Saturday, July 5, 2008

Abdullah Pengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang

05 Julai, 2008 13:12 PM

PULAU PINANG, 5 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini untuk mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri di Bangunan Umno, Jalan Macalister di sini.

Abdullah tiba kira-kira pukul 10.40 pagi dan disambut oleh Menteri Kewangan Kedua Tan sri Nor Mohamed Yakcop, timbalan pengerusi badan itu Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, Setiausaha Datuk Azhar Ibrahim, Bendahari Datuk Zainal Abidin Osman dan beberapa pemimpin Umno negeri.

Selain mesyuarat tersebut, Abdullah, yang juga pengerusi badan itu, dijadual mempengerusikan mesyuarat Umno Bahagian Kepala Batas sebelum menghadiri majlis penyampaian sumbangan anjuran Yayasan Budi Penyayang di Pusat Budi Penyayang, tidak jauh dari situ.

Terdahulu itu, berlaku sedikit kekecohan di perkarangan Bangunan Umno apabila sekumpulan ahli Umno Bahagian Jelutong menunggu Abdullah untuk menyerahkan surat bantahan terhadap cadangan penutupan 18 cawangan Umno di bahagian itu.

Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Negeri, Datin Marina Puteh, yang mengetuai kumpulan itu mendakwa pentadbiran penaja bahagian Jelutong hendak menutup 18 cawangan sedia ada dan membuka 24 cawangan baru.

"Cawangan baru yang hendak dibuka ini terdiri dari kalangan anggota yang menyokong penuh ketua penaja sekarang. Kalau hendak bertanding dan mendapatkan kuasa biarlah secara sihat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat bantahan itu kepada Abdullah.

Marina juga menjelaskan bahawa kemelut yang berlaku di bahagian itu tidak mempunyai kaitan dengan kepimpinan Abdullah sebaliknya mendakwa masalah yang timbul sengaja direka oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

"Kami hantar surat ini kepada Pak Lah supaya 18 cawangan sedia ada itu tidak ditutup dan masalah yang berlaku di peringkat bahagian ini tiada kaitan dengan Pak Lah," katanya.

Untuk rekod, bahagian itu digantung kerana masalah dalaman dan Badan Perhubungan Umno Negeri melantik Abdul Razak Abdul Rahman sebagai ketua penaja untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di bahagian itu.

--BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...