Petikan: Laman Marhaen
Saya sebagai rakyat kebanyakan Malaysia kini berasa tertanya-tanya, apakah begitu mudah membuat Akuan Bersumpah dan kemudiannya menarik balik Akuan Bersumpah yang telah saya lakukan. Sebab apa yang berlaku sehari dua ini saya terasa amat keliru. Apakah Akuan Bersumpah ini satu perakuan atau dokumen yang boleh dibuat sesuka hati dan sesedap rasa. Jika benar perkara ini terlalu longgar dari sudut undang-undang maka bukan sahaja sistem undang-undang terganggu tetapi politik negara juga mudah untuk terganggu.
Bagaimana sistem politik negara boleh terganggu? Mudah sahaja, misalnya pada hari ini saya membuat Akuan Bersumpah mengatakan saya telah keluar bersama pemimpin 'NTR' dan bersama-sama beliau pergi ke tempat-tempat hiburan dan dan melakukan perkara-perkara sumbang yang melampau dan saya umumkan perkara ini jam 5 petang. Perkara ini akan mendapat liputan luas media kerana 'NTR' ahli politik yang besar dan memegang jawatan tinggi. Keesokan harinya sebelum jam 8.15 pagi saya (sebelum mahkamah dibuka kerana takut akan dikenakan saman) menarik balik kenyataan saya. Pada hemat saya, saya akan terlepas dari tindakan saman dari 'NTR'.
Tetapi bayangkan akibat dari Akuan Bersumpah itu tadi? Selama 15 jam Akuan Bersumpah saya menjadi buah mulut orang ramai dan ahli politik (Di Malaysia ada frasa dalam Asiaweek mengatakan 'in Malaysia politics never stops even in the wee hours in the morning'). Nama 'NTR' sudah tentu akan terjejas teruk kerana kisah kelakuan buruk beliau tersebar meluas ke seluruh negara. Akhbar harian akan menyiarkan berita tersebut tanpa sempat menyiarkan penarikan kenyataan yang telah dibuat. Akhbar cuma akan menyiarkan penarikan balik kenyataan saya pada surat khabar keluaran esok hari. Dalam penyiaran di TV pula, Akuan Bersumpah saya akan mendapat liputan di dalam Berita jam 8 malam yang ramai penonton tetapi penarikan akuan saya akan pertama kalinya akan disiarkan pada berita ringkas pada waktu pagi yang tidak ramai penonton.
Bayangkanlah kekecohan yang dapat diwujudkan andainya Akuan Bersumpah itu terlalu longgar kesannya dari segi perundangan. Andaikata sebegitu longgar Akuan Bersumpah di sisi undang-undang maka saya tak hairan kalau selepas ini ada yang akan mengaku diliwat oleh AAB atau keluar berpoya-poya dengan KaiJ. Fikir-fikirkanlah.
- Pajarao
05.07.2008
No comments:
Post a Comment