepas menyambut hantaran silang Danijel Pranjic dari kiri pintu gol, Srna menewaskan pertahanan Jerman, Marcell Jansen sebelum melakukan tolakan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Jens Lehmann.

Jerman terdahulu memperoleh peluang membuka jaringan menerusi bintang penyerang, Lukas Podolski pada minit ke-10 tetapi sepakan pemain itu berjaya ditepis penjaga gol, Stipe Pletikosa.

Pada minit ke-22, Jerman berjaya menembusi gawang Croatia, namun jaringan penyerang Mario Gomez itu dibatalkan oleh pengadil kerana sudah berada dalam posisi ofsaid.

Dua minit kemudian, Pranjic yang tidak dikawal melakukan hantaran cantik kepada Srna dari kiri gol Jerman, meskipun terjatuh di depan pintu gol, Srna sempat menolak bola untuk menewaskan Lehman.

Ketinggalan 1-0 memaksa Jerman menggandakan asakan sebaik memasuki babak kedua dan Podolski hampir menjaringkan gol penyamaan selepas menyambut sepakan sudut di minit ke-47, namun tandukannya diselamatkan pertahanan Croatia.

Biarpun kerap diasak, namun Croatia, yang memiliki sentuhan Jerman, di mana tiga tonggak utamanya - Niko Kranjcar, Robert Kovac dan Ivan Klasnic dilahirkan di Jerman berjaya memanfaatkan peluang yang sesekali diperoleh.

Pada minit ke-62, Olic melebarkan kedudukan 2-0 apabila merembat bola yang jatuh ke kakinya selepas terkena siku pertahanan lawan.

Podolski menghidupkan harapan Jerman dengan merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-79 menerusi rembatan kaki kiri, namun jaringan itu tidak mampu menyekat Croatia dari meraikan kemenangan.

– Agensi

utusan online

Hubungan suami isteri hanya sekali - Isteri Beego

KUALA LUMPUR 12 Jun - Isteri pelakon dan penyanyi Beego memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa beliau hanya mengadakan sekali hubungan seks dengan suaminya sepanjang 20 hari tempoh perkahwinan mereka.

Ketika disoal balas oleh peguam syarie mewakili Beego, Md. Nor Md. Din sama ada pelakon itu mendesaknya untuk mengadakan hubungan itu, Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, berkata, suaminya mengejutkannya yang ketika itu sedang tidur.

Md. Nor bertanyakan soalan tersebut setelah Intan Shahira tidak memahami soalan asal peguam itu yang bertanyakan sama ada Beego ada menganiayanya secara serius atau sebaliknya sepanjang tempoh perkahwinan itu.

Intan Shahira sebelum itu menyatakan, usia perkahwinan mereka ialah selama 20 hari iaitu mulai hari pernikahan pada 28 Disember tahun lalu sehingga Beego meninggalkan rumah.

Intan Shahira juga menyatakan, beliau tahu defendan tidak mendirikan solat dan tidak berpuasa sebelum mereka menjadi suami isteri memandangkan pernikahan mereka dilangsungkan selepas bulan Ramadan tahun lalu.

Intan Shahira berkata demikian pada perbicaraan kes tuntutan fasakh (cerai) yang dikemukakan olehnya terhadap Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zain.

Intan Shahira seterusnya menafikan tindakannya mengambil suntikan mencegah hamil sehingga menyebabkan sakit perut selama empat bulan dan mengalami haid yang tidak teratur sebagai alasan untuk tidak mengadakan hubungan suami isteri dengan Beego.

Dalam perbicaraan yang bermula kira-kira pukul 6 petang itu, Intan Shahira selaku saksi pertama plaintif berkata, beliau sehingga kini tidak redha dengan perkahwinan tersebut.

Menurutnya, perasaan benci dan marah memang ada dalam dirinya ekoran daripada panas baran Beego dan sikap biadap suaminya terhadap ibu bapanya.

''Saya rasa setiap manusia boleh rasa marah dan benci walaupun mempunyai hati yang baik,'' katanya.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguam syarie, Marlina Amir Hamzah, Intan Shahira berkata, selepas Beego pulang dari Singapura, beliau telah meminta suaminya menjauhkan diri daripadanya untuk membolehkannya menenangkan fikiran.

Beliau bagaimanapun menafikan bahwa tindakannya itu bermaksud beliau mahu Beego keluar dari rumahnya.

Perbicaraan bersambung esok.

utusan online

Tesco jamin tidak naikkan harga barang

KUALA LUMPUR 12 Jun – Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. memberi jaminan tidak akan menaikkan harga barangan jualannya dalam masa terdekat walaupun kos bahan mentah meningkat.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perundangan Tesco, Azlam Shah Alias berkata, langkah itu sebagai menyokong usaha kerajaan mengurangkan bebanan pengguna yang berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

Menurut beliau, pihaknya akan terus mengekalkan harga yang sedia ada termasuk menerusi pengurangan jumlah keuntungan yang dicapai daripada jualan barangan di rangkaian pasar raya miliknya.

“Kami memahami situasi pengguna yang berdepan dengan pelbagai tekanan terutama kenaikan harga barang. Jadi, kami memutuskan untuk mengekalkan harga sedia ada,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pelbagai pihak menaikkan harga jualan berikutan kos bahan mentah yang meningkat kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Semalam, rangkaian pasar raya borong, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) memberi jaminan tidak akan menaikkan harga barangan jualannya dalam tempoh terdekat.

Menurut Azlam, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan pasaran dan kadar harga yang ditetapkan oleh pembekal.

“Kami akan memastikan pembekal dapat memberi harga terendah bagi setiap barangan agar tiada kenaikan harga berlaku menerusi pemantauan pada senarai barangan.

‘‘Bagaimanapun, jika mereka menaikkan harga terlalu tinggi, kami juga mungkin terpaksa mengambil tindakan sama namun akan memastikan ia tidak membebankan pengguna,’’ jelasnya.

utusan online

Hanya bawa MyKad tuntut rebat di Pejabat Pos mulai esok

KUALA LUMPUR 12 Jun – Para pemilik kenderaan persendirian hanya perlu membawa kad pengenalan atau MyKad untuk menuntut rebat tunai di pejabat pos di seluruh negara mulai Sabtu ini.

Mereka perlu melengkapkan borang kiriman wang dengan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan.

Bagi pemilik yang memiliki lebih daripada satu kenderaan, mereka perlu mengisi borang berasingan bagi setiap kenderaan dan tuntutan terhad kepada lima jenis kenderaan bagi setiap orang.

Pemangku Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad (PMB), Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, pemilik kenderaan perlu datang sendiri ke pejabat pos bagi membuat tuntutan rebat tunai itu.

Menurut beliau, bagi tempoh fasa pertama, pihak ketiga tidak dibenarkan membuat tuntutan bagi pihak pemilik kenderaan.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, pemilik kenderaan yang telah membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei tahun ini boleh membuat tuntutan mulai Sabtu ini sehingga 31 Mac tahun depan.

Sementara bagi fasa kedua pula, pemilik kenderaan yang membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 Jun tahun ini sehingga 31 Mac 2009, boleh membuat tuntutan rebat tunai di semua pejabat pos mulai 1 Julai.

‘‘Untuk pelaksanaan fasa pertama, Pos Malaysia menjangka 1.7 juta pemilik kenderaan persendirian akan mendapat rebat tunai,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas mengenai pembayaran tuntutan rebat tunai yang akan bermula di 683 buah pejabat pos berkomputer di seluruh negara.

Abu Huraira berkata, bagi melicinkan proses itu, seramai 2,291 petugas telah ditugaskan di semua kaunter pejabat pos di seluruh negara.

Selain itu, kata beliau, Pos Malaysia juga menempatkan pegawainya di setiap pejabat pos bagi membantu menangani sebarang masalah yang mungkin dihadapi oleh pelanggan.

‘‘Kami menganggarkan setiap urusan di kaunter bermula daripada serahan borang sehingga kepada pembayaran akan selesai dalam tempoh tiga minit,’’ katanya.

Beliau berkata, semua pejabat akan beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pejabat pos ditutup pada Sabtu pertama setiap bulan dan juga pada cuti umum.

Abu Huraira berkata, semua langkah telah diambil bagi memastikan pelaksanaan pembayaran rebat tunai berjalan lancar dan beliau memberi jaminan pemilik kenderaan yang layak mendapat bayaran dengan segera.

Beliau menasihatkan pemilik kenderaan supaya tidak menyerbu pejabat pos pada hari Sabtu ini kerana mempunyai masa sehingga 31 Mac tahun depan untuk membuat tuntutan rebat tunai itu.

Tambahnya, petugas akan membuat pengesahan nama pemilik dan nombor kad pengenalan berdasarkan pangkalan data yang diperolehi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum membuat pembayaran.

Abu Huraira berkata, selain membuat bayaran tuntutan secara tunai, Pos Malaysia juga menyediakan kemudahan bayaran rebat tunai menerusi kiriman wang bagi pengguna yang tidak dapat menunggu lama atau yang akan ke luar negara.

Bagi mendapatkan bayaran melalui kiriman wang, katanya, pengguna perlu melakukan prosedur yang sama tetapi dikehendaki menulis alamat tetap atau alamat surat menyurat serta nombor telefon pada borang untuk dihubungi.

utusan online

Thursday, June 12, 2008

Anwar telah cuba bertemu saya beberapa kali - Dr Mahathir

Kiriman malaysiakita.net
Terjemahan dari tulisan Raja Petra Kamarudin "Mahathir breaks his silence" oleh Marhaintua - Mandat 2020

"Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan pelakon-pelakon penting yang terlibat dengan mengabui perhatian Gaboner Bank Negara ketika itu – almarhum Tan Sri Jaffar Hussein - untuk melakukan kerja-kerja spekulasi tukaran matawang asing (forex) menyebabkan kerugian besar sehingga RM30 bilion antara 1992 – 1994," demikian laporan Malaysiakini pada 19 Julai 2006.

Malaysiakini seterusnya melaporkan: Sambil menyatakan bahawa keseluruhan episod itu adalah "pengalaman yang paling dahsyat" ketika berada dalam kerajaan, Anwar mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut terlibat dengan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hingga menyebabkan kerugian besar yang masih belum dapat dipulihkan kembali oleh Bank Negara hingga hari ini.

"Itulah kerja Nor Mohamad dan Dr Mahathir serta Daim. Ketika itu saya baru sahaja memegang jawatan Menteri Kewangan. Tetapi saya percaya Jaffar yang tidak tahu-menahu mengenainya bila saya bertanya beliau. Memang dia betul-betul memikirkan bahawa jumlahnya seditkit sahaja," jelas Anwar dalam temubual selama dua jam di pejabat Malaysikini di Bangsar Lama.

"Ketika tiba masa saya memahami segala-galanya, masalah sudah membengkak. Kita bercakap mengeenai kerugian yang menghampiri US$10 bilion."

Anwar mendakwa dia tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai spekulasi forex hinggalah lawatan beliau ke luar negara di mana beberapa orang kawan menghubunginya dan menyatakan bahawa Bank Negara adalah antara tiga pelakon teratas dan sudah dianggap secara merata sebagai sebuah bank penyangak.

"Saya mendapat tahu daripada seorang kawan di Switzerland yang memberitahu: "Anwar, spekulasi ringgit Bank Negara adalah besar," Saya memberitahu beliau, perkara itu tidak mungkin benar kerana kami perlu melindungi simpanan kami. Tetapi beliau berkata bahawa kamu (Bank Negara) adalah antara tiga bank teratas. Salah satu yang teratas! Saya berkata adalah tidak masuk akal kita boleh menjadi salah satu negara itu yang melibatkan diri dalam berbilion dollar spekulasi forex."

Pada 12 April, 1994, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang membangkitkan perkara tersebut di Parlimen.

"Apabila Laporan Bank Negara bagi tahun 1992 diumumkan tahun lepas (1993), Tan Sri Jaffar Hussein yang disokong oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan (Anwar Ibrahim) telah menafikan bahawa terdapat apa-apa lubang atau hole, dengan izin, di dalam Bank Negara. Dan beliau menegaskan bahawa kerugian sebanyak RM9.3 bilion dalam urusniaga matawang asing yang ia bersedia mengakui merupakan hanya 'paper losses' dan bahawa kerugian Bank Negara itu adalah keuntungan buat negara atau pun "Bank Negara's loss is the nation's gain." Kita semua ingat lagi."

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan bahawa kerugian sebanyak RM5.7 bilion dalam urusniaga matawang asing pada tahun lepas datangnya daripada keuntungan yang diperolehi dalam urusniaga matawang asing dalam tahun-tahun yang sebelumnya.""Dalam usul khas saya atas kerugian tukaran asing Bank Negara di Parlimen pada April tahun lepas, Yang Berhormat Menteri Kewangan dengan sungguh-sungguh telah menafikan bahawa Bank Negara telah menjalankan spekulasi atau berjudi dalam tukaran matawang asing."."Lim Kit Siang telah menjawab kenyataan Anwar Ibrahim kepada Parlimen sepuluh hari sebelum itu, pada 2 April 1994, di mana dia telah berkata:

"Dari tahun 1981 sehingga 1984, kerugian yang dialami oleh Bank Negara kerana mempertahankan ringgit, dasar yang didukung oleh Menteri Kewangan pada masa itu, ialah RM9.5 bilion

"Prinsip pertanggungjawaban diterima oleh Tan Sri Jaffar Hussein. Saya akui beliau merupakan salah seorang Gabenor Bank Pusat yang berjaya, dihormati di rantau kita dan juga di dunia antarabangsa. Kesilapan diakui kerana beliau tahu maklumat terperinci telah tidak pernah dikemukakan kepada saya atau kepada Perdana Menteri. Beliau tahu dan saya tahu. Kita diberitahu maklumat itu hanya sebelum akaun 1992 hendak dibentangkan. Pada masa itu baru kita tahu."

Pelbagai laporan yang bercanggah di atas boleh di rumuskan sebagai berikut:

Selama beberapa tahun sehingga 1992, Bank Negara telah mengalami kerugian wang yang begitu besar jumlahnya akibat kerugian ketika terlibat dalam pertukaran matawang asing.

Pada 1993, laporan Tahunan Bank Negara 1992, telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan ketika itu, Anwar, menafikan bahawa Bank Negara mengalami kerugian dan apa yang berlaku hanyalah kerugian 'atas kertas' bererti secara fizikalnya Bank Negara tidak mengalami apa-apa kerugian.

Pada 1994, Anwar telah mengakui bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian kira-kira RM9.5 bilion tetapi berkata bahawa dia dan juga Perdana Menteri tidak tahu-menahu bahawa Bank Negara telah mendedahkan dirinya kepada risiko pertukaran matawang asing. Anwar menyalahkan Gaboner Bank Negara sepenuhnya atas kerugian itu kerana bertindak sendirian tanpa kelulusan ataupun berunding dengan Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan.

Pada 2006, Anwar telah menyalahkan Dr Mahathir dan Daim berikutan kerugian Bank Negara dan mengisytiharkan bahawa kerugian itu sebenarnya mencecah RM30 bilion ataupun lebih (US$ 10 bilion). Wang yang kerugian itu, kata Anwar langsung tidak dapat diperolehi kembali sehingga hari ini.

Malaysia Today telah meminta penjelasan Dr. Mahathir berhubung dakwaan itu. Jika Dr Mahathir tidak lagi mengingati peristiwa tersebut, Malaysia Today mengingatkan beliau bahawa perkara tersebut telahpun dibangkitkan di Parlimen pada April 1993, dan sekali lagi pada April 1994. Pada mualanya Anwar telah menafikan bahawa Bank Negara telah mengalami sebarang kerugian. Setahun kemudiannya, beliau mengaku pula bahawa negara memang pernah mengalami kerugian, tetapi menafikan bahawa beliau tahu mengenai perkara itu dan turut mengumumkan bahawa Perdana Menteri juga tidak tahu-menahu. Namun demikian, sekarang (2006) Anwar telah menyalahkan Dr. Mahathir dan Daim atas kegagalan itu dan berkata dia (Anwar) hanya mengetahuinya ketika dia bertemu seorang kawan di Switzerland.

"Sudan tentulah kita semua tahu hal itu," kata Dr. Mahathir. "Malah kita telah buka satu pejabat di London untuk tujuan itu dan saya telah merasmikan pembukaan pejabat tersebut."

Tujuan kita berdagang dengan matawang ialah untuk menyokong Ringgit berbanding dollar Amerika, jelas Dr Mahathir. Semua orang melakukannya, kata Dr Mahathir. "Dan pada awalnya kita memang mendapat banyak keuntungan," katanya lagi.

"Memanglah selepas itu kita rugi sedikit tetapi kerugian kita adalah lebih kecil dari keuntungan yang kita perolehi. Kerugiannya tidaklah sampai RM20 bilion seperti yang disebut oleh Anwar. Jumlahnya lebih kecil dari itu, tetapi saya tidak ingat berapa jumlahnya yang sebenar. Tapi memang tidak tidak sampai RM30 bilion".

Kenyataan Dr Mahathir itu memberi andaian bukan sahaja menjelaskan bahawa segala kerugian telah ditebus kembali, bertentangan dengan dakwaan Anwar, malah kerugian itu adalah sedikit sahaja dan hanya sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi sebelumnya. Dengan itu, kerugian Bank Negara sebenarnya adalah sebahagian dari keuntungan yang diperolehinya pada peringkat awal.

"Apapun," hujah Dr. Mahathir, "Pada waktu yang sama pasaran saham naik sehingga ke tahap 840 mata daripada 262 mata. Ini merupakan permodalan pasaran sekitar RM300 bilion. Jadi, ketika kita rugi sedikit di pasaran matawang asing, kita telah untung berlipat kali ganda melalui keuntungan pasaran saham. Ini bermakna memberi sokongan kepada Ringgit dan menentukan satu matawang yang stabil membantu pasaran saham. Inilah yang memberi keyakinan kepada pasaran dan membolehkan rakyat Malaysia meraih keuntungan."

Dengan itu Dr Mahathir berpendapat, bahawa pada peringkat pertama operasi Bank Negara adalah satu kegiatan rasmi dan sah untuk menyokong Ringgit. Kedua, ia adalah sesuatu yang dimulakan oleh kerajaan dan bukan oleh operasi Bank Negara, yang dikatakan bank penyangak, tanpa kebenaran dan pengetahuan kerajaan, termasuklah Anwar sebagai Menteri Kewangan.

Malahan, satu pejabat baru dibuka di London untuk tujuan itu untuk memberi sokongan kepada Ringgit dan mengelakkannya daripada merudum. Akhirnya ringgit yang stabil menghasilkan keyakinan pelabur yang kemudiannya menghasilkan kerancakan Bursa Saham Kuala Lumpur yang naik tiga kali ganda dan mencetuskan permodalan sekitar RM300 bilion.

{catatan penterjemah: heheheh ...... pandai Mahathir kelentong ..'market capitalisation' di pasaran saham adalah berbentuk nilai kertas -saham sahaja, kebanyakannya. Apabila melibatkan matawang negara untuk spekulasi forex kita melibatkan wang secara fizikal, dan membabitkan prinsip 'fudiciary' !!!!!}

"Adakah awak tahu bahawa Anwar telah cuba bertemu saya beberapa kali?" tanya Dr. Mahathir.

Saya tahu ini adalah berbentuk satu soalan, tetapi ada ketikanya kenyataan dikemukakan dalam bentuk persoalan, jadi saya anggap ini sebagai satu kes semacam itu.

Saya termangu sebentar kerana tidak tahu apa yang perlu dijawab. Apakah yang patut saya jawabkan? Kalau ada sesiapa yang bertanya apakah anda fikir dia bodoh, jelas dia tidak mengharap anda berkata "ya!" kerana apa yang dimaksudkannya ialah dia bukannya bodoh. Bagaimana pun kerana tidak mahu menjadi seseorang yang mahukan orang lain menguasai keadaan, saya pun menjawab, "Ya, saya pernah mendengarnya."

Memang benar perkara ini dan saya bukannya berbohong. Saya memang pernah mendengar perkara itu daripada seseorang yang mendakwa Anwar bercakap dengannya dan bertanya apakah dia mahu menjadi orang perantara untuk mengatur satu pertemuan dengan Dr Mahathir.

"Anwar telah bercakap dengan beberapa orang dan meminta mereka menemui saya. Dia mahu berjumpa walaupun saya tidak tahu kenapa. Pada pendapat awak, kenapa dia mahu bertemu saya?"

Jelas dia memang mahukan jawapan kepada soalan itu. Kenapa dia bertanya saya dari begitu ramai orang lain? Saya tidak faham langsung. Mungkin juga dia berfikir saya memang rapat dengan Anwar jadi saya mungkin mengetahui jawapannya?

Saya memang pernah menjadi Pengarah Kempen Bebaskan Anwar, tetapi itu adalah pada hari-hari ketika Anwar merengkok dalam penjara. Sejak 2 September 2004, hari dia dibebaskan, saya telah memberikan tumpuan kepada Malaysia Today yang kini tugas sepenuh masa saya dan saya juga tidak banyak berinteraksi dengan Anwar

Saya tidak mahu kelihatan kebingungan. Mungkin Dr Mahathir menguji saya untuk mengetahui apakah saya benar-benar mengetahui apa yang sedang berlaku ataupun apakah saya ini kononnya seorang penganalisis politik yang hebat yang saya lagakkan. Dia telah bertanya kenapa Anwar mahu bertemu beliau. Jadi dia mencari pendapat saya dan mahu menilai apakah pandangan itu betul ataupun mungkin juga salah. Jadi saya berlakon dengan Dr Mahathir dalam lakonan dua puluh persoalan dan mahu lihat betapakah dia menilainya pula.

"Saya fikir Anwar mahu berjumpa mendapatkan restu."

"Untuk apa?"

Begini, kalau dia mahu menganggotai UMNO semula dia perlukan satu rekod yang bersih. Dia perlu menunjukkan sudah berdamai dengan Tun. Ini sahaja satu-satunya 'stigma' (penghalang) yang melecehkan beliau masuk UMNO semula. Kalau dia dapat buktikan sudah bermaaf-maafan dan melupakan perkara yang silam makanya dia dapat sokongan Tun dan sokongan penyokong Tun dalam UMNO. Tun masih memilikki sekurang-kurangnya 60% sokongan dalam UMNO. Kalau digabungkan ini dengan para penyokongna sendiri yang masih kekal dalam UMNO sudah tentu ini memberikan satu kekuatan padanya.

"Apakah saya masih mempunyai 60% sokongan dalam UMNO?"

"Aha, ini satu soalan yang ada trick ataupun muslihatnya. Saya tahu dia sendiri tahu akan jawapannya tetapi dia mungkin mahu mengusik apakah saya tahu perkara yang saya tuturkan.

"Kalau ikutkan pendapat ibupejabat UMNO, memang anda mempunyai sokongan sebanyak itu. Itu sebabnya Pak Lah mengeluarkan RM600 juta kepada semua Ketua Bahgian pada petang menjelang Persidangan Agong UMNO . Dia mahu menumpulkan bisa para penyokong Tun yang mahu mencetuskan bantahan. Pada dasarnya dia mahu membeli semua penyokong Tun."

Dr Mahathir tidak berkata apa-apa selain mengangguk kepala, jadi saya tidak tahu apakah dia bersetuju dengan anadaian saya itu ataupun tidak.

"Tetapi apa pasal dia mahu balik semula kepada UMNO?"

"Saya fikir kalau dia mahu menjadi Perdana Menteri. Dia sedar bahawa dia tidak boleh menjadi seorang Perdana Menteri kalau tidak masuk UMNO semula. Hanya Presiden UMNO yang boleh menjadi Perdana Menteri dan dia sedar akan perkara ini."

"Tetapi bagaimana dia boleh balik menganggoi UMNO. Apakah UMNO akan terima?"

"Sebenarnya dia tidak perlu rujuk balik kepada UMNO seolah-olah dia memohon menjadi anggota UMNO semula. Kalau dia berbuat demikian ramai yang akan menentang, lagipun dia perlu memulakan segala-galanya dari bawah. Dia bukannya muda lagi untuk sabar memulakannya daripada bawah. Dia perlu masuk semula di peringkat atasan, semacam menyambung semula apa yang ditinggalkannya."

"Bagaimana dia boleh berbuat begini?"

"Wau…. Memang inilah sesungguhnya soalan besar."

"Kalau UMNO membuat pengumuman bahawa pemecatan beliau dulu adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan parti, bererti dia akan diambil masuk semula. Anwar bukannya diadili oleh Lembaga Disiplin UMNO.

"Dia telah dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO tanpa mewujudkan satu perbicaraan yang adil. Semua pemecatan yang lain-lain adalah berdasarkn keputusan Lembaga Disiplin UMNO. Tetapi tidak dalam kes Anwar.

"Sebab musabab dia dipecat ialah kerana dakwaan adanya salahlaku seksual. Tetapi mahkamah telah membebaskan beliau dari segala tuduhan salahlaku seksual. Ini bermakna pemecatan beliau daripada UMNO dikira tidak sah. Ini bererti pemecatan belaiu daripada UMNO mesti diterbalikkan.

Dr Mahathir hanya melopong merenung saya tanpa berkata apa-apa. Opocot…!!!! Apakah saya telah berlagak keterlaluan dalam hal ini. Akan tetapi keadaan sudah terlambat untuk balik ke pangkal jalan. Jadi saya perlu teruskan dan nyatakan pendapat saya.

"Kalau ada segelintir Bahagian UMNO meluluskan satu resolusi meminta Majlis Tertinggi mengkaji semula pemecatan Anwar berasaskan pemecatan yang dibuat bertentangan dengan Perlembagaan parti, beserta asas pemecatannya itu tidak lagi dikira sah, makanya Majlis Tertinggi UMNO tidak punyai pilihan lain lagi.

"Mereka bolehlah berkata bahawa pada 1998, Majlis Tertinggi bersetuju dengan cadangan Presiden untuk memecat Anwar kerana beliau (Presiden UMNO) pernah berkata dia mempunyai bukti yang cukup bahawa Anwar telah melakukan salahlaku seksual. Oleh kerana mahkamah sudahpun tidak berseutju dengan fitnah itu kerana tidak ada buktinya, makanya pemecatan itu harus diterbalikkan dan Anwar mesti diambil semula.

"Tetapi Najib sudahpun menjadi Timbalan (Presiden)".

"Najib telah dilantik sebagai seorang Timbalan. Dia tidak pernah bertanding jawatan itu. Sebaliknya Anwar bertanding dan menang. Jadi, Anwar telah dipilih oleh anggota patri sedangkan Najib tidak begitu. Najib hanya dilantik. Kalau pemecatan Anwar dianggap tidak sah, bererti dia sesungguhnya merupakan Timbalan Presiden Parti. Bukannya Najib".

"Adakah awak seorang peguam?"

"Tidak…saya hanya seorang penulis."

"Tetapi awak temberang macam peguam?"

"Ini hanya teori saya sahaja. Apakah Pak Lah menyokong langkah untuk membawa masuk Anwar kembali menganggotai UMNO mungkin bergantung kepada berapa besarkah ancaman yang dihadapinya Kalau dia merasakan bahawa kedudukannya terancam dan dia memerlukan Anwar untuk membantu mempertahankan kedudukannya, tentulah masuk akal untuk beliau mengusahakan Anwar diambil semula oleh UMNO".

"Apakah dia boleh percayakan Anwar? Anwar pernah cuba menyingkirkan saya. Dia mungkin lakukan perkara yang sama kepada Pak Lah."

"Tentu, tetapi ini adalah masalah sekonder, Dia memerlukan Anwar untuk menyokong beliau menghadapi Tun dan Najib dan selepas dia mengenepikan segala ancaman itu barulah dia boleh menangani Anwar".

"Apakah kamu tahu kalau Anwar tidak cuba menyingkirkan saya dia sudahpun menjadi Perdanaa Menteri sekarang? Saya sudah merancang mahu bersara pada 1998 tetapi disebabkan krisis 1997, dan apa yang Anwar lakukan saya tidak ada pilihan selain mengekalkan kedudukan. Malahan rumah kediaman baru Perdana Menteri di Putrajaya telah dibuat untuk Anwar dan bukannya untuk saya. Terdapat enam bilik tidur. Kenapa saya perlukan enam bilik tidur? Saya bukannya ada ramai anak seperti itu, Anwar yang mempunyai anak seramai itu. Kediaman itu adalah untuk dia dan bukan untuk saya. Tetapi kerana perbuatan Anwar saya tidak ada pilihan walapun saya sudah merancang mahu bersara".

"Ya, saya memang tahu akan perkara itu".

Kita akan sambung di lain waktu. Jika saya rasa mahu mendedahkan apa yang saya bincangkan dengan Mahathir….."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...