|
AMPANG: Dorongan hawa nafsu yang menggila mendorong seorang lelaki menyamar anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum meliwat mangsanya dalam sebuah van di Ampang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa yang berperwatakan lembut ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum ditahan seorang lelaki yang menaiki van dan memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa Jais.
Difahamkan, lelaki terbabit meminta mangsa masuk ke kenderaannya dan jika enggan menuruti arahan itu, dia digertak akan ditahan dan dibawa ke pejabat agama untuk diambil tindakan atas dakwaan menjual tubuh di sekitar kawasan itu.
Mangsa, seorang pekerja pusat kecantikan yang takut dengan ugutan itu menuruti arahan lelaki terbabit kerana menyangkakan dia memang pegawai Jais dan menaiki van terbabit.
Ketika dalam van itu, mangsa dibawa ke kawasan sunyi sebelum lelaki terbabit memberhentikan kenderaan dan mengugut mencederakannya jika tidak mengikut arahan.
Menurut sumber, ketika itu mangsa yang berusia 20-an diliwat lelaki terbabit.
“Malah, mangsa turut dibelasah dan disamun lelaki itu yang kemudian meninggalkannya di tepi jalan.
“Mangsa yang ketika itu dalam keadaan lemah dibantu orang awam yang kebetulan lalu di tempat kejadian dan kemudian menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Difahamkan, mangsa yang trauma dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas membuat laporan polis.
Susulan laporan yang dibuat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai suspek bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment