Azamin Amin
Sat | Jul 05, 08 | 7:54:50 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Penyiasat Persendirian Balasubramaniam yang mencetuskan kontroversi telah dilaporkan 'hilang' selepas mencetuskan kontroversi berhubung dua surat akuan bersumpah berkaitan pembabitan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dengan kes Altantuya Sharibuu
Ini termasuk kehilangan isteri Bala beserta tiga orang anaknya juga turut tidak dapat dikesan sehingga kini.
Kehilangan mereka itu telah dilaporkan oleh anak saudara mereka R Kumaresan, 27 di Balai Polis Brickfields kira-kira jam 5 petang tadi dengan ditemani oleh seorang peguam.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam Dato' Ambiga Sreenevasan Akuan bersumpah pertama Bala tidak boleh ditarik balik kerana dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.
"Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Dalam kes ini semua keterangan diberi secara bersumpah tidak boleh ditarik balik," katanya.
Pada 3 Julai lalu Bala yang pernah memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, mengedarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai setebal 16 muka surat dengan mendakwa wanita Mongolia yang dibunuh itu mempunyai hubungan dengan Najib.
Bagaimanapun kurang daripada 24 jam iaitu keesokan harinya (4 Julai) Bala menarik balik beberapa perenggan dalam akuan bersumpahnya dengan mengatakan kandungan akuan itu mengenai Najib adalah tidak benar.-az _
No comments:
Post a Comment