Saturday, July 5, 2008

Sidang media bersama

Sidang media bersama
– Keadilan dan UMNO
menolak konspirasi yang melibatkan Anwar Ibrahim


Arena politik di Negeri Sembilan hari ini mencatat sejarah apabila Parti Keadilan Rakyat Bahagian Rembau bersama dengan Pemuda UMNO dari Bahagian Rembau telah mengadakan sidang media bagi menolak Isu liwat yang kononnya dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat).

Penyelaras Parti Keadilan Rakyat Bahagian Rembau, Norazizi A. Aziz telah menyatakan dalam sidang medianya bahawa beliau telah dihubungi oleh beberapa orang pimpinan UMNO di peringkat bahagian dan cawangan di Rembau untuk mengetahui perkembangan terkini tentang isu yang melibatkan Dato, Seri Anwar Ibrahim ini.

“Walaupun mereka tetap berjuang dalam wadah politik UMNO tetapi mereka tetap menolak konspirasi politik terbaru yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang jelas tidak masuk akal. Memang kita akui kita mempunyai perbezaan pendapat dalam menyatakan prinsip dalam parti masing-masing tetapi dalam isu ini kami telah ambil keputusan untuk menolak konspirasi ini secara bersama. Mereka juga menyatakan kekesalan terhadap isu yang jelas tidak menguntungkan rakyat ini..”

Salah seorang pemimpin UMNO yang turut bersama dalam sidang media itu ialah Saudara S. Musliadi Sabtu, 32 yang menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO cawangan Taman Widuri Indah telah menyatakan bahawa beliau rasa terpanggil untuk bersama-sama dengan ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk menolak isu liwat yang mengaitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini.

“Sebenarnya bukan saya seorang yang menolak isu ini tetapi ramai lagi yang tidak percaya dengan berita itu ( isu liwat ). Tetapi saya faham meraka masih terikat dengan rasa takut demi menjaga kelansungan politik di dalam UMNO. Saya hadir hari ini bukan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat mahupun menyokong Pakatan Rakyat. Tetapi ada banyak isu lain yang sepatutnya diberi keutamaan.”

Musliadi juga menyatakan bahawa sepatutnya dalam masa terdekat ini, pemimpin UMNO tidak kira di peringkat mana pun harus bekerja keras dan memikirkan formula terbaik untuk membela rakyat yang makin tertekan dengan kenaikan harga petrol. “Pemimpin UMNO juga perlu mengambil keputusan drastik untuk menangani isu perpecahan melayu yang makin parah dan bukannya memikirkan strategi untuk menjatuhkan karier politik orang lain. Saya bukan menentang dasar parti dan saya tetap dengan pendirian saya untuk berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Badawi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Mohammad Hassan tetapi kepimpinan UMNO harus serius menyatakan prinsip mereka demi melihat UMNO kembali menjadi pilihan rakyat.”

Menurut Norazizi lagi, Isu ini timbul selepas ada pihak yang makin tertekan selepas melihat Dato’ Seri Anwar Ibrahim makin menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk menerajui pucuk kepimpinan negara. “Ini adalah usaha terancang yang lapuk untuk mengalihkan isu sebenar daripada perhatian rakyat. Gelombang kebangkitan rakyat makin terasa kini dan pada 6hb Julai 2008 (Ahad) ini bakal menjadi tarikh keramat terhadap kebangkitan rakyat di mana disasarkan lebih sejuta rakyat akan menghadiri satu perhimpunan aman di Stadium MPPJ, Klana Jaya untuk menyatakan suara hati dalam membantah kenaikan harga minyak.”

“Saya juga mewakili Keadilan Negeri Sembilan ingin menjemput seluruh rakyat Negeri Sembilan tidak kira dari apa pertubuhan mahupun fahaman politik untuk bersama-sama menghadiri perhimpunan aman ini,” sambungnya.


Norazizi A. Aziz dan S. Musliadi Sabtu

Kiriman: NORAZIZI A. AZIZ


Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Laman Web: http://angkatanmuda.org
emel: penerangan@angkatanmuda.org

05.07.2008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...