Sepi ialah filem ketiga Kabir, skrip oleh ARA dan Mira Mustapha, para penulis dan pembikin filem yang membawakan kita Cinta. Walaupun Kabir mengatakan Sepi sebagai sesuatu yang lain dengan Cinta, semangat dan kebiasaan yang Kabir bawakan dalam Cinta secara formulaik ada dalam Sepi. Ini bukan bermakna ia sesuatu yang buruk, Sepi ialah sebuah filem yang baik sebaik Cinta.
Antara kebiasaan Kabir ialah mengadun lagu-lagu komersial dalam runut bunyi latar filem, bercampur-campur, yang mana menjadi bingit kepada sesiapa yang mendengarnya pada awalnya (malah, pada awal filem ini memang membingitkan). Tetapi buat peminat filem Kabir, mereka sudah 'lali' dengan kebiasaan Kabir ini lalu 'get used' dengan alunan lagu ini pada pertengahan filem. Kebiasaan kedua Kabir ialah memaparkan satu shot melankolia dengan adunan bunyi mendayu (kita perlu menangis, itu permintaan teknikalnya), selalunya berlaku pada pertengahan cerita di mana kita sudah 'sangat kenal' akan watak-wataknya, lalu diberi satu keputusan 'melencong', kebiasaan dalam filem-filem romantik sebegini.
Tetapi apa yang mengujakan aku ialah bagaimana Kabir boleh membawa sedikit jauh tema cinta dan pertalian kali ini. Cerita-cerita Kabir kali ini lebih 'gelap' dan lebih membuak persoalan-persoalan yang lebih matang. Semahu-mahunya, tiga cerita yang diikat menjadi satu dalam Sepi (digerakkan dengan peniruan gaya Gangster Bade Hj. Azmi atau Amerros Perros Innaritu), hanya 'bersatu' dalam bentuk sebuah babak 'initial', satu pelanggaran di tengah jalan (kita faham, antara permainan mengubah nasib atau remenisasi takdir akan berlaku di sini oleh sebab pelanggaran itu), diwakili oleh Adam (Afdlin Shauki), Sufi (Tony Yusof) dan Imaan (Baizura kahar).
Dengan kekuatan emosi hindustannya (hindustan di sini bermakna, memaparkan ekspresi emosi itu dengan seadanya, dan kalau boleh dilipat gandakan dengan gerakan, suara dan cahaya untuk memaparkan 'mood', dan kadang-kala 'mood' yang dicipta ini artificial terhadap latar realiti cerita), Kabir cuba mengangkat sebuah cerita yang mempersoal dan melihat kembali ketentuan, takdir serta pemilihan peluang kedua dalam ketentuan dan takdir. Kali ini, Kabir benar-benar menyeksa para pemain wataknya untuk sesak dalam dunia kebiasaan yang penuh pancaroba terhadap nurani (sudah tentu berkait dengan cinta dan pertalian) dan diri. Sebuah watak yang kelakar dan cool seperti Afdlin pun boleh diseksa secukup-cukupnya. Tetapi, seperti tiga watak yang dipersoalkan diri dan nafsu mereka, Kabir sebenarnya memberi implikasi bahawa, walaupun adanya ketentuan qada' yang diberi Tuhan, ada qadarnya yang boleh diubah oleh sesetengah manusia jika ia mahu menukarnya (sebuah dialog kuasi agama berlaku di tengah cerita apabila Sufi melafazkan: perubahan tidak terjadi jika seseorang itu tidak mahu mengubah diri sendiri), kadang-kala keputusan penukaran itu perlu diusahakan sendiri (seperti buat watak Adam dan Sufi) dan kadang-kala memerlukan seorang (seperti Sufi dan Imaan). Idea ini adalah suatu idea 'sufi' yang sangat halus, memaparkan, dalam dunia ini, setiap manusia mempunyai ujian dan perjalanan yang berbeza-beza dengan orang lain dalam memahami Tuhannya, dan kesemua jalan-jalan itu benar buat manusia yang menjalaninya.
Antara ketiga-tiga segmen dalam filem ini, segmen Adam ialah segmen paling menghiburkan malah paling sempurna. Ini ditolong dengan kekuatan lakonan Afdlin Shauki, Vaneeda Imran serta Nasha Aziz (ya, Nasha Aziz sangat mengejutkan) serta para pelakon pembantu yang lain, tetapi terutamanya Afdlin yang membawa lakonan kelakar-kecewanya yang sangat tetap dengan masa (timely) dan kesinambungannya. Malah, chemistry Afdlin dengan Vaneeda adalah suatu perjalinan yang 'miracle'. Dalam babak-babak bergaduh dalam dapur, kita dapat jumpa sexual chemistry (by of course, Islam Hadhari style) kedua-dua wataknya (Afdlin dan Vaneeda, sila lihat gerak-geri Afdlin yang 'mahukan' Vaneeda) yang jarang-jarang kita jumpa dalam filem Melayu. Malah, Afdlin melakarkan sebuah watak yang sebulatnya lelaki, kuat, kelakar, tetapi boleh retak. Malah budaya peranakan (Adam datang keluarga campuran Cina) yang diangkat sesuai dengan pragmatisme dan keterbukaan watak Afdlin.
Segmen Sufi lakonan Tony Yusof dengan Eja ialah segmen terlemah dalam filem ini disebabkan kurangnya kekuatan Tony Yusof (aku tidak percaya Tony betul-betul menyukai Eja, terjumpa 'fakeness' dalam jatuh cinta Tony) dalam melamar Eja. Tetapi segmen ini perlu kerana 'roh' peluang kedua serta keputusan yang dibuat oleh Sufi seakan-akan melampaui harapan Adam dan Imaan secara spiritual. Sarwajagat dunia Sepi seakan-akan berkata, Jika Sufi tidak melakukan 'keputusannya' (malah, oleh sebab pemanduan kereta Sufi, Adam dan Imaan memikir akan peluang kedua), watak-watak lain dalam dunia ini TIDAK AKAN memilih apa yang mereka pilih (bukan daripada segi realiti masa filem, tetapi daripada segi susunan cerita dalam filem, kita sedar akan ini apabila filem ini seakan mencadangkan di akhir cerita bahawa oleh sebab pengorbanan Sufi, secara spiritual Adam dan Imaan mencapai kebahagiaan dalam peluang kedua mereka di 'dunia'). Malah permintaan Sufi yang 'melampau' terhadap Eja sebenarnya adalah kekuatan 'pemecahan' daripada seksa ketentuan takdir itu. Sebenarnya, antara ketiga-tiga segmen, Sufi yang paling romantis, melangkau kekuatan impian seorang manusia pun dengan keputusan-keputusan yang dibuat olehnya. Di sini terletak roh 'pemilihan untuk berubah' terhadap Adam dan Imaan. Segmen ini juga dipersoalkan kerana dipaparkan Eja tinggal di dalam sebuah rumah yang cantik, sedangkan suaminya hanya bekerja pemandu lori dan bagaimana Sufi mendapat tahu tentang suami Eja (walaupun tidak perlu diberitahu, kita anggap Eja sudah memberitahu Sufi). Lakonan si budak kecil sebagai anak Tony mengingatkan aku kepada Elliot dalam E.T., sangat cute.
Segmen Imaan ialah segmen paling mengejutkan serta banyak mainan 'subtle' (malah, pertarungan spiritual/delusi Imaan menyebabkan Sufi memasuki qada' cerita ini) yang berjaya dibayangkan oleh Kabir. Ini ditolong oleh lakonan bersahaja tetapi kuat oleh Baizura Kahar serta lakonan sederhana Syed Hussain. Memang Syed Hussain tidak begitu menonjol, tetapi ada kejujuran dan kekuatan dalam beberapa babak yang berjaya dibawa olehnya. Malah keputusan yang dibawa olehnya pada 'jawapan' akhir cerita memaparkan ketulusan Syed yang sebenar (sanggup mengejar Imaan walaupun dia seorang buaya), dan ini dipaparkan dengan begitu pesona sekali oleh dua bintang baru ini.
Sepi ialah suatu filem yang indah, suatu filem yang boleh mengisi emosi dan semangat kita yang memerlukan sesuatu dalam hidup (secara subtle, Sepi ingin kita cari Tuhan dalam dunia yang terlalu menyeksakan ini dengan melakukan muhasabah diri). Sepi mungkin tidak akan menang filem terbaik (jika tidak ada lagi yang baik) buat FFM kali ini oleh sebab penurutan tema cinta yang diangkat Kabir, tetapi Sepi ialah contoh sebuah filem yang senang diintip dan dirasa tetapi mempunyai pelbagai lapisan yang indah di bawah aksi dan suara wataknya. Antara filem komersial terbaik Malaysia tahun ini.
pautan: http://sepithemovie.com/
No comments:
Post a Comment